Skip to main content

Singapura

MOH semak semula perlindungan MediShield Hayat bagi komplikasi mengandung, kelahiran

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyemak bagaimana perlindungan MediShield Hayat boleh diperluas untuk merangkumi rawatan di hospital bagi komplikasi semasa mengandung dan bersalin, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Isnin (1 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
MOH semak semula perlindungan MediShield Hayat bagi komplikasi mengandung, kelahiran

Gambar fail dua orang wanita yang sedang hamil di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 01 Oct 2018 09:28PM Dikemas Kini : 01 Oct 2018 09:32PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyemak bagaimana perlindungan MediShield Hayat boleh diperluas untuk merangkumi rawatan di hospital bagi komplikasi semasa mengandung dan bersalin. Demikian menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Isnin (1 Okt).

Encik Gan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen oleh Anggota Parlimen (AP) Christopher de Souza, yang bertanya jika menteri itu akan menimbangkan untuk menghulurkan sokongan kewangan tambahan bagi pasangan yang mengalami komplikasi kehamilan dan memerlukan jagaan kesihatan dalam dan luar hospital serta sokongan kesihatan mental.

Encik de Souza juga bertanya sama ada Encik Gan akan menimbangkan bantuan kewangan tambahan bagi bakal ibu yang menghadapi kesukaran mendapat insuran bersalin daripada penyedia insuran privet akibat komplikasi kehamilan sebelumnya.

Di bawah syarat MediShield Hayat sedia ada, kos bersalin (termasuk pembedahan Caesarean) atau pengguguran tidak termasuk dalam perlindungan.

Meskipun demikian, semua warga Singapura - termasuk bakal ibu - mendapat subsidi sehingga 80 peratus bagi rawatan di hospital awam, dan sehingga 70 peratus subsidi di klinik pakar, kata Encik Gan.

Sepanjang tempoh tiga tahun lalu, lapan daripada 10 wanita mengandung yang menjalani rawatan di hospital berhubung komplikasi kehamilan atau bersalin di wad-wad B2/C membayar kurang daripada S$500 tunai, selepas potongan subsidi dan Medisave, tambah Encik Gan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita