Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH, MSF ambil 'tindakan segera' perbetul kelemahan yang dikenal pasti AGO

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Selasa (16 Jul) menyatakan pihak masing-masing sedang "mengambil tindakan segera" bagi menangani kebimbangan yang dikenal pasti Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) dalam laporan terbaru audit tahunannya.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH, MSF ambil 'tindakan segera' perbetul kelemahan yang dikenal pasti AGO

Bangunan MOH (kiri) dan MSF (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 16 Jul 2019 07:49PM Dikemas Kini : 16 Jul 2019 07:53PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Selasa (16 Jul) menyatakan pihak masing-masing sedang "mengambil tindakan segera" bagi menangani kebimbangan yang dikenal pasti Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) dalam laporan terbaru audit tahunannya.

Dalam audit bagi tahun kewangan 2018/19, AGO mendapati meskipun terdapat proses yang ditetapkan MOH dan MSF bagi meluluskan dan memperbaharui program geran, terdapat kelemahan dalam pemeriksaan bagi pengagihan geran.

Geran-geran tersebut berhubung dengan program sosial di bawah pentadbiran kedua-dua kementerian yang menyediakan dana bagi pertubuhan kebajikan suka rela (VWO).

AGO mendapati "dalam beberapa kejadian yang ketara" di mana kelulusan bagi dana hanya diberikan selepas tempoh pembiayaan bermula.

"Terdapat juga kejadian apabila geran diluluskan untuk dibayar atau diagihkan sebelum kelulusan dana diperolehi atau sebelum perjanjian dipersetujui," menurut laporan itu.

Terdapat juga kesilapan dalam pengiraan dana yang diagihkan.

Bagi MOH, pemeriksaan ujian mendapati dalam dua program utama, terdapat beberapa kejadian yang melibatkan jumlah pembayaran salah dikeluarkan oleh kementerian itu. Sementara itu kurangnya pemeriksaan pada data dalam sistem IT mungkin menyebabkan pengagihan berlebihan di bawah satu program utama MSF.

KURANG PERIKSA, MUNGKIN TERLEBIH AGIH DANA

Di bawah program geran operasi MOH, S$469 juta diagihkan daripada belanjawan operasi kementerian itu bagi tahun kewangan 2016/17 dan 2017/18. Program tersebut menyediakan dana operasi bagi VWO termasuk subsidi bagi pesakit yang layak.

Bagaimanapun analisis atas rekod bagi 71,113 pesakit mendapati agihan berhubung catatan bagi 2,669 pesakit mungkin salah.

Jika benar kesemua 2,669 rekod itu adalah salah, ini bermakna berlaku agihan berlebihan sebanyak S$4.04 juta dan pembayaran yang kurang berjumlah S$3.84 juta bagi tempoh sekitar dua tahun dan tiga bulan, menurut laporan itu.

AGO menarik perhatian terdapat kemungkinan pengagihan geran berlebihan oleh kementerian disebabkan pihak kementerian tidak memeriksa tuntutan yang dibuat VWO bagi jenis khidmat yang bertindih bagi pesakit yang sama.

KELEMAHAN PADA PANTAUAN YANG DITETAPKAN BAGI PENDANAAN

Bagi kedua-dua kementerian, laporan AGO mendedahkan kelemahan dalam pemantauan yang diperuntukkan bagi pendanaan.

"Apabila terdapat dokumen seperti kenyataan kewangan diaudit yang diserahkan oleh VWO bagi program geran operasi, AGO mendapati tiada bukti menunjukkan MOH menyemaknya, bagi sejumlah besar kes," menurut laporan itu.

Bagi MSF pula, kelemahan yang dikenal pasti AGO membabitkan lebih daripada satu tahap geran bagi program khidmat keluarga, yang merupakan program utama kementerian itu.

Misalnya, AGO mendapati pendanaan kepada VWO diperoleh daripada penguasa yang salah atau selepas tempoh pendanaan sudah bermula.

Juga terdapat kekurangan dari sistem kawalan bagi catatan kes yang dimasukkan dalam sistem IT. Ini bermakna pengagihan mungkin dibuat bagi kes-kes yang tidak layak menerima dana.

Dalam kenyataan bersama bagi menjawab dapatan AGO, MOH dan MSF akur perlunya kementerian itu memperkukuh sistem kawalannya.

"Kedua-dua MOH dan MSF sedang mengambil langkah segera untuk menangani kebimbangan yang diutarakan AGO, termasuk bekerjasama dengan VWO yang relevan untuk membetulkan pengagihan yang kurang mahupun terlebih."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan