MOH kaji pelbagai cara pertingkatkan kadar vaksinasi campak di S'pura
Kementerian Kesihatan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi penyakit campak di negara ini.
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi penyakit campak di negara ini.
Antara yang dipertimbangkan adalah untuk mengenakan tindakan terhadap ibu bapa yang tidak memberikan vaksinasi kepada anak-anak mereka.
Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata demikian sebagai menjawab soalan di Parlimen pada Selasa (7 Mei) berikutan kenaikan jumlah kes campak baru-baru ini.
Sebanyak 43 kes campak dikesan dalam suku pertama tahun ini - naik tiga kali ganda berbanding 17 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
33 kes tidak mendapatkan vaksinasi.
Sembilan daripadanya adalah bayi manakala yang lain berusia antara 1 dengan 54 tahun.
Dengan lebih ramai ibu bapa yang meletakkan anak-anak mereka di pusat-pusat penjagaan kanak-kanak, ini menimbulkan risiko kepada bayi.
Encik Gan berkata kadar vaksinasi yang tinggi di Singapura bukan sahaja melindungi seseorang individu tetapi ia juga mengekang penyebaran penyakit, lantas mengurangkan risiko wabak.
Vaksinasi penyakit campak diwajibkan bagi semua kanak-kakak di negara ini.
Kadar vaksinasi di kalangan mereka yang berumur antara 2 dengan 7 tahun melebihi 90 peratus.
Tetapi dengan risiko penularan wabak penyakit di peringkat global, ibu bapa disarankan supaya lebih tekun memberi anak-anak mereka imunisasi.
AP GRC Tanjong Pagar Dr Chia Shi-Lu berkata Menteri Kesihatan Jerman sudah mencadangkan supaya denda kewangan dikenakan terhadap individu yang tidak divaksinasi dan bertanya sama ada tindakan serupa dapat diperkenalkan di sini.
Encik Gan berkata MOH sedang pertimbangkan beberapa kemungkinan termasuk di peringkat prasekolah.
Satu lagi kumpulan sasaran vaksinasi adalah para pekerja pusat penjagaan kanak-kanak dalam sektor prasekolah untuk melindungi kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.