Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH, MOE & MSF 'pantau dengan teliti' kadar kes bunuh diri; pakar bentang risiko terhadap golongan muda

Golongan muda yang berusia dalam lingkungan usia 20-an tahun sedang melalui fasa peralihan dalam kehidupan mereka dan ini boleh menyumbang kepada lebih banyak faktor tekanan yang meningkatkan risiko mengambil nyawa sendiri dengan sengaja, menurut pihak berkuasa dan para pakar kesihatan mental

Anggaran Waktu Membaca:
MOH, MOE & MSF 'pantau dengan teliti' kadar kes bunuh diri; pakar bentang risiko terhadap golongan muda

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 24 Aug 2020 09:28PM Dikemas Kini : 24 Aug 2020 09:31PM

SINGAPURA: Golongan muda yang berusia dalam lingkungan usia 20-an tahun sedang melalui fasa peralihan dalam kehidupan mereka iaitu sama ada untuk menamatkan pengajian, memulakan kerjaya atau menangani cabaran dalam menjalin hubungan - dan perkara-perkara ini boleh menyumbang kepada lebih banyak faktor tekanan yang meningkatkan risiko mengambil nyawa sendiri dengan sengaja, menurut pihak berkuasa dan para pakar kesihatan mental

Laporan yang diterbitkan oleh Samaritans of Singapore (SOS) baru-baru ini mendapati bahawa jumlah kes bunuh diri dalam kalangan individu yang berusia 20-an tahun masih di paras tertinggi pada tahun lalu jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan usia yang lain.

Pada 2019, 71 individu yang berusia antara 20 dengan 29 tahun mengambil nyawa sendiri dengan sengaja dan kes-kes bunuh diri membentuk sekitar sepertiga daripada kesemua kes kematian yang dilaporkan bagi kumpulan usia tersebut.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, SOS menyatakan masalah-masalah yang kerap dihadapi oleh para individu dalam lingkungan usia 20-an tahun adalah isu hubungan termasuk hubungan keluarga, persahabatan dan hubungan cinta serta kesulitan menangani kesihatan mental masing-masing.

"Tanpa kemahiran dan sokongan yang sewajarnya bagi menangani serta mengatasi krisis, kegagalan dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan, ada yang mungkin berputus asa dan mempunyai sikap negatif yang akhirnya mendorong perbuatan mengambil nyawa sendiri dengan sengaja," menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan bersama bagi menjawab pertanyaan Mediacorp.

TEKANAN RAKAN SEBAYA DAN TINDAKAN TERBURU-BURU

Sekarang ini juga merupakan tempoh di mana para individu mula menjadi "lebih berdikari", kata ketua eksekutif SOS Gasper Tan.

"Jangkaan masyarakat terhadap apa yang dianggap sebagai satu kejayaan kadangkala membentuk bagaimana seseorang individu mengukur pencapaiannya dalam pelbagai aspek kehidupan seperti kemajuan pada kerjayanya, pencapaian dalam bidang pendidikan dan hubungan cinta," katanya.

Tanggapan bahawa mereka harus "bersedia untuk membuat penyesuaian" dan "mempunyai keupayaan memikul tanggungjawab yang berbeza-beza" mungkin menyebabkan mereka berasa gelisah atau takut", tambahnya.

Profesor Madya Swapna Verma, konsultan kanan dan ketua jabatan psikosis di Institut Kesihatan Mental (IMH) menambah bahawa sikap terburu-buru mungkin turut menyumbang kepada percubaan untuk mengambil nyawa sendiri.

"Bagi golongan muda, otak mereka masih bertumbuh dan bahagian tengah otak yang mengawal keupayaan untuk membuat keputusan dan mengawal diri belum tumbuh sepenuhnya sehingga mereka berusia kira-kira 25 tahun. Oleh itu, para individu dalam lingkungan usia ini lebih cenderung untuk bertindak terburu-buru berbanding di fasa lain dalam kehidupan mereka," katanya.

"Sikap tergesa-gesa ini, apabila digandingkan dengan faktor tekanan yang mungkin dihadapi, boleh menyebabkan mereka lebih berkemungkinan untuk bertindak mengikut perasaan untuk membunuh diri dan menyumbang kepada percubaan untuk mengambil nyawa sendiri dengan sengaja."

SOKONGAN KEPADA BELIA

MSF, MOH dan MOE menyatakan ketiga-tiga kementerian itu sedang "memantau dengan teliti" kadar kes bunuh diri di Singapura dan melaksanakan pelbagai program bagi menangani kesejahteraan mental dalam kalangan belia.

Menarik perhatian bahawa punca utama kes bunuh diri adalah rumit, ketiga-tiga kementerian tersebut menyatakan mereka mengambil "pendekatan serampang ganda" yang termasuk membina daya ketahanan, menghapuskan stigma dan mengenal pasti serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang berisiko membunuh diri.

"Kebanyakan sekolah aliran utama dan Institut Pengajian Tinggi menyediakan sokongan rakan sebaya bagi menggalak para pelajar supaya memberikan bantuan kepada satu sama lain, dan menggalak teman yang mengalami kesulitan untuk mendapatkan bantuan daripada golongan dewasa yang dipercayai, ibu bapa, guru atau kaunselor. Kita menepati sasaran untuk menyediakan struktur dan budaya sokongan rakan sebaya di semua sekolah menjelang 2022."

Kementerian-kementerian itu menambah bahawa mereka juga sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi pemerintah dan rakan-rakan kongsi masyarakat.

Salah satu inisiatif yang dijalankan adalah Rangkaian Kesejahteraan Mental Belia yang ditubuhkan pada Februari lalu dan disokong oleh MOH, MOE dan MSF bagi mempertingkatkan usaha oleh agensi-agensi dan kumpulan-kumpulan masyarakat bagi "mengukuhkan ekosistem bantuan kita", menurut ketiga-tiga kementerian tersebut.

Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) juga mengendalikan beberapa inisiatif lain termasuk Gerakan Menjangkaui Label pada 2018 bagi menangani stigma terhadap mereka yang mengalami masalah kesihatan mental serta Perikatan Belia pada September 2019 bagi menyokong belia dan menggalak mereka supaya mendapatkan bantuan.

"Meningkatkan kesedaran dan menghapuskan stigma terhadap isu-isu kesihatan mental adalah penting demi menggalak dan menjadikan perbuatan mendapatkan bantuan sebagai sesuatu yang normal," menurut kementerian-kementerian tersebut. "Pengesanan dan campur tangan awal adalah penting, dan mereka yang menghadapi masalah emosi, isu kesihatan mental atau berfikiran mahu mengambil nyawa sendiri dengan sengaja harus digalak untuk mendapatkan bantuan."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan