Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH pertimbang POFMA untuk tutup laman galak guna ivermectin sebagai ubat COVID-19

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menimbangkan kemungkinan menggunakan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) untuk menutup laman-laman yang menggalak penggunaan ubat antiparasit ivermectin sebagai penawar COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH pertimbang POFMA untuk tutup laman galak guna ivermectin sebagai ubat COVID-19

(Gambar: Facebook/Vanessa Koh Wan Ling)

Diterbitkan : 21 Oct 2021 08:50AM Dikemas Kini : 21 Oct 2021 08:53AM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menimbangkan kemungkinan menggunakan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) untuk menutup laman-laman yang menggalak penggunaan ubat antiparasit ivermectin sebagai penawar COVID-19.

Menjawab pertanyaan media semasa satu kemas kini berhubung keadaan COVID-19 pada Rabu (20 Okt), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung sekali lagi menegaskan bahawa ivermectin bukan ubat yang sesuai untuk merawat penyakit itu.

Encik Ong kemudian ditanya mengapa Pemerintah belum lagi menggunakan POFMA terhadap laman-laman yang menggalak orang ramai untuk mengambil ivermectin sebagai penawar COVID-19.

"Kami tentu sekali sedang menelitinya," kata Encik Ong. "Di MOH, para pakar perubatan sangat jelas bahawa ivermectin tidak sesuai digunakan untuk merawat koronavirus.

Menurutnya lagi: "Apa sahaja yang digunakan dalam makmal untuk membunuh koronavirus adalah pada dos yang terlalu tinggi untuk digunakan oleh manusia dengan selamat ."

Encik Ong mengeluarkan komen tersebut setelah Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mematahkan lima percubaan untuk mengimport secara haram ubat-ubatan itu ke Singapura antara 10 September dengan 6 Oktober, dengan lebih 23,000 pil ivermectin dirampas.

Mediacorp melaporkan pada September lalu bahawa sesetengah penduduk Singapura membeli ubat ivermectin online untuk merawat COVID-19. Tiga kumpulan sembang Telegram turut dikenal pasti, dengan ahli kumpulannya membuat pembelian atau mengambil tempahan bagi ubat itu.

Pada awal bulan ini, seorang wanita berusia 65 tahun dimasukkan ke hospital setelah menggunakan ubat ivermectin.

Menyusuli kes itu, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengeluarkan kenyataan di lamannya yang menyatakan bahawa ivermectin bukan ubat antivirus dan kegunaannya tidak diluluskan sebagai ubat pencegah atau untuk merawat COVID-19.

Mengubati diri menggunakan ubat itu boleh memudaratkan diri sendiri dan ia boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut dan kecederaan pada ginjal (hepatitits). Ivermectin juga boleh menjejas ubat-ubat lain seperti ubat pencair darah, menurut HSA.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan