Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH perhebat usaha pertingkat kesedaran 'dalam kalangan penduduk berisiko' tentang cacar monyet

Anggaran Waktu Membaca:
MOH perhebat usaha pertingkat kesedaran 'dalam kalangan penduduk berisiko' tentang cacar monyet

(Gambar: RKI Robert Koch Institute/AFP/File/Andrea MAENNEL, Andrea SCHNARTENDORFF)

Diterbitkan : 25 Jul 2022 06:17PM Dikemas Kini : 25 Jul 2022 06:17PM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Isnin (25 Jul) bahawa pihaknya sudah mempertingkatkan usaha untuk mendekati "kumpulan berisiko", termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti seksual berisiko tinggi untuk meningkatkan kesedaran mengenai penularan cacar monyet.

Perkara tersebut akan dijalankan melalui rakan-rakan jagaan kesihatan dan masyarakat, kata seorang jurucakap MOH semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Ia sebahagian daripada usaha MOH untuk membendung penularan cacar monyet.
MOH pada Isnin (25 Jul) menyatakan bahawa pendidikan dan mendampingi kumpulan berisiko adalah penting untuk mengurangkan kadar penularan cacar monyet.

"Sejajar dengan saranan yang diberikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), usaha sudah dipertingkatkan untuk mendekati penduduk berisiko tinggi melalui rakan-rakan jagaan kesihatan dan masyarakat.

Ia untuk meningkatkan kesedaran mengenai penularan virus cacar monyet dan langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko penularan seterusnya," menurut MOH.

MOH mengulangi bahawa melaksanakan tanggungjawab peribadi dengan mengelakkan aktiviti berisiko tinggi, terutamanya apabila mengalami gejala
serta mengamalkan kebersihan diri pada tahap yang baik kekal berkesan dalam mengurangkan risiko penularan.

Mereka yang pulang ke Singapura dari luar negara terutama sekali daripada kawasan yang terjejas oleh penyakit cacar monyet harus segara mendapatkan rawatan perubatan jika mereka mengalami gejala seperti demam tinggi, kelenjar yang bengkak dan ruam dalam masa tiga minggu selepas kembali.

Mereka juga harus memaklumkan kepada doktor mengenai perjalanan yang dilakukan baru-baru ini ataupun sejarah risiko.

Mana-mana individu yang mendapati mereka berisiko dan bergejala harus mendapatkan rawatan perubatan dengan segera, menurut kementerian itu.

Kenaikan dalam kes jangkitan cacar monyet dilaporkan di seluruh dunia sejak Mei di kawasan luar negara-negara Afrika Barat dan Tengah di mana penyakit ini sudah lama menjadi endemik.

Lebih daripada 16,000 kes cacar monyet dilaporkan di 75 negara.
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa