Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH teliti isu pengaliran, pengalihan udara di wad TTSH

Pihak berkuasa sedang meneliti kemungkinan terdapat isu-isu berkaitan pengaliran dan pengalihan udara di sebuah wad Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Anggaran Waktu Membaca:
MOH teliti isu pengaliran, pengalihan udara di wad TTSH

Gambar fail Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Tan Tock Seng Hospital/Facebook)

Diterbitkan : 05 May 2021 02:43PM Dikemas Kini : 05 May 2021 02:45PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang meneliti kemungkinan terdapat isu-isu berkaitan pengaliran dan pengalihan udara di sebuah wad yang menjadi tapak penularan kelompok jangkitan COVID-19 di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Pihak berkuasa sedang meninjau kemungkinan berlaku isu seperti 'pengaruh faktor dalaman' yang mungkin menyebabkan "penularan jangkitan yang luas dan pantas" di Wad 9D, menurut Pengarah Khidmat Perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) Profesor Madya Kenneth Mak.

"Kami sedang meneliti kemungkinan terdapat isu-isu pada pengaliran dan pengalihan udara di wad itu antara pelbagai hipotesis yang sedang kami pertimbangkan," kata beliau pada Selasa (4 Mei) di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19.

Profesor Madya Mak berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mengenai apakah yang menjadi punca penularan di hospital berkenaan, yang sekarang ini merupakan kelompok aktif terbesar di Singapura.

Kelompok TTSH itu mencatat 40 kes jangkitan setakat Selasa lalu selepas seorang jururawat yang bertugas di Wad 9D pertama kali diuji positif COVID-19 pada 27 April.

Para pesakit yang dimasukkan ke wad itu atau yang sudah dibenarkan pulang, para doktor yang merawat pesakit di wad tersebut serta ahli fisioterapi yang bertugas di sana adalah antara kes yang terkait dengan kelompok TTSH.

Pihak berkuasa menarik perhatian bahawa kelompok jangkitan itu "tertumpu kepada satu wad saja", kata Profesor Madya Mak.

Ditanya sama ada punca di sebalik penularan itu disebabkan oleh kurangnya pemakaian pelitup, beliau berkata "kekurangan disiplin seperti itu" adalah sesuatu yang "sentiasa dipantau" oleh pihak berkuasa.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan epidemiologi, tambah beliau.

"Selagi siasatan itu belum selesai, kami tidak dapat memberikan jawapan yang pasti. Tetapi kami sedang meninjau dan meneliti semua kemungkinan dan kami sedang mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya sedang kami menguruskan para pesakit sedia ada di TTSH," kata beliau lagi.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan