Skip to main content

Singapura

MOH mahu maklum balas rangka kerja perkongsian maklumat kesihatan antara penyedia jagaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
MOH mahu maklum balas rangka kerja perkongsian maklumat kesihatan antara penyedia jagaan kesihatan

Gambar hiasan: iStock/BongkarnThanyakij

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mahu mendapatkan maklum balas awam berhubung rangka kerja yang diusulkan untuk berkongsi maklumat kesihatan antara penyedia jagaan kesihatan.

Rundingan awam mengenai Rang Undang-Undang Maklumat Kesihatan (HIB) akan berlangsung dari Isnin (11 Dis) hingga 11 Jan 2024, menurut MOH dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Tiga matlamat utama Rang itu adalah untuk memastikan maklumat kesihatan sentiasa dikemas kini, tepat dan boleh diakses; memudahkan rangka kerja perkongsian data kesihatan untuk memudahkan aliran maklumat antara penyedia jagaan kesihatan dan khidmat jagaan sosial serta menetapkan keselamatan siber dan perlindungan keselamatan data yang perlu dipatuhi pihak penyedia.

Rang tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada separuh pertama 2024, kata MOH.

Tambahnya hanya maklumat kesihatan utama seperti diagnosis, ubat-ubatan, alahan atau laporan makmal akan disumbangkan kepada Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) sebagai sebahagian daripada Rang itu.

Ini akan membolehkan penyedia mendapat akses kepada rekod perubatan pesakit bagi menyediakan jagaan yang lebih baik.

Namun penyedia hanya dibenarkan akses kepada maklumat yang diperlukan untuk mereka memberi rawatan kepada pesakit, kata MOH.

Ia juga menyatakan bahawa maklumat kesihatan sensitif - yang boleh membawa kepada stigma sosial atau diskriminasi - hanya boleh diakses oleh pengamal perubatan, jururawat terpilih dan ahli farmasi di institusi awam, "berdasarkan peranan mereka dalam menyediakan jagaan kepada pesakit".

Terdapat juga syarat-syarat tambahan yang akan dikenakan mengenai maklumat kesihatan sensitif di bawah Rang tersebut.

Ia juga jelas tidak membenarkan data digunakan untuk menilai kesesuaian seseorang untuk mendapatkan pekerjaan atau sama ada seseorang itu layak menjadi pemegang polisi insurans atau penuntut.


Ini akan memastikan sejarah perubatan seorang pesakit tidak boleh digunakan untuk mendiskriminasi keupayaan pesakit diambil kerja atau mendapatkan insurans, kata MOH.

Keperluan bagi menguatkuasakan Rang Undang-Undang itu timbul sedang penduduk Singapura semakin menua, tambah MOH dalam satu kenyataan media.

Ia menjangkakan keperluan jagaan kesihatan menjadi lebih rumit sedang lebih ramai warga Singapura mengalami masalah perubatan kronik, sekali gus memerlukan mereka untuk pergi ke beberapa institusi jagaan kesihatan dan bergantung kepada pelbagai penyedia jagaan kesihatan bagi rawatan.

PILIHAN UNTUK SEKAT AKSES

Rang Undang-Undang itu akan menyediakan pilihan untuk meletakkan sekatan pada perkongsian maklumat kesihatan utama mereka di NEHR.

"Sekatan ini bermakna bahawa tiada sesiapa yang akan dibenarkan untuk mengakses maklumat individu itu dalam NEHR, termasuk doktor yang merawat individu tersebut," jelas MOH.

MOH memberi amaran bahawa dengan sekatan itu, seseorang individu itu "mungkin berdepan dengan penyediaan jagaan yang kurang cekap".

Sekatan tersebut bagaimanapun diketepikan sekiranya berlaku kecemasan perubatan, kata MOH.

KESELAMATAN SIBER DAN PERLINDUNGAN DATA

Dengan peningkatan sumbangan, akses dan perkongsian maklumat kesihatan di seluruh ekosistem, terdapat risiko lebih tinggi berlaku serangan siber dan kesan daripada potensi kehilangan data, kata MOH.

Justeru, penyedia jagaan kesihatan yang menyumbang kepada atau mengakses NEHR, atau penyedia jagaan yang turut serta dalam kes perkongsian data yang dibenarkan di bawah Rang Undang-Undang itu, perlu memenuhi "keperluan bersepadu mengenai keselamatan siber dan keselamatan data" untuk melindungi maklumat kesihatan elektronik dan bukan elektronik.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita