MOH siasat jika CEO LC Nursing Home gagal dedah tindakan disiplin terhadapnya dalam permohonan lesen
Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyiasat sama ada pengasas dan CEO LC Nursing Home di Siglap gagal mendedahkan tindakan disiplin yang diambil terhadapnya oleh pihak berkuasa kawal selia penjagaan kesihatan semasa permohonan lesen bagi rumah jagaan itu.
LC Nursing Home. (Imej: laman LC Nursing Home)
MOH mengumumkan pada lewat Jun bahawa ia akan membatalkan lesen rumah jagaan itu, yang mengendalikan sebuah kemudahan 93 katil di Jalan Ulu Siglap, setelah menemui beberapa kelemahan "serius dan sistemik" dalam jagaan dan keselamatan.
Pembatalan lesen itu akan berkuat kuasa pada 23 November depan.
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu (8 Jul), MOH menyatakan pengasas dan CEO LC Nursing Home, Chia Yang Pong, didapati bersalah atas salah laku profesional oleh sebuah jawatankuasa disiplin Majlis Perubatan Singapura dan namanya dikeluarkan daripada Daftar Pengamal Perubatan pada 2004.
"MOH sedang menyiasat sama ada Encik Chia gagal mendedahkan kepada MOH semasa memohon lesen LC Nursing Home, tentang maklumat berhubung tindakan disiplin yang diambil oleh pihak berkuasa kawal selia jagaan kesihatan terhadapnya," katanya.
MOH menambah ia "tidak dapat mengulas lebih lanjut di peringkat ini memandangkan siasatan sedang dijalankan".
Ia menarik perhatian di bawah Akta Perkhidmatan Jagaan Kesihatan 2020, Encik Chia dianggap sebagai pemegang jawatan utama di LC Nursing Home.
Peranan itu tidak memerlukan sebarang kepakaran perubatan atau pengawasan teknikal sebagai pengamal perubatan di bawah Akta itu, menurut MOH.
Berucap di parlimen pada Selasa, Menteri Negara Kanan Kesihatan Tan Kiat How berkata MOH menjalankan pemeriksaan audit secara berkala dan tetap, serta semakan khas dan pemeriksaan terhadap rumah-rumah jagaan.
Beliau menarik perhatian bahawa sebahagian besar rumah jagaan yang diletakkan di bawah pemantauan teliti mengambil tindakan pemulihan dan mengekalkan penambahbaikan mereka.
Namun jika kelemahannya adalah serius, berlaku secara berulang kali dan terdapat kekurangan usaha bermakna untuk membetulkannya, MOH akan meningkatkan langkah penguatkuasaannya, kata Encik Tan, sambil menukil kes LC Nursing Home dan Windsor Convalescent Home.
MOH mengeluarkan notis pada 18 Jun untuk membatalkan lesen Windsor Convalescent Home untuk menyediakan perkhidmatan rumah jagaan, iaitu yang pertama daripada dua pembatalan sedemikian yang diumumkan pada bulan lalu disebabkan oleh kelemahan "serius dan sistemik" di rumah jagaan dengan 45 katil di 369 Pasir Panjang Road.
Lesen Windsor Convalescent Home akan ditarik balik mulai 30 Oktober depan.
Encik Tan juga berkata MOH dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) akan berkongsi hasil dapatan daripada pemeriksaan audit mereka baru-baru ini dan latihan tenaga manusia serta sokongan geran yang disediakan dalam sektor rumah jagaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.