Skip to main content

Singapura

MOH kesan lebih banyak kelemahan dalam Cordlife, gesa diperbetul jelang 31 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
MOH kesan lebih banyak kelemahan dalam Cordlife, gesa diperbetul jelang 31 Mei

Gambar fail: Ooi Boon Keong/Today

Diterbitkan : 23 Jan 2024 07:38PM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menemui lebih banyak kelemahan dalam Cordlife di tengah-tengah siasatan yang sedang dijalankan terhadap syarikat bank darah privet tersebut kerana salah mengendalikan penyimpanan unit darah tali pusat itu.

Cordlife, yang disenaraikan dalam Bursa Saham Singapura (SGX), sedang dipantau selepas ia mendedahkan bahawa beberapa tangki penyimpanan terdedah kepada suhu-suhu melebihi -150 darjah Celsius, iaitu paras yang diterima bagi unit darah tali pusat.

Ini didedahkan kepada umum pada 30 November apabila kementerian tersebut menyatakan bahawa Cordlife sedang disiasat.

Kira-kira 2,200 unit darah tali pusat yang disimpan dalam salah satu daripada tangki yang terjejas sudah rosak.

Dalam satu pemfailan kawal selia pada Selasa (23 Jan), Cordlife menyatakan bahawa pihaknya menerima sepucuk surat daripada MOH, yang tertera senarai "perkara-perkara yang berpotensi melanggar" syarat-syarat kesihatan yang dikenal pasti kementerian itu berdasarkan pemeriksaannya.

Ini termasuk rangka kerja melaporkan insiden yang tidak berkesan, latihan dan kecekapan kakitangan yang tidak mencukupi, dan penyimpanan unit darah tali pusat yang tidak sesuai, antara lain, menurut Cordlife.

Di samping isu suhu dalam tangki yang diumumkan sebelum ini, kementerian tersebut menyatakan pada 30 November bahawa ia menemui tiga kelemahan proses yang lain:

- Sistem pemantauan suhunya gagal untuk menghantar pemberitahuan kepada kakitangan syarikat mengenai perubahan suhu tersebut dalam tangki-tangki tertentu antara Februari dengan Jun 2022

- Penyenggaraan pencegahan selama enam bulan itu tidak dijalankan bagi dua tangki pada 2022.

- Satu kaedah pemprosesan darah tali pusat yang dikuatkuasakan pada Ogos 2023 tidak disahkan dengan sewajarnya menurut pelan dan protokol yang diluluskan itu.

"Syarikat tersebut sudah dimaklumkan bahawa ia dikehendaki untuk memperbetulkan pelanggaran yang berpotensi itu (termasuk keadaan yang mendorong kepada pelanggaran berpotensi tersebut) menjelang 31 Mei 2024," menurut Cordlife.

Syarikat tersebut menyatakan dalam pemfailan pada Selasa bahawa pihaknya akan terus "bekerja rapat" dengan MOH bagi memastikan bahawa semua isu yang dikenal pasti dihuraikan menjelang tarikh akhir yang ditetapkan pada 31 Mei.

"Syarikat itu akan terus mematuhi semua syarat-syarat berkanun lain, termasuk yang terdapat di bawah Akta Perkhidmatan Jagaan Kesihatan 2020 dan perundangan subsidiarinya, serta syarat pelesenan yang dikeluarkan kepada syarikat berkaitan dengan perkhidmatan jagaan kesihatan yang boleh diberi lesen itu," katanya.

Cordlife menyatakan pada Disember lalu bahawa ia akan menerima penggantungan selama enam bulan yang ditetapkan oleh kementerian tersebut.

UJIAN SEDANG DIJALAN DI MAKMAL PIHAK KETIGA

Dalam pemfailan kawal selia yang berasingan pada 17 Januari, Cordlife memberikan kemas kini mengenai siasatan tersebut, sambil menyatakan bahawa ia sudah mula menghantar sampel darah tali pusat yang didermakan daripada tangki tersebut yang terjejas yang sedang disiasat kepada sebuah makmal pihak ketiga di Singapura, yang mempunyai lesen di bawah MOH, untuk diuji secara berkumpulan.

Ia menambah bahawa sampel darah tali pusat yang didermakan itu daripada lima tangki sudah dihantar dan syarikat tersebut menyasarkan untuk menyelesaikan penghantaran sampel daripada kesemua tangki yang terjejas itu selewat-lewatnya pada 18 Januari.

Syarikat tersebut juga menambah bahawa klien yang terjejas sudah diberi maklumat terkini mengenai ujian tersebut dan mereka akan dimaklumkan sejurus "keputusan ujian tertentu tersedia".
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita