MOH kemas kini kriteria kontak rapat; lelaki dikuarantin setelah terdedah kepada kes Bukit Merah View
Encik Lim YC, 40 tahun, fikir beliau sudah cukup berhati-hati dengan hanya meluangkan masa selama beberapa minit sahaja setiap kali beliau perlu ke Pusat Penjaja dan Pasar Bukit Merah View untuk membeli makanan kerana beliau sedia maklum tentang penularan COVID-19 di sana.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Encik Lim YC, 40 tahun, fikir beliau sudah cukup berhati-hati dengan hanya meluangkan masa selama beberapa minit sahaja setiap kali beliau perlu ke Pusat Penjaja dan Pasar Bukit Merah View untuk membeli makanan kerana beliau sedia maklum tentang penularan COVID-19 di sana.
Sungguhpun demikian, Kementerian Kesihatan (MOH) mengenakan perintah kuarantin di rumah selama 11 hari ke atas Encik Lim yang tinggal tidak jauh daripada pusat penjaja itu, disebabkan oleh ancaman daripada pendedahan kumulatif beliau kepada tiga kes COVID-19 itu.
Pada Isnin (21 Jun), MOH mengemas kini lamannya untuk memperincikan penjelasan bahawa seseorang individu yang meluangkan masa kumulatif sekitar 15 minit atau lebih daripada itu dalam jarak dua meter daripada kes yang disyaki terjangkit COVID-19 akan dianggap sebagai kontak rapat.
"Selain daripada tempoh dan jarak pendedahan, MOH juga menimbangkan ciri-ciri dan persekitaran pendedahan, jenis peralatan perlindungan diri yang dipakai dan faktor-faktor klinikal dan epidemiologi yang lain ketika menilai jika tindakan lanjut diperlukan bagi kontak-kontak rapat," menurut MOH.
"Kontak rapat yang dikenal pasti akan dinasihati oleh para pegawai MOH tentang langkah-langkah yang perlu mereka ambil."
Mediacorp sudah cuba mendapatkan komen daripada MOH berhubung kemas kini itu.
Pada Jumaat (18 Jun), MOH menyatakan COVID-19 mungkin menular di Pusat Penjaja dan Pasar Bukit Merah View menerusi orang ramai yang beratur di gerai-gerai dikunjungi ramai selama sekurang-kurangnya 30 minit atau dengan menggunakan kemudahan awam seperti tandas.
Pada hari yang sama, MOH menyatakan sesiapa yang mengunjungi tempat-tempat penularan COVID-19 pada hari yang sama dengan kes-kes terjangkit mesti menjalani ujian COVID-19 dan menjalani pengasingan sehingga mereka mendapat hasil ujian masing-masing.
Encik Lim berkata dalam surat dikirimkan kepada Mediacorp pada 17 Jun bahawa tiada maklumat tentang pendedahan kumulatif pada ketika itu, maka itu keputusan untuk mengenakan perintah kuarantin adalah sesuatu yang mengejutkannya.
Beliau yang bekerja dari rumah, enggan mendedahkan nama penuhnya kerana beliau tidak mahu orang ramai tahu akan nasibnya. Bagaimanapun Mediacorp mengesahkan bahawa beliau dikenakan perintah kuarantin dari 15 hingga 25 Jun.
Encik Lim berkata berdasarkan pemahamannya ketika beliau menulis surat itu, beliau hanya dianggap sebagai kontak rapat jika beliau meluangkan masa lebih daripada 15 minit dengan kes COVID-19 pada satu-satu masa dan bukan berkali-kali sehingga 15 minit atau lebih daripada itu.
Menurutnya, seorang anggota daripada pasukan pengesanan kontak MOH memberitahu beliau bahawa beliau mempunyai pendedahan kumulatif terhadap tiga kes COVID-19 apabila beliau mengunjungi pusat penjaja itu pada 2, 4, 8, 9, 10 dan 11 Jun setiap kali pada kira-kira pukul 9.45 pagi.
"Saya pergi ke pusat penjaja Bukit Merah View pada tarikh berkenaan untuk membeli makanan dan segera pulang ke rumah selepas itu," kata Encik Lim.
"Saya tidak berada di sana selama lebih daripada lima minit di setiap gerai pada satu-satu masa atau berbual dengan para penjaja, hanya beli dan pulang ke rumah."
Namun, Encik Lim berkata beliau diberitahu bahawa sepanjang tempoh kunjungannya pada enam hari itu, beliau terdedah kepada setiap individu terjangkit masing-masing selama 10, 30 dan 15 minit.
"Jika saya tahu lebih awal bahawa MOH mengeluarkan perintah kuarantin berdasarkan tempoh pendedahan kumulatif, saya tidak akan ke pusat penjaja Bukit Merah View untuk membeli makanan setelah mendapat tahu terdapat beberapa kes COVID-19, sebelum jumlah kes meningkat," katanya.
115 Pusat Penjaja dan Pasar Bukit Merah View ditutup oleh pihak berkuasa pada 13 Jun untuk kerja-kerja pembersihan setelah mereka mengesan lonjakan pada jumlah kes COVID-19 di sana. Setakat Isnin, keseluruhan jumlah kes di kelompok itu adalah 78.
MOH menyatakan pada 15 Jun bahawa sebilangan besar kes adalah pegerai makanan atau kontak serumah.
STRATIFIKASI RISIKO
Meskipun tidak dipertikaikan sama ada lebih lama seseorang itu terdedah kepada individu terjangkit, maka lebih tinggi kemungkinan mereka dijangkiti, para pakar penyakit berjangkit yang ditemui Mediacorp berkata pendedahan kumulatif hanyalah salah satu daripada pelbagai faktor yang dipertimbangkan.
Seorang konsultan kanan penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Dale Fisher berkata pendedahan adalah fungsi kedekatan, jangka masa pendedahan dan kekerapan pendedahan.
"Sama ada ia beberapa pendedahan singkat atau pendedahan lebih panjang, risikonya meningkat. Tentunya keberjangkitan pesakit, pelitup, pengudaraan dan lain-lain lagi juga memainkan peranan," kata Dr Fisher.
Meskipun beliau bersetuju, pakar penyakit berjangkit di Rophi Clinic Leong Hoe Nam menambah bahawa virus tidak tahu bagaimana untuk membaca masa.
"Adakah ia akan menunggu 15 minit sebelum ia menjangkiti orang lain? Batuk, pendedahan kepada individu berjangkit kurang seminit sudah memadai untuk berlaku jangkitan," kata Dr Leong yang menyifatkan meletakkan seseorang dalam kuarantin kerana pendedahan kumulatif sebagai salah satu bentuk "stratifikasi risiko".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.