Skip to main content

Singapura

MOH perluas subsidi, MediSave bagi vaksin pneumokokal baharu

Satu vaksin pneumokokal baharu akan diberikan subsidi bagi warga Singapura dan penduduk tetap yang layak, serta dimasukkan untuk penggunaan Medisave, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (29 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
MOH perluas subsidi, MediSave bagi vaksin pneumokokal baharu

Seorang wanita menerima suntikan vaksin. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Satu vaksin pneumokokal baharu akan diberikan subsidi bagi warga Singapura dan penduduk tetap yang layak, serta dimasukkan untuk penggunaan Medisave, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (29 Ogos).

PCV20 keluaran Pfizer akan dimasukkan ke dalam Jadual Imunisasi Dewasa Nasional (NAIS) bermula Isnin, menurut MOH dalam satu kenyataan media.

PCV20 ialah vaksin konjugat pneumokokal 20-valen yang memberi pelindungan terhadap lebih banyak strain pneumokokal, menurut MOH.

Dengan memasukkannya ke dalam NAIS, ia akan menjadi alternatif kepada rejimen vaksinasi pneumokokal sedia ada, yang merangkumi vaksin 13-valen PCV13 dan/atau vaksin 23-valen PPSV23, tambahnya.

Vaksin itu memberikan perlindungan terhadap tujuh strain pneumokokal tambahan berbanding PCV13. Kelulusan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi vaksin tersebut diumumkan pada Mac 2023.

Singapura merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menerima vaksin tersebut.

KOS SELEPAS SUBSIDI

Mulai Isnin, warga Singapura yang layak boleh menjangka untuk membayar sekitar S$17 hingga S$68 bagi satu dos lengkap PCV20 di klinik-klinik doktor swasta (GP) di bawah Skim Bantuan Kesihatan Komuniti (CHAS), menurut MOH.

Kos vaksin tersebut bergantung kepada status kad CHAS atau sama ada seseorang itu merupakan warga Generasi Perintis atau Generasi Merdeka.

Peserta Healthier SG warga Singapura akan menerima subsidi penuh di klinik berdaftar mereka.
Related article image
Di poliklinik dan institusi jagaan jangka panjang yang dibiayai MOH, warga Singapura yang layak boleh menjangka untuk membayar sekitar S$17 hingga S$68 bagi dos yang sama.

Kos bergantung kepada pendapatan isi rumah per kapita mereka atau sama ada mereka merupakan warga Generasi Perintis atau Generasi Merdeka.

Peserta Healthier SG warga Singapura yang layak akan menerima subsidi penuh di poliklinik berdaftar mereka, menurut MOH.

Para penduduk tetap yang layak pula boleh menjangka untuk membayar sekitar S$102.
Related article image
“PCV20 disyorkan untuk semua orang dewasa berusia 65 tahun ke atas, serta orang dewasa berusia 18 hingga 64 tahun yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit pneumokokal yang serius,” menurut MOH.

Mereka yang sudah menerima PCV13 dan/atau PPSV23 boleh mendekati doktor mereka berhubung keperluan untuk mendapatkan vaksin tersebut, tambahnya.

“Secara umum, tiada pengesyoran bagi individu berusia 65 tahun ke atas yang telah melengkapkan rejimen PCV13 dan PPSV23 untuk menerima PCV20.”

Shingrix, satu-satunya vaksin berdaftar HSA bagi perlindungan terhadap penyakit kayap ularm (shingles), juga akan dimasukkan ke dalam NAIS mulai 1 September, menurut MOH. Penyertaan vaksin itu pertama kali diumumkan pada Februari.

Shingrix disyorkan untuk semua orang dewasa berusia 60 tahun ke atas, serta orang dewasa berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai sistem imun yang lemah.

“Ia disyorkan sebagai satu rejimen dua dos, dengan jarak antara dua hingga enam bulan,” menurut MOH.

Mulai pertengahan 2026, MediSave500/700 boleh digunakan untuk menampung kos selepas subsidi bagi PCV20 dan Shingrix, menurut MOH.

“Warga emas berusia 60 tahun ke atas yang layak untuk vaksin tersebut juga boleh menggunakan Flexi-MediSave.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita