Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH gantung kerja pegawai bocorkan jumlah kes COVID-19 S'pura

Kementerian Kesihatan (MOH) menggantung kerja seorang pegawai yang dituduh membocorkan perangkaan kes COVID-19 dan mengakses maklumat tanpa diluluskan, menurut kementerian itu pada Jumaat (24 Apr). 

Anggaran Waktu Membaca:
MOH gantung kerja pegawai bocorkan jumlah kes COVID-19 S'pura

Gambar fail seseorang yang digari.

Diterbitkan : 24 Apr 2020 05:47PM Dikemas Kini : 24 Apr 2020 05:49PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menggantung kerja seorang pegawai yang dituduh membocorkan perangkaan kes COVID-19 dan mengakses maklumat tanpa diluluskan, menurut kementerian itu pada Jumaat (24 Apr).

Wanita berusia 35 tahun itu diberkas di bawah Akta Rahsia Rasmi dan Akta Penyalahgunaan Komputer, menurut polis pada Khamis.

Dia dituduh mengongsikan perangkaan kes COVID-19 kepada para anggota sebuah kumpulan sembang WeChat sebelum perinciannya didedahkan secara rasmi kepada umum.

Penjawat awam itu juga didakwa mengakses pangkalan data Pemerintah tanpa mendapatkan kebenaran untuk memperolehi maklumat sulit mengenai seseorang yang diuji positif COVID-19 dan kemudian memberikan maklumat tersebut kepada seorang rakan.

Maklumat sulit mengenai kes COVID-19 disimpan dalam server yang dilindungi dan hanya boleh diakses oleh sekumpulan pegawai yang terbatas, jelas MOH.

Mengesahkan bahawa pegawai berkenaan adalah daripada kementerian itu, MOH menyatakan tertuduh mempunyai kebenaran untuk mengakses maklumat itu atas tujuan kerja tetapi didakwa menggunakan akses tersebut bagi tujuan lain yang tidak dibenarkan.

MOH menyatakan pekerja itu sudahpun digantung daripada tugasnya sedang siasatan polis dijalankan dan tidak akan lagi mempunyai akses kepada maklumat sulit kementerian tersebut.

"MOH memandang serius terhadap sebarang penyalahgunaan akses dan penyebaran maklumat oleh kakitangan kami," menurut kementerian itu.

"Menyusuli insiden itu, MOH sedang menyemak semula proses untuk memastikan protokol keselamatan maklumat dilaksanakan sewajarnya."

Setakat sehingga hari ini, Singapura mempunyai 12,075 kes COVID-19. 12 orang meninggal dunia akibat komplikasi yang disebabkan oleh wabak itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan