Skip to main content

Singapura

MOH lanjutkan tempoh penggantungan Cordlife sehingga 3 bulan lagi

Kementerian Kesihatan (MOH) melanjutkan tempoh penggantungan Cordlife selama tiga bulan lagi, demikian menurut syarikat itu pada Selasa (28 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 May 2024 02:42PM Dikemas Kini : 29 May 2024 12:21AM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) melanjutkan tempoh penggantungan Cordlife selama tiga bulan lagi, demikian menurut syarikat itu pada Selasa (28 Mei).

Tempoh penggantungan syarikat itu selama enam bulan sebelum ini dijadual berakhir pada 15 Jun, namun pihak berkuasa menentukan bahawa lebih banyak masa diperlukan untuk memastikan Cordlife memenuhi keperluan untuk menyambung semula operasi penyimpanan darah tali pusat.

Tujuh daripada tangki penyimpanan Cordlife terdedah kepada suhu melebihi had dibenarkan, sekaligus mengakibatkan kerosakan beberapa unit darah tali pusat milik sekurang-kurangnya 2,150 pelanggan.

Lagi 17,000 pelanggan pula mungkin terjejas, menurut syarikat itu pada November lalu.

MOH mengarahkan Cordlife supaya henti mengumpul, menguji, memproses dan/atau menyimpan sebarang darah tali pusat dan tisu manusia baharu, atau menawarkan sebarang bentuk ujian kepada para pelanggan mulai 15 Disember 2023.

Pemeriksaan lanjut dijalankan oleh MOH pada April dan Mei lalu untuk menilai perkembangan Cordlife dalam memperbetulkan isu itu.

Ia menyatakan syarikat itu belum lagi selesai mengesahkan sistem AXP II bagi memproses darah tali pusat, pembangunan prosedur operasi dan amalan sewajarnya dan bagi sistem AXP II.

Ia juga belum selesai mengendalikan latihan dan penilaian kecekapan kakitangannya menggunakan sistem tersebut.

"Masa tambahan juga akan diperlukan, untuk menilai data pengesahan, meluluskan keputusannya, menyemak dan meluluskan prosedur operasi standard dan melaksanakan latihan untuk kakitangan dan penilaian kecekapan, dan MOH menilai untuk selesai melakukan kesemua keperluan itu akan mengambil masa sekitar tiga bulan mulai 15 Jun.

"MOH menyatakan lanjut bahawa keperluan memenuhi semua syarat di atas adalah penting untuk memastikan syarikat itu dapat sambung semula operasi menawarkan khidmat penyimpanan darah tali pusat."

Cordlife dimaklumkan pada Isnin (27 Mei) mengenai pelanjutan terhadap tempoh penggantungannya "sehingga lagi tiga bulan".

Namun tempoh penggantungan itu mungkin berakhir lebih awal jika kelulusan diberikan oleh ketua pengarah kesihatan MOH, bergantung kepada perwakilan syarikat itu kepada MOH.

Cordlife menyatakan ia tidak berhasrat menghantar perwakilan bertulis sedemikian kepada MOH dan akan memaklumkan kepada pihak kementerian.

"Syarikat ini akan terus berusaha mempercepatkan pelaksanaan ujian potensi, selain daripada usaha memperbaiki dan akan mengemas kini MOH berhubung perkembangannya dalam memenuhi semua keperluan dan mendapat kelulusan untuk menyambung semula operasi secepat mungkin," menurut Cordlife.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita