MOH, MND sangkal dakwaan rasuah, kaut untung berhubung pusat jagaan COVID-19 sebagai 'palsu, berniat jahat'
Pihak berkuasa dengan tegas menyangkal dakwaan bahawa terdapat perbuat mengaut untung serta rasuah berkaitan dengan pembangunan kemudahan jagaan masyarakat oleh Surbana Jurong di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapore Expo sambil menyatakan tuduhan-tuduhan tersebut adalah palsu selain berniat jahat.
Sebuah dewan di Dewan Konvensyen dan Pusat Pameran Singapore Expo di Changi yang digunakan untuk menempatkan para pesakit COVID-19. (Gambar: MOH)
SINGAPURA: Pihak berkuasa dengan tegas menyangkal dakwaan bahawa terdapat perbuat mengaut untung serta rasuah berkaitan dengan pembangunan kemudahan jagaan masyarakat (CCF) oleh Surbana Jurong di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapore Expo sambil menyatakan tuduhan-tuduhan tersebut adalah palsu selain berniat jahat.
Dalam satu kenyataan bersama pada Rabbu (20 Mei), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan Pemerintah meminta syarikat pelaburan Negara, Temasek supaya membantu untuk menubuhkan CCF bagi pesakit COVID-19 yang sedang pulih serta mereka yang mengalami gejala ringan atau tanpa sebarang gejala. Ini kerana Temasek mempunyai daya sumber yang diperlukan melalui anak-anak syarikatnya.
"Temasek bersetuju untuk membantu dan juga bersetuju bahawa semua kerja yang dilakukan oleh Temasek serta syarikat-syarikat terkait dengannya akan dijalankan pada kos dan, dalam sesetengah kes, di bawah kos," menurut kedua-dua kementerian itu.
MOH dan MND menambah bahawa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Menteri MOM Josephine Teo tidak terlibat dalam pemilihan Surbana Jurong atau mana-mana pihak untuk menyertai dalam pembangunan CCF di Singapore Expo. Ia juga tidak terlibat dalam proses menguruskan kos projek berkenaan.
Suami Cik Teo, Encik Teo Eng Cheong, adalah Ketua Eksekutif (antarabangsa) Surbana Jurong.
Menurut MOH dan MND, Temasek mengenal pasti Singapore Expo sebagai tempat sesuai bagi pembangunan CCF dan meminta Surbana Jurong untuk mengubah bangunan Expo itu menjadi CCF berskala besar yang pertama di Singapura.
"Bagi semua kerja yang dilakukanoleh Temasek, ia tidak mengenakan sebarang yuran pengurusan dan hanya mengeluarkan invois kepada MND untuk dibayar kepada pihak ketiga. Temasek juga mengesahkan bahawa syarikat-syarikat terkait dengannya termasuk Surbana Jurong hanya akan mengenakan bayaran bagi perbelanjaan langsung, mengikut kos."
Kedua-dua kementerian itu menambah sesetengah aspek pekerjaan dikenakan bayaran di bawah kos biasa.
Pada hujung minggu lalu, beberapa catatan tular di media sosial dan wadah pesanan ringkas yang menuduh Cik Teo dan Surbana Jurong mengaut keuntungan daripada penularan COVID-19.
Pada Selasa, Surbana Jurong mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan tersebut sambil menyatakan ia "bukan sahaja tidak benar, tetapi juga tidak menghormati rakan-rakan sekerja kami yang membuat pengorbanan besar termasuk meletakan kesihatan mereka dalam risiko untuk menyiapkan projek tersebut di bawah keadaan mencabar demi kemaslahatan masyarakat kita".
MOH dan MND juga menarik perhatian bahawa bagi pembangunan CCF di Singapore Expo, yang mempunyai 8,000 katil, Temasek juga telah meminta syarikat-syarikat lain termasuk PSA International - iaitu penyelaras projek keseluruhannya - Singapore Technologies Engineering dan Sheares Healthcare untuk membantu.
Vendor-vendor luar seperti Parkway Pantai, Resorts World Sentosa and Certis Cisco turut memainkan peranan penting dalam pembangunan CCF itu, tambahnya.
MOH menyatakan ia bekerja bersama Temasek dan badan-badan lain berhubung keperluan jagaan kesihatan serta tapak CCF itu. Apabila semua perkara dimuktamadkan, MND bekerja bersama entiti-entiti berkenaan berhubung pembayaran bagi pembanguna CCF Singapore Expo.
Surbana Jurong bekerja bersama dengan rakan kerja lain untuk menyiapkan pembangunan CCF Singapore Expo, jelas MOH dan MND.
Tambahnya: "Pemerintah akur bahawa pertanyaan dapat diajukan mengenai perbelanjaan dan bersedia sepenuhnya untuk menjelaskan mengapa serta bagaimana wang dibelanjakan.
"Bagaimanapun, Pemerintah akan bertindak balas secara tegas dan sewajarnya terhadap penyebaran mana-mana tuduhan rasuah."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.