Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH siasat kes wanita 103 tahun tersilap diberi dos ke-4 vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menjalankan "siasatan menyeluruh" selepas seorang wanita berusia 103 wanita tersilap diberi suntikan dos keempat vaksin COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH siasat kes wanita 103 tahun tersilap diberi dos ke-4 vaksin COVID-19

Seorang pekerja jagaan kesihatan menyediakan dos vaksin COVID-19 di sebuah pusat vaksinasi di SIngapura pada 21 Okt 2021. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menjalankan "siasatan menyeluruh" selepas seorang wanita berusia 103 wanita tersilap diberi suntikan dos keempat vaksin COVID-19.

Demikian menurut MOH pada Jumaat (4 Feb).

Wanita itu yang merupakan penghuni di Rumah Jagaan ECON Healthcare -Chai Chee diberi suntikan dos keempat itu oleh sebuah pasukan vaksinasi bergerak dari PanCare Medical Clinic pada Disember. Beliau meninggal dunia sebulan selepas itu.

"Wanita itu sebelum ini sudah menerima tiga suntikan vaksin COVID-19, dan tersilap diberikan dos keempat pada 13 Disember 2021," menurut MOH.

"Pada 16 Dis 2021, beliau dimasukkan ke Hospital Besar Changi setelah mengalami radang paru-paru dan hiponatremia dan kemudian didiagnos diserang angin ahmar."

Beliau meninggal dunia pada 10 Januari 2022.

"Kematiannya dilaporkan kepada koroner yang mengarahkan supaya bedah siasat dijalankan. Bedah siasat mendapati punca utama kematian wanita itu disebabkan oleh radang paru-paru dengan faktor penyumbang yang lain iaitu 'cerebral infarction' (atau strok) dan penyakit arteri koronari, yang merupakan proses penyakit biasa yang berlaku dalam warga emas.

"Koroner belum lagi menentukan sama ada punca kematian wanita itu ada kaitan dengan vaksinasi tersebut," menurut MOH.

MOH menyatakan ia "memandang serius kejadian itu dan akan menjalankan siasatan menyeluruh"yang dijangka selesai dijalankan pada Februari.

"Dapatan awal menunjukkan vaksin itu tersilap diberi disebabkan kemungkinan adanya kelemahan dalam prosedur vaksinasi dan komunikasi antara rumah jagaan dengan penyedia khidmat perubatan yang mengendalikan vaksinasi itu," tambahnya.

"Ini merupakan kes pertama melibatkan kesilapan identiti dalam pemberian vaksin oleh pasukan vaksinasi bergerak dalam lebih 152,000 vaksinasi sejauh ini."

MOH menambah ia sebenarnya merancang untuk mengumumkan kejadian itu pada Disember lalu. "Namun, keluarga wanita itu memohon supaya tidak diumumkan butirannya dahulu kerana bimbang identiti wanita itu dikenal pasti," ia menambah.

"Kami sudah berunding dengan keluarga itu dan akan memberikan penjelasan berhubung kejadian itu.

"Kami difahamkan bahawa ECON Healthcare Group dan PanCare Medical Clinic telah membiayai bersama bil hospital wanita itu sebagai tanda muhibah.

"ECON Healthcare juga menghubungi keluarga wanita berkenaan untuk memberi sokongan kepada mereka."

MOH menambah: "Kedua-dua ECON Healthcare dan PanCare Medical Clinic sudah menyemak semula proses mereka bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

"Agensi bagi Jagaan Bersepadu, yang peranannya adalah untuk mengatur vaksinasi di rumah-rumah jagaan, sudah mengingatkan semua rumah jagaan supaya memastikan terdapat komunikasi yang betul dengan pasukan vaksinasi bergerak apabila vaksinasi dilaksanakan.

"MOH juga mengingatkan semua pasukan vaksinasi bergerak supaya melakukan pengesahan identiti penghuni sebelum memberikan sebarang vaksinasi."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan