MOH tawar bonus sehingga S$100,000 untuk tarik & kekalkan tenaga jururawat
SINGAPURA: Dalam satu langkah besar mahu mengekalkan para jururawat bagi jangka panjang di Singapura, mereka kini ditawarkan insentif sehingga S$100,000 seorang, di bawah satu skim baharu.
Mengumumkan demikian hari ini (20 Feb), Kementerian Kesihatan berharap skim tersebut bukan sahaja dapat mengekalkan, malah menarik lebih ramai lagi orang kepada kerjaya jururawat.
Ini bagi berkhidmat dalam sistem jagaan kesihatan awam Singapura, sedang negara ini berusaha memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua.
Mengumumkan skim ANGEL semasa Forum Jururawat hari ini (20 Feb), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menjelaskan langkah itu demi mengiktiraf komitmen para jururawat, serta menggalak mereka supaya kekal dalam bidang tersebut.
"Tujuan skim-skim mengekalkan pekerja adalah untuk mengiktiraf komitmen para pegawai yang sudah bertahun-tahun berkhidmat dan membina kerjaya dalam khidmat masing-masing. Skim-skim mengekalkan pekerja juga akur bahawa atas sebab-sebab penting berhubung peribadi dan keluarga, para pegawai mungkin merancang untuk meninggalkan kerjaya. Mereka melakukan demikian demi mendirikan rumah tangga, melanjutkan pengajian, menjaga ibu bapa yang uzur atau ingin memanfaatkan peluang baharu," kata Encik Ong Ye Kung semasa ucapan pembukaan.
29,000 JURURAWAT BAKAL RAIH MANFAAT
Sekitar 29,000 jururawat berpeluang meraih manfaat skim ANGEL itu.
Di bawah skim itu, jururawat baharu dan mereka di bawah usia 46 tahun akan menerima bayaran khas antara S$20,000 hingga S$30,000, setiap empat hingga enam tahun.
Bayaran maksimum yang boleh diterima setiap jururawat daripada skim itu sepanjang kerjaya mereka adalah S$100,000.
Jururawat asing yang berkhidmat untuk sekurang-kurangnya empat tahun juga layak menerima bonus tersebut,
Sementara itu, para jururawat kanan yang berusia lebih 46 tahun dan mempunyai baki tempoh berkhidmat yang lebih pendek, mereka akan menerima bayaran sekali saja antara S$5,000 hingga S$15,000, jika mereka kekal berkhidmat selama lima tahun.
Selepas itu, mereka akan mendapat bayaran khas itu setiap tiga tahun, sehinggalah jumlah maksimumnya mencapai S$100,000.
Encik Muhammad Hafashah Mohd Aslam yang sudah 12 tahun berkhidmat sebagai jururawat menyambut baik skim itu.
"Pada pendapat saya skim baru yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan adalah satu inisiatif yang akan dialu-alukan oleh para jururawat di Singapura kerana ia boleh membenarkan para jururawat mengikuti hobi baharu dan membantu dalam pembangunan kerjaya dan menaikkan taraf mereka. Inisiatif ini menunjukkan penghargaan terhadap para jururawat. Jadi ini adalah satu faktor yang akan membuat para jururawat di Singapura terus menjadi jururawat," kongsi Encik Muhammad Hafashah kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
KEPENTINGAN KEKALKAN TENAGA JURURAWAT
Ketua jururawat NUH, Dr Karen Koh pula menekankan kepentingan usaha untuk mengekalkan para jururawat yang sedia ada.
"Skim baru ini sememangnya dialu-alukan kerana penjagaan kesihatan kita berhadapan dengan penduduk yang semakin menua dan penjagaan juga semakin rumit. Dengan mengekalkan para jururawat kami, kami boleh memajukan mereka dan melengkapi mereka dengan tahap kemahiran lebih tinggi. Sebaliknya, jika kita perlu terus menggajikan jururawat baru dan melatih mereka semula, ia akan menjejas misi kita untuk menyediakan penjagaan yang lebih baik untuk para pesakit," kata Dr Karen Koh kepada BERITA Mediacorp.
Dalam pada itu, Encik Ong juga memberi jaminan, pelbagai pihak lain dalam sektor jagaan kesihatan juga akan diberi sokongan serupa.
"Saya yakin, ramai karyawan lain di sektor jagaan kesihatan bertanya, bagaimana dengan saya? Kami tidak akan lupakan anda. Kami mulakan skim 'ANGEL' ini kerana para jururawat adalah jumlah karyawan terbesar bagi sektor kita, dan persaingan bagi mendapatkan jururawat kini bertambah sengit. Tapi saya beri jaminan, jika anda bukan seorang jururawat, kami akan semak semula tahap persaingan bagi semua bidang dalam sektor jagaan kesihatan, dan lakukan penyesuaian yang diperlukan bagi pakej gaji, mana-mana perlu," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.