Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH teroka bagaimana TCM boleh lengkapi skim SG Lebih Sihat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang meneliti bagaimana perubatan tradisional Cina (TCM) boleh melengkapi pelan SG Lebih Sihat, meskipun ini bergantung kepada dapatan dua kumpulan kerja.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Berucap di Parlimen pada Rabu (5 Okt), Encik Ong berkata sepanjang setahun lalu kumpulan-kumpukan kerja itu menumpukan perhatian kepada isu-isu seperti mempertingkat latihan klinikal TCM dan pembangunan kerjaya.

Sebab mengapa kumpulan-kumpulan kerja tersebut ditubuhkan oleh kementeriannya dan masyarakat TCM adalah kerana TCM dikawal selia sendiri dengan "pelbagai standard amalan", kata Encik Ong.

"Sebaik sahaja selesai, (dapatan kumpulan kerja tersebut) boleh menjadi asas untuk meneroka bagaimana untuk melibatkan TCM untuk mendukung skim SG Lebih Sihat," kata Encik Ong.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan dua hari berhubung usulan Kertas Putih Sg Lebih Sihat, yang menggariskan bagaimana Pemerintah merancang untuk melakukan perubahan sepanjang beberapa tahun ke atas sektor jagaan kesihatan untuk memberi tumpuan kepada jagaan berbentuk pencegahan berbanding jagaan akut.

Program SG Lebih Sihat itu, yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun depan, pertama kali diumumkan oleh Encik Ong semasa perbahasan Peruntukan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya pada Mac.

Dalam perbahasan minggu ini, yang berlangsung sekitar sembilan jam, menyaksikan seramai 28 Anggota Parlimen (AP) dari parti pemerintah dan pembangkang - serta Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) - bangkit untuk berucap tentang Kertas Putih tersebut, yang akhirnya diluluskan oleh Parlimen.

Selain Encik Ong, tiga rakan sekerja beliau dari MOH - Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Rahayu Mahzam, Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary - juga berucap sebagai memberikan respons kepada pertanyaan para AP.

Peranan TCM dalam SG Lebih Sihat antara pertanyaan yang diajukan oleh beberapa AP - termasuk Encik Yip Hon Weng, AP SMC Yio Chu Kang; Cik Hany Soh, AP GRC Marsiling-Yew Tee; dan Cik Joan Pereira, AP GRC Tanjong Pagar.

Ketua Pembangkang Pritam Singh juga menarik perhatian dalam ucapannya pada Rabu bahawa TCM dan terapi alternatif lain "belum pernah dibahaskan secara terperinci dalam Kertas Putih.

"Para pengamal TCM bukan hanya meninggalkan kesan yang sedikit ke atas rakyat Singapura, dari segi kesihatan, khususnya di kawasan-kawasan perumahan awam," tambah beliau.

Encik Singh berkata Singapura tidak harus "meremehkan jangkauan meluas sin-seh tempatan (doktor TCM) di kejiranan kita".

Beliau menambah MOH tidak harus hanya memanfaatkan mereka untuk membantu berkongsi panduan kehidupan sihat dan strategi-strategi jagaan kesihatan yang mencegah penyakit, tetapi juga tidak mengetepikan untuk memberi subsidi kepada para pengamal TCM.

Ini, tentu sekali, tertakluk kepada sumbangan mereka ke arah kriteria objektif di bawah SG Lebih Sihat, kata Encik Singh.

Menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut, Encik Ong berkata kementerian beliau sentiasa mengiktiraf nilai TCM dan manfaat yang diberikan kepada masyarakat.

"Semasa pandemik COVID-19, saya secara peribadi menulis kepada pada pengamal TCM kita untuk menyampaikan: 'Nasihatkan para pesakit anda supaya mendapatkan vaksinasi'. Saya rasa mereka banyak membantu (menggerakkan) para penduduk supaya mendapatkan vaksinasi."

Encik Ong menambah, TCM sangat menyokong jagaan pencegahan, yang sejajar dengan matlamat SG Lebih Sihat.

"Oleh itu, saya yakin apabila kita fokus kepada jagaan pencegahan (penyakit) di bawah SG Lebih Sihat, kami berharap TCM juga boleh memainkan peranan," ujar Encik Ong.
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan