Skip to main content

Singapura

MOH perbetul maklumat salah mengenai bedah siasat, undang-undang vaksinasi COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
MOH perbetul maklumat salah mengenai bedah siasat, undang-undang vaksinasi COVID-19

Seorang wanita dengan botol kecil berlabel "Vaksin COVID-19" dan picagari perubatan dalam ilustrasi ini diambil pada 10 Apr 2020. (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (3 Jun) menjelaskan dan menolak dua dakwaan palsu yang tersebar di media sosial berhubung hasil bedah siasat COVID-19 dan undang-undang vaksinasi di Singapura.

Dalam kenyataan medianya, MOH memperbetulkan maklumat salah yang menggambarkan seolah-olah Singapura adalah negara pertama yang menjalankan bedah siasat COVID-19 dan mendapati bahawa COVID-19 tidak wujud sebagai virus tetapi sebagai bakteria.

MOH menambah bahawa mesej itu mula disebarkan pada 2021 tetapi muncul semula baru-baru ini.

"Ini palsu. Seperti yang dijelaskan oleh MOH, Singapura tidak melakukan bedah siasat sedemikian, dan juga tidak benar bahawa COVID-19 disebabkan oleh bakteria," tegas MOH.

MOH sebelum ini menarik perhatian pada 2021 bahawa versi awal mesej itu telah menyebut Rusia dan bukannya Singapura, yang juga tidak benar.

MOH juga menolak dakwaan palsu berasingan yang mendakwa seolah-olah Singapura telah menggubal undang-undang untuk mewajibkan vaksin dan memenjarakan individu yang tidak divaksin berikutan lawatan pengasas bersama Microsoft dan dermawan Bill Gates ke Singapura baru-baru ini.

"Ini juga palsu. Singapura tidak meluluskan sebarang undang-undang mengenai vaksinasi selepas lawatan Encik Gates ke Singapura baru-baru ini," kata MOH.

Carian online oleh Mediacorp menunjukkan bahawa Encik Gates dengan kerap telah menjadi subjek vaksin dan teori konspirasi COVID-19, dengan satu daripadanya mendakwa solah-olah Encik Gates mahu menggunakan vaksin sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menghapuskan berbilion penduduk dunia.

“Kami menggesa orang ramai supaya jangan menyebarkan maklumat tidak berasas yang boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai,” nasihat MOH.

Singapura bulan lalu melaporkan peningkatan kes COVID-19, sedang MOH memberi amaran tentang gelombang jangkitan berkala sepanjang tahun, serupa dengan penyakit pernafasan endemik yang lain.

Buat masa ini, varian-varian utama COVID-19 yang berlegar-legar di Singapura ialah LF.7 dan NB.1.8, membentuk lebih dua pertiga daripada kes-kes tempatan.

Kedua-dua varian itu adalah turunan daripada varian JN.1, yang juga merupakan varian yang digunakan dalam perumusan vaksin COVID-19 semasa.

Buat masa ini, tiada petunjuk bahawa varian-varian yang berlegar-legar secara tempatan adalah varian-varian lebih mudah berjangkit daripada varian-varian sebelumnya.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita