Skip to main content

Singapura

MOH sedang pantau kenaikan kes COVID-19, jangkitan berkala dijangka berlaku

Pihak berkuasa kesihatan Singapura sedang memantau peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan baru-baru ini, walaupun mereka menjangkakan gelombang jangkitan berkala sepanjang tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 May 2025 05:28PM Dikemas Kini : 13 May 2025 10:07PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa kesihatan Singapura sedang memantau peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan baru-baru ini, walaupun mereka menjangkakan gelombang jangkitan berkala sepanjang tahun.

Jumlah kes COVID-19 dianggarkan meningkat kepada 14,200 dalam tempoh dari 27 April hingga 3 Mei, berbanding 11,100 kes pada minggu sebelumnya.

“Dalam tempoh yang sama, purata pesakit yang dimasukkan ke hospital setiap hari akibat COVID-19 meningkat daripada 102 kepada 133, tetapi purata kes unit rawatan rapi (ICU) harian menurun daripada tiga kepada dua kes,” menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu kenyataan media pada Selasa (13 Mei).

Mereka menambah bahawa hospital di Singapura ketika ini masih mampu menangani peningkatan jumlah kes.

“Seperti penyakit pernafasan endemik yang lain, gelombang COVID-19 berkala dijangka berlaku sepanjang tahun,” kata pihak berkuasa.

“Peningkatan kes mungkin disebabkan beberapa faktor, termasuk kekebalan masyarakat yang semakin berkurangan.”

Pada masa ini, varian utama COVID-19 yang merebak di Singapura ialah LF.7 dan NB.1.8, yang merangkumi lebih dua pertiga daripada kes tempatan.

Kedua-dua varian tersebut berkembang daripada varian JN.1, iaitu varian yang digunakan dalam formulasi vaksin COVID-19 semasa.

MOH dan CDA menasihatkan individu yang berisiko tinggi mengalami jangkitan teruk COVID-19 agar mendapatkan vaksinasi terkini, dan mengesyorkan agar mereka mendapatkan satu dos tambahan kira-kira setahun selepas dos terakhir mereka.

Golongan berisiko termasuk individu berusia 60 tahun ke atas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan, dan penghuni rumah jagaan warga emas.

“Kakitangan kesihatan serta individu yang menetap atau bekerja dengan golongan lemah dari segi kesihatan juga digalakkan untuk mendapatkan vaksin,” kata pihak berkuasa.

“Individu lain yang berusia enam bulan dan ke atas yang ingin mendapatkan vaksin COVID-19 juga boleh berbuat demikian.”

Vaksinasi COVID-19 disediakan di klinik awam di bawah inisiatif SG Lebih Sihat dan poliklinik.

Orang awam dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga serta mengamalkan tanggungjawab peribadi dan sosial, menurut MOH dan CDA.

Ini termasuk mencuci tangan dengan kerap serta menutup hidung dan mulut apabila batuk atau bersin.

Pihak berkuasa kesihatan juga menasihatkan orang ramai agar mengurangkan interaksi sosial dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu sekiranya mereka tidak sihat.

Pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau ketika mengalami gejala seperti selesema, sakit tekak, sakit kepala dan/atau demam turut digalakkan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita