Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH lancar program penyelidikan baru; persiapkan SG hadapi pandemik hari muka

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Nov 2022 01:30PM Dikemas Kini : 03 Nov 2022 08:49PM

SINGAPURA: Satu program baru yang bertujuan untuk membangunkan kesediaan dan keupayaan tindak balas Singapura terhadap pandemik-pandemik akan datang dilancarkan secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (3 Nov). 

Tugas yang perlu segera dilaksanakan di bawah Program Penyelidikan Kesediaan dan Respons Epidemik (PREPARE) itu adalah untuk bekerja rapat dengan MOH bagi membangunkan sebuah pelan nasional bagi kajian dan pengembangan epidemik.

Diketuai Profesor Wang Linfa dari Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Profesor David Lye dari Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), program itu disokong Majlis Kajian Perubatan Nasional MOH dan ditadbir oleh NCID. 

Berucap di pelancaran program tersebut, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata program penyelidikan khusus akan membantu menghimpunkan serta menggembleng tenaga para pakar daripada pelbagai disiplin di seluruh ekosistem kajian pandemik secara terlaras. 

Tambah Encik Ong, ia juga akan memperkukuhkan lagi keupayaan sedia ada Singapura dengan membina rangkaian penyelidikan serta membangunkan peralatan, kaedah dan produk yang diperlukan untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman penularan penyakit berjangkit pada hari muka. 

Di peringkat antarabangsa, program baru itu akan mengukuhkan lagi kerjasama penyelidikan, bertindak sebagai wadah untuk perkongisan maklumat dan pengetahuan serta berkolaborasi dalam ujian klinikal bersama pelbagai institut di rantau ini, ujar Encik Ong.

Menurut beliau lagi, program itu juga akan menjadi jambatan yang menghubungkan Singapura dengan forum-forum dan platform penyelidikan pandemik antarabangsa, seperti Gabungan Inovasi Kesediaan Pandemik (CEPI). 

Dalam ucapannya, Encik Ong turut menggariskan sumbangan yang dibuat oleh beberapa penyelidik, termasuk Profesor Wang, yang mana pasukannya berjaya mengenal pasti dan mengasingkan kes virus SARS-CoV-2 dalam tempoh beberapa hari selepas kes jangkitan tempatan COVID-19 yang pertama disahkan. 

"Pelaburan kami dalam kajian bioperubatan dan penghimpunan para pakar kami daripada pelbagai bidang selama bertahun-tahun membuahkan hasil sewaktu krisis pandemik COVID-19," kata Encik Ong. 

"Tanpa keupayaan dan bakat yang dibangunkan selama ini, kami mungkin tidak boleh bertindak balas terhadap pandemik dengan berkesan, seperti yang telahpun dilakukan." 

"Pengalaman kami dalam pengurusan krisis pandemik juga menandakan penggubalan dasar moden - berteraskan bukti dan data saintifik yang berdasarkan dapatan penyelidikan." 

"Keupayaan bagi kesediaan dan respons pandemik ini harus diperkukuhkan dan dibina lebih lanjut." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan