Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH perkenal langkah bagi kekang pengambilan garam berlebihan

Rakyat Singapura makan terlalu banyak garam dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan memperkenalkan langkah-langkah bagi mengekang pengambilannya, kata Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kesihatan Rahayu Mahzam di Parlimen pada Rabu (9 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakyat Singapura makan terlalu banyak garam dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan memperkenalkan langkah-langkah bagi mengekang pengambilannya, kata Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kesihatan Rahayu Mahzam di Parlimen pada Rabu (9 Mac).

Bercakap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MOH, Cik Rahayu berkata penduduk di Singapura mengambil hampir seganda jumlah garam yang disarankan setiap hari.

Penduduk Singapura mengambil garam secara purata sebanyak 3,600 miligram sehari atau lebih daripada satu setengah sudu teh garam setiap hari, kata Cik Rahayu.

Jumlah itu hampir seganda daripada had yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang 2,000 miligram garam sehari.

"Pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan risiko lebih tinggi menghidap tekanan darah tinggi, yang sekali gus dikaitkan dengan risiko lebih tinggi bagi komplikasi serangan jantung dan angin ahmar," katanya.

Beliau juga yang mendedahkan perangkaan bahawa lebih daripada 30 peratus penduduk Singapura berusia antara 18 dengan 74 tahun menghidap tekanan darah tinggi antara 2019 dengan 2020.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan bekerjasama dengan pembekal garam dan sektor khidmat makanan untuk menggalakkan mereka supaya menggantikan penggunaan garam biasa dalam masakan kepada alternatif lain yang rendah kandungan sodium, menurut MOH dalam satu kenyataan media berasingan.

Alternatif sedemikian termasuk garam rendah sodium, yang mengandungi 30 peratus kurang sodium dalam jumlah yang sama.

"Sektor khidmat makanan adalah penyumbang utama kepada pengambilan garam dan kesannya dijangka bertambah sedang lebih ramai rakyat Singapura makan di luar," menurut MOH.

HPB akan mempertingkatkan usaha sedia ada di bawah Skim Pembangunan Bahan Lebih Sihat untuk menggalak industri garam merumuskan semula formula garam kurang sodium, sos dan bahan perisa untuk terus menambah pilihan lebih sihat untuk rakyat Singapura.

Ia juga akan membuat pelaburan prototaip bagi sos dan bahan perisa menggunakan garam rendah sodium, dengan tumpuan terhadap produk-produk yang lazimnya digunakan oleh sektor khidmat makanan dalam usaha memacu inovasi perniagaan, menurut MOH.

Selain daripada usaha pendidikan awam sedia ada, HPB akan melancarkan kempen untuk menggalak rakyat Singapura supaya mengambil langkah untuk mengurangkan pengambilan garam.

"Kempen ini akan mendidik tentang bahaya pengambilan garam berlebihan, meningkatkan kesedaran tentang bahan-bahan alternatif garam dan bagaimana pengguna boleh menggantikan penggunaan garam dalam masakan di samping mengekalkan rasanya," menurut MOH.

Khusus bagi kaum minoriti, Cik Rahayu berkata HPB akan bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) untuk membangunkan Dana S$1.5 juta.

Dana Singapura Kita Sihat itu akan menyokong relawan masyarakat dan rakan kongsi untuk membangunkan program yang "selaras" dengan keperluan masyarakat dan justeru ia lebih tersasar dan berkesan untuk membangunkan sebuah masyarakat yang lebih sihat, katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan