Skip to main content

Singapura

MOH perluas subsidi CHAS bagi prosedur pergigian mulai 1 Okt

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (1 Sep) mengumumkan subsidi Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) yang dipertingkat bagi prosedur pergigian.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH perluas subsidi CHAS bagi prosedur pergigian mulai 1 Okt

Mulai Oktober, pemegang kad CHAS berwarna jingga akan mendapat subsidi lanjutan bagi 10 prosedur pergigian asas dan pencegahan. (Gambar: NDCS)

Diterbitkan : 02 Sep 2025 12:46PM Dikemas Kini : 02 Sep 2025 12:59PM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (1 Sep) mengumumkan subsidi Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) yang dipertingkat bagi prosedur pergigian.

Mulai 1 Oktober, para pemegang kad CHAS berwarna jingga boleh menerima subsidi lanjutan sehingga S$45.50 bagi 10 prosedur pergigian asas dan pencegahan, seperti cuci dan gilap gigi, menurut MOH dalam kenyataan medianya.

Pemegang kad CHAS berwarna jingga - iaitu isi rumah yang meraih pendapatan bulanan antara S$1,501 dengan S$2,300 - layak mendapat subsidi sehingga S$13.50 bagi konsultasi dan rawatan penggilapan gigi, dan S$45.50 untuk mencabut gigi belakang bagi setiap tuntutan.

Buat masa ini, subsisidi itu hanya ditawarkan kepada pemegang kad CHAS berwarna biru - iaitu isi rumah yang meraih pendapatan bulanan S$1,500 dan ke bawah dan warga emas generasi Merdeka dan Perintis.

Jumlah subsidi juga akan dinaikkan bagi tujuh prosedur pergigian pemulihan mulai 1 Oktober.

Ini termasuk perawatan saluran akar atau 'root canal' dan gigi palsu bagi golongan generasi Perintis dan Merdeka serta pemegang kad CHAS berwarna biru dan jingga.

Warga emas dari Generasi Perintis kini boleh mendapatkan subsidi sehingga S$625 bagi perawatan 'crowning' kekal dan S$594.50 bagi perawatan saluran akar molar (molar root canal).

Sebelum ini, subsidi bagi rawatan 'crowning' kekal adalah antara S$137.50 dengan S$625 dan S$266.50 dengan S$594.50 bagi rawatan saluran akar molar.

Tiada perubahan dikenakan bagi prosedur membaiki gigi palsu.

Selain itu, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas boleh menggunakan akaun Fleksi-MediSave mereka bagi mengimbangi sehingga S$400 setahun bagi rawatan saluran akar dan 'crowning' kekal mulai pertengahan tahun 2026 di klinik-klinik pergigian CHAS dan institusi jagaan kesihatan awam, menurut MOH.

PENANDA ARAS KOS RAWATAN PERGIGIAN

Selaras dengan lebih banyak sokongan pemerintah, MOH juga akan memperkenalkan penanda aras bagi prosedur pergigian yang biasa sebagai rujukan bagi para pesakit dan penyedia, untuk "membolehkan keputusan lebih berhemah dibuat dan menggalakkan ketelusan dalam kos pergigian".

"Penanda aras bagi kos pergigian diperkenalkan selaras dengan peningkatan sokongan pemerintah untuk memastikan kos pergigian yang lebih dimampui dan boleh diakses oleh rakyat Singapura," menurut MOH.

MOH juga melantik sebuah jawatankuasa penasihat penanda aras kos pergigian, yang sudah pun membangunkan beberapa penanda aras kos bagi 18 prosedur pergigian CHAS.

Pemerintah sudah pun menerima saranan jawatankuasa itu sepenuhnya, menurut MOH.

Bagi setiap prosedur, jawatankuasa itu menyemak tuntutan CHAS sebelum ini dan mengambil kira "kepelbagaian dalam kerumitan berkaitan dengan setiap prosedur, pengelompokan yuran dan kewajaran julat penanda aras bayaran."

Ia juga berunding dengan persatuan karyawan dan klinik-klinik pergigian mengenai prinsip dan pendekatan bagi menghasilkan penanda aras tersebut.

"Penanda aras yang disarankan secara amnya mencerminkan sebahagian besar amalan caj bagi kes-kes biasa yang dilakukan dalam klinik pergigian swasta dalam sekitaran jagaan utama," menurut MOH.

Menurut penanda aras itu, kos konsultasi adalah antara S$21 dengan S$31 manakala kos rawatan penskalaan adalah antara S$35 dengan S$60

Bagi memastikan penanda aras itu kekal relevan dan terkini, ia akan disemak secara berkala, menurut MOH.

MOH juga menekankan bahawa penanda aras tidak berfungsi sebagai "had yuran yang ketat", tetapi sebagai rujukan bagi pesakit dan klinik-klinik pergigian.

"Para penyedia khidmat pergigian harus merujuk dan menukil penanda aras yuran berkaitan apabila membincangkan kos rawatan dengan pesakit.

"Para pesakit juga harus menggunakan penanda aras itu sebagai rujukan apabila mempertimbangkan pilihan jagaan dan membuat keputusan mengenai rawatan," menurut MOH.

Klinik-klinik pergigian CHAS perlu mempamerkan penanda aras yuran mereka secara terbuka mulai Oktober.

Mulai 1 September 2026, klinik-klinik pergigian CHAS juga perlu menyerahkan pewajaran klinik bagi tuntutan subsidi CHAS yang melebihi penanda aras yang ditetapkan.

Semua klinik-klinik pergigian CHAS mulai pertengahan tahun 2026 juga perlu menyertai skm Fleksi-MediSave, menurut MOH.

Para pengamal pergigian di klinik-klinik pergigian CHAS juga perlu mendapatkan pentauliahan MediSave.

Ini selaras dengan pendekatan bagi klinik-klinik perubatan dan pengamal CHAS, menurut MOH.

Klinik-klinik pergigian CHAS boleh menyerahkan permohonan mereka mulai Oktober manakala para pengamal pergigian boleh mula memohon pentauliahan MediSave mulai sekarang, ia menambaj.

Klinik-klinik yang tidak mempunyai pentauliahan Fleksi-MediSave menjelang hujung tahun 2026 akan dikeluarkan dari skim CHAS.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita