Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH komited lindungi lebih baik data 'sensitif' kesihatan; patuh langkah keselamatan baru

Kementerian Kesihatan (MOH) kekal komited untuk melindungi dengan lebih baik data kesihatan dan merancang untuk melaksanakan sepenuhnya cadangan-cadangan baru untuk meningkatkan keselamatan data, menurut Jawatankuasa Semakan Keselamatan Sektor Awam dalam satu laporan pada Rabu (27 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
MOH komited lindungi lebih baik data 'sensitif' kesihatan; patuh langkah keselamatan baru

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 27 Nov 2019 10:56PM Dikemas Kini : 27 Nov 2019 11:04PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) kekal komited untuk melindungi dengan lebih baik data kesihatan dan merancang untuk melaksanakan sepenuhnya cadangan-cadangan baru untuk meningkatkan keselamatan data, menurut Jawatankuasa Semakan Keselamatan Sektor Awam dalam satu laporan pada Rabu (27 Nov).

Jawatankuasa tersebut turut menyatakan MOH akan mengeluarkan manual arahan untuk memberi panduan kepada institusi-institusi penjagaan kesihatan awam mengenai dasar dan piawaian umum berhubung tadbir urus dan keselamatan data.

Ini setelah Pemerintah pada Rabu menerima lima cadangan utama jawatankuasa itu, daripada langkah-langkah teknikal seperti menyelindung data kepada langkah-langkah yang menumpukan kepada kakitangan seperti latihan yang lebih baik.

Semasa semakan ke atas amalan data di seluruh sektor awam Singapura, jawatankuasa itu memberikan tumpuan khas kepada pengendalian dan keselamatan data sektor kesihatan.

"Data kesihatan dalam sektor penjagaan kesihatan awam perlu dilindungi dengan baik, memandangkan sifatnya yang sensitif," tulis jawatankuasa tersebut.

Ini menyusuli beberapa pembocoran data dalam sektor penjagaan kesihatan awam. Kejadian paling serius berlaku pada Julai 2018 apabila 1.5 juta rekod pesakit SingHealth diakses dan disalin.

Jawatankuasa tersebut juga mencadangkan agar langkah-langkah yang dicadangkan dilaksanakan sepenuhnya untuk data yang digunakan dalam dasar penjagaan kesihatan, penyelidikan dan analisis, serta fungsi pentadbiran.

Bagaimanapun, ia menarik perhatian bahawa langkah-langkah untuk sistem penjagaan pesakit harus mengikut konteks dan dilaksanakan dengan cara yang menjaga keselamatan pesakit dan membolehkan penyampaian penjagaan klinikal yang lebih baik.

"Khususnya, karyawan penjagaan kesihatan memerlukan akses kepada maklumat yang tepat dan relevan mengenai pesakit untuk mengenal pasti pesakit yang betul, membuat diagnosis yang tepat dan menyampaikan rawatan yang sesuai," tambah jawatankuasa itu.

"Akses kepada data pesakit juga mesti tepat pada masanya, terutamanya semasa kecemasan."

Jawatankuasa tersebut akur bahawa tidak semua cadangannya "sesuai dan relevan" untuk diterima pakai, menukil contoh bahawa menyelindungi rekod perubatan pesakit mungkin boleh menghalang keupayaan untuk membuat keputusan rawatan yang baik.

Jawatankuasa itu juga menyatakan bahawa sistem penjagaan kesihatan awam Singapura, seperti sistem penjagaan kesihatan lain di kebanyakan negara, sudah menggunakan sistem komersil yang dibangunkan secara khusus oleh vendor.

"Keselamatan data dalam sistem-sistem ini bertepatan dengan standard terbaik sedia ada bagi sistem penjagaan kesihatan sedunia," menurut jawatankuasa tersebut.

"MOH sedang bekerjasama dengan penyedia sistem untuk meningkatkan tahap keselamatan data dan standard keselamatan siber untuk menangani ancaman baru dan akan muncul, dan akan melaksanakan amalan terbaik apabila ia tersedia."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan