Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH, SAF cari huraian 'masalah awal' berkaitan program pemulihan di rumah: Ong Ye Kung

 Kementerian Kesihatan (MOH) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang menghuraikan isu-isu awal berkaitan dengan kelemahan dalam program permulihan COVID-19 di rumah (HRP) sepanjang minggu lalu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Oct 2021 04:48PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 09:19PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang menghuraikan isu-isu awal berkaitan dengan kelemahan dalam program permulihan COVID-19 di rumah (HRP) sepanjang minggu lalu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

Isu-isu ini termasuk memperbaiki komunikasi dan penyampaian maklumat dengan segera kepada mereka yang layak menjalani HRP, kata Encik Ong sebagai menjawab pertanyaan di Parlimen tentang program tersebut

"Di peringkat awal HRP, sejumlah pesakit yang tidak mengalami simptom serius telah pergi ke jabatan kecemasan di hospital," kata Encik Ong, sambil menambah bahawa ini menyebabkan "kesesakan" di jabatan kecemasan.

"Kami faham ramai pesakit ini bimbang. Justeru penting untuk kami menghuraikan isu-isu berkaitan HRP supaya pesakit yang menjalani HRP berasa lebih terjamin," katanya.

"Sepanjang beberapa hari lalu, kejadian sedemikian berkurangan dengan banyaknya."

Singapura menyaksikan lonjakan kes jangkitan koronavirus sepanjang beberapa minggu lalu, dengan kes harian mencapai paras rekod lebih 2,000. MOH pada 23 September menyatakan bahawa operasi di lapangan "sangat tertekan", lantas pemulihan di rumah menjadi aturan pilihan pengurusan jagaan bagi pesakit COVID-19 yang sudah lengkap divaksin jika mereka memenuhi syarat.

Beberapa pesakit yang menjalani pemulihan di rumah berkata mereka tidak menerima arahan daripada pihak berkuasa tentang ujian yang perlu dilakukan atau apa yang harus mereka buat setelah diuji positif.

Encik Ong akur bahawa proses pemulihan di rumah "belum bersedia sepenuhnya" dan MOH "tidak menduga kenaikan kes secara mendadak".

"Kami masih melaksanakan program perintis apabila semua ini berlaku, namun pasukan kami bertindak segera," katanya.

MASALAH HUBUNGI SEJUMLAH KECIL PESAKIT

Satu lagi isu yang sedang ditangani MOH adalah kesukaran untuk menghubungi sekumpulan kecil individu yang layak bagi program itu.

Menurut Encik Ong, sekitar 9,800 orang sedang menjalani program pemulihan di rumah dan mereka "semakin sembuh".

Lebih 2,800 individu pula selesai menjalani program itu setakat 3 Oktober.

"Setiap hari, lebih separuh kes jangkitan diletakkan di bawah program HRP dan kami menjangkakan jumlahnya akan terus meningkat.

"Sejak beberapa hari lalu, 93 peratus daripada mereka yang layak menjalani HRP, telah dapat dihubungi dengan segera dan prosesnya berjalan dengan lancar.

"Namun kami sukar menghubungi sejumlah kecil pesakit, kerana mereka tidak menjawab atau nombor telefon yang diberikan tidak tepat," katanya.

Bagi mereka yang buta huruf dan tidak boleh memahami pemberitahuan SMS yang dihantar MOH, anggota keluarga, jiran tetangga dan relawan boleh membantu, tambah Encik Ong.

Beliau menarik perhatian bahawa relawan dikerahkan sepanjang hujung minggu untuk mendampingi penduduk yang sedang menjalani program pemulihan di rumah.

Menurut Encik Ong pesakit "lazimnya dalam keadaan baik". Oleh itu, pelibatan penyedia teleperubatan "agak ringan" dan pesakit hanya menghubungi mereka jika sebarang rawatan perubatan diperlukan.

Berhubung individu yang aplikasi TraceTogether mereka mungkin tidak menggambarkan bahawa mereka sudah selesai menjalani pemulihan di rumah, Encik Ong berkata ia adalah "masalah IT" yang sedang dibaiki oleh MOH.

"Jadi, beberapa hari akan datang, isu token TT akan dihuraikan kerana kami juga akan menyelaraskan pengeluaran amaran sejajar dengan hari mereka selesai menjalani pemulihan di rumah," katanya.

PROGRAM PEMULIHAN DI RUMAH ATAU KEMUDAHAN JAGAAN

Encik Ong berkata lazimnya, MOH akan menghubungi individu yang dikenal pasti sebagai kes positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam. MOH akan melakukan penilaian dan menentukan sama ada untuk meletakkan individu itu dalam program pemulihan di rumah atau di kemudahan jagaan.

Setakat 26 September, sekitar 400 individu yang menjalani program pemulihan di rumah merupakan individu dikuarantin yang kemudian diuji positif bagi COVID-19.

95 peratus layak untuk menjalani program pemulihan di rumah.

Baki 5 peratus yang perlu menjalani pemulihan di kemudahan jagaan, "lazimnya dilakukan" dalam tempoh 24 jam setelah permintaan dibuat agar mereka dibawa ke kemudahan tersebut, kata Encik Ong.

Beliau menambah bahawa MOH mempertimbangkan dan memenuhi permintaan individu untuk dihantar ke kemudahan pengasingan, dengan mengambil kira keadaan perubatan dan tempat tinggal keluarga mereka.

"Namun perlu ditekankan bahawa individu dan keluarga harus membuat penyesuaian bagi aturan tempat tinggal mereka untuk memastikan HRP boleh dijalani di rumah secara selamat.

"Ia kerana hanya dengan kadar HRP yang tinggi, pihak hospital boleh menumpukan sumber kepada pesakit yang memerlukan lebih banyak rawatan perubatan termasuk pesakit lain yang tidak dijangkiti COVID-19 dan memerlukan jagaan akut," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan