MOH pantau rapi keadaan COVID-19 sejagat; sedia tingkat langkah kesihatan di sempadan jika perlu
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Jumaat (30 Dis) bahawa Singapura sedang memantau dengan teliti keadaan COVID-19 sejagat dan bersedia untuk meningkatkan langkah-langkah kesihatan sempadan untuk negara tertentu jika perlu.
Dalam satu kenyataan media, MOH menarik perhatian bahawa masyarakat prihatin mengenai jumlah kes jangkitan COVID-19 yang tinggi di China dan pengumuman kelonggaran sekatan perjalanan di sempadan bermula 8 Januari 2023.
"Walaupun banyak negara sebelum ini sudah memansuhkan langkah-langkah sempadan berhubung kesihatan awam secara sepenuhnya, Singapura tidak berbuat demikian dan mengekalkan beberapa langkah," menurut MOH, sambil menekankan langkah-langkah bagi individu tidak lengkap divaksin yang memasuki Singapura.
"Langkah-langkah ini mengurangkan risiko menyaksikan kes import yang sakit teruk, yang boleh membebankan kapasiti jagaan kesihatan kami.
"Buat masa ini, kami akan terus mengekalkan syarat vaksinasi dan langkah sempadan yang sedia ada bagi pelawat yang tidak lengkap divaksin."
MOH menambah ia sedang "memantau rapi keadaan", termasuk kedua-dua "perkembangan di luar negara" dan tekanan pada sistem jagaan kesihatan Singapura.
"Kami bersedia untuk melaksanakan semula langkah-langkah kesihatan sempadan bagi negara-negara tertentu sekiranya perlu, bergantung kepada keadaan semasa," menurut kementerian itu.
KEPRIHATINAN MENGENAI VARIAN, TEKANAN PADA HOSPITAL
MOH menyatakan pada Jumaat bahawa faktor paling penting pada peringkat pandemik COVID-19 sekarang ini adalah daya imun penduduk Singapura.
"Kami tidak boleh menghentikan jangkitan sepenuhnya dan sudah tentu virus itu terus merebak dalam kalangan masyarakat kita. Walau bagaimanapun, kami boleh memastikan bahawa jangkitan membawa kepada kurang jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan mengalami sakit teruk," menurut MOH.
Kementerian berkenaan menekankan bahawa keadaan epidemiologi Singapura kekal stabil menyusuli gelombang varian XBB, dengan Singapura berada di "kedudukan lebih kukuh untuk hidup dengan COVID-19" disebabkan pelancaran vaksin pediatrik dan vaksin bivalen serta kemudahan baru untuk menangani koronavirus.
Namun, ia turut menggariskan dua keprihatinan khusus berhubung keadaan COVID-19 di seluruh dunia.
Pertama adalah kemungkinan kemunculan varian-varian baru dan lebih berbahaya.
MOH menyatakan Singapura bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa termasuk GISAID (Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data), untuk memantau varian-varian yang menular di seluruh dunia dan turut melakukan pemantauan genomik ke atas kes tempatan dan import.
Berdasarkan hasil penjujukan yang dikemukakan oleh Pusat Kawalan Penyakit di pelbagai bandar di China, tiada varian baru dikesan dengan jangkitan yang lebih teruk daripada subvarian yang dikenal pasti sebelum ini.
Keprihatinan kedua ialah pelawat asing tidak seharusnya menambah "beban sistem kesihatan" yang dihadapi hospital-hospital di Singapura.
Menurut MOH, lapangan terbang Singapura menyaksikan ketibaan antara 700 hingga 1,000 orang dari China setiap hari, atau sekitar 1 peratus hingga 1.5 peratus daripada jumlah keibaan harian melalui udara, kebanyakannya terdiri daripada penduduk dan pemegang pas jangka panjang yang kembali ke Singapura.
Setiap minggu, MOH mengesan 40 hingga 80 kes COVID-19 daripada kumpulan pelawat tersebut. Kesemua mereka menunjukkan gejala ringan, kecuali seorang warga Singapura yang mengalami kesihatan yang teruk selepas perjalanan ke China baru-baru ini.
"Memandangkan perjalanan udara dengan China akan dipulihkan secara beransur-ansur, kami akan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum meningkatkan kapasiti kemasukan, dengan mengambil kira penilaian kesihatan awam secara keseluruhan," menurut MOH lagi.
Awal bulan ini, China mengumumkan pelonggaran ke atas sekatan ketat COVID-19 di seluruh negara, yang sebelum ini mencetuskan tunjuk perasaan yang jarang berlaku di beberapa bandar.
Senarai langkah baru yang dikeluarkan Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC) memansuhkan had sedia ada bagi jumlah penerbangan antarabangsa antara China dengan seluruh dunia, dengan perjalanan ke luar negara bagi rakyatnya dibenarkan semula dalam keadaan "teratur", sedang negara itu menurunkan tahap COVID-19.
Ia menandakan langkah terkini oleh pemerintah China untuk melonggarkan rejim sifar COVID setelah ia tiba-tiba menggugurkan syarat ujian wajib dan perintah berkurung pada awal bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.