MOH tambah subsidi suntikan vaksin; kanak-kanak S'pura yang layak bakal terima vaksinasi cacar air, pneumococcal percuma
Mulai November ini kanak-kanak rakyat Singapura yang layak boleh mendapatkan suntikan vaksin mencegah pneumococcal dan penyakit cacar air (chicken pox) di semua poliklinik dan klinik-klinik keluarga (GP) di bawah skim Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).
SINGAPURA: Mulai November ini kanak-kanak rakyat Singapura yang layak boleh mendapatkan suntikan vaksin mencegah pneumococcal dan penyakit cacar air (chicken pox) di semua poliklinik dan klinik-klinik keluarga (GP) di bawah skim Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).
Penyakit pneumokokal boleh menyebabkan pelbagai jangkitan serius dan sering berlaku dalam kalangan golongan muda, warga emas dan mereka yang mengalami keadaan perubatan serius.
Ia termasuk jangkitan paru-paru, radang paru-paru, meningitis, jangkitan dalam darah, jangkitan sinus dan jangkitan telinga tengah.
Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan subsidi yang dipertingkatkan itu pada Isnin (13 Jul) bagi sejumlah vaksin yang disarankan di bawah Jadual Nasional Imunisasi Kanak-kanak (NCIS) dan Jadual Nasional Imunisasi Dewasa (NAIS).
Ini adalah sebahagian usaha untuk "melindungi dengan lebih baik rakyat Singapura daripada penyakit yang boleh dicegah menerusi vaksin dan mengurangkan risiko penularan dalam masyarakat,", jelasnya.
"Mulai 1 Nov 2020, rakyat Singapura akan meraih manfaat daripada subsidi lebih tinggi antara S$35 hingga S$125 bagi vaksinasi disarankan dalam senarai vaksin bersubsidi di klinik-klinik GP CHAS," menurut kementrian itu lagi.
Misalnya, pemegang kad Generasi Perintis yang layak hanya perlu antara S$9 hingga S$16 bagi setiap suntikan.
Golongan Generasi Merdeka serta pemegang kad CHAS warna Biru dan Jingga pula akan membayar tidak lebih $31.
MOH menyatakan bayaran suntikan bagi rakyat tempatan lain yang layak mendapat subsidi dihadkan antara $35 hingga $63 bagi satu suntikan.
Di poliklinik, rakyat dewasa akan menerima sehingga 75 peratus subsidi bagi suntikan NAIS, manakala golongan Generasi Perintis dan Generasi Merdeka juga masing-masing akan mendapat tambahan 50 peratus dan 25 peratus subsidi.
Kanak-kanak rakyat Singapura yang layak boleh mendapatkan pelbagai suntikan disarankan pada subsidi penuh di klinik-klinik tersebut.
Ini termasuk suntian bagi penyakit pneumococcal, yang buat masa ini dikenakan bayaran, dan suntikan terhadap cacar air, yang kini tidak disenaraikan di bawah NCIS.
Mereka juga akan mendapat subsidi penuh untuk tujuh pemeriksaan perkembangan kanak-kanak, di klinik GP, CHAS dan poliklinik. menurut MOH.
Had yuran di klinik GP CHAS adalah seperti berikut:
(Gambar: MOH)
Subsidi di poliklinik:
(Gambar: MOH)
VAKSIN BAGI KANAK-KANAK
Di bawah subsidi dipertingkat, kanak-kanak rakyat Singapura yang layak tidak perlu bayar bagi suntikan yang tersenarai di bawah NCIS.
Vaksin-vaksin berikut juga akan ditambah ke dalam senarai NCIS:
Dua jenis vaksin yang mengandungi varisela untuk pencegahan cacar air: i) gabungan vaksin campak, beguk, rubela dan varisela (MMRV); dan ii) vaksin varikos monovalen.
Vaksin demam selesema untuk kumpulan sasaran kanak-kanak yang berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi berkaitan dengan flu.
Vaksin polisakarida 23-valen pneumococcal untuk melindungi kanak-kanak yang mengalami masalah perubatan kronik atau keadaan perubatan yang jarang diketahui dan berisiko tinggi menghidap penyakit pneumococcal teruk disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae. Ini adalah tambahan kepada vaksin konjugat pneumococcal sedia ada yang disarankan untuk semua kanak-kanak kecil.
SENARAI SUBSIDI VAKSIN
Hanya jenama vaksin terpilih dalam senarai vaksin bersubsidi akan layak mendapat subsidi suntikan dan senarai tersebut mungkin disemak dari semasa ke semasa, menurut MOH.
Memandangkan klinik mungkin memerlukan masa untuk mendapatkan vaksin yang diperlukan, MOH juga menggalak orang ramai supaya membuat temu janji dengan klinik pilihan mereka bagi mendapatkan suntikan sebelum mengunjunginya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.