Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH naikkan had tuntutan MediShield Hayat bagi khidmat rawatan barah kepada S$3,600 mulai April

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Had tuntutan MediShield Hayat bagi khidmat ubat barah akan dinaikkan kepada S$3,600 setiap tahun mulai 1 April 2023, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (4 Mac). 

Had tuntutan berasingan bagi khidmat ubat barah untuk pesakit luar diperkenalkan pada 1 September 2022 untuk "membiayai kos perkhidmatan yang mungkin perlu ditanggung sepanjang tempoh rawatan barah pesakit", menurut MOH, sambil menambah bahawa perkhidmatan itu termasuk imbasan, ujian darah, janji temu dengan doktor dan jagaan sokongan. 

Buat masa ini, had tuntutan MediShield Hayat bagi perkhidmatan sedemikian ditetapkan pada S$1,200 setiap tahun dan had MediSave pula sebanyak S$600 setiap tahun. 

"Sejak pelaksanaannya, kami menerima maklum balas bahawa had tuntutan MediShield Hayat bagi khidmat rawatan barah mungkin tidak mencukupi bagi sesetengah pesakit yang memerlukan ujian lebih kerap demi memantau perkembangan penyakit atau mereka yang memerlukan lebih banyak jagaan sokongan untuk menangani kesan sampingan yang dialami," menurut MOH. 

Setelah menyemak data tuntutan terkini yang tersedia, MOH akan menaikkan had tuntutan MediShield Hayat kepada S$3,600 bagi setiap tahun. 

Pesakit yang membuat tuntutan bagi khidmat rawatan barah pada 2023 boleh membuat tuntutan tambahan MediShield Hayat mulai 1 April, sehingga ke had baru. 

Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu juga akan disesuaikan untuk membiayai hanya rawatan dalam Senarai Rawatan Barah saja mulai tarikh yang sama setelah polisi insurans tersebut dibeli atau diperbaharui, menurut MOH. 

Tiada perubahan pada had MediSave sebanyak S$600 setiap tahun, tambah MOH.

MOH pada Ogos 2021 mengumumkan bahawa lebih ramai pesakit barah akan menerima subsidi bagi rawatan pesakit luar di bawah pindaan pada MediShield Hayat, dengan perubahan-perubahan itu berkuat kuasa September lalu. 

Pesakit berkenaan boleh membuat tuntutan antara S$200 hingga S$9,600 setiap bulan di bawah senarai yang merangkumi 90 peratus rawatan barah yang digunakan dalam sektor awam, menurut MOH. 

"MOH akan terus menyemak skim pembiayaan jagaan kesihatan untuk memastikan ia mencukupi bagi memenuhi keperluan warga Singapura, sambil memastikan kemampanan jangka panjang kos jagaan kesihatan," tekan kementerian tersebut.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan