Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH gantung chatbot ‘Ask Jamie’; beri nasihat 'bercelaru' tentang COVID-19

Kementerian Kesihatan (MOH) menggantung sementara fungsi chatbot "Ask Jamie" di laman webnya menyusuli satu petikan skrin tular yang menunjukkan chatbot itu mengeluarkan nasihat seks yang selamat sebagai respons kepada pertanyaan berhubung COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH gantung chatbot ‘Ask Jamie’; beri nasihat 'bercelaru' tentang COVID-19

Jawapan bercelaru chatbot Ask Jamie.(Petikan skrin dari WhatsApp)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 03:15PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 03:19PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menggantung sementara fungsi chatbot "Ask Jamie" di laman webnya menyusuli satu petikan skrin tular yang menunjukkan chatbot itu mengeluarkan nasihat seks yang selamat sebagai respons kepada pertanyaan berhubung COVID-19.

Dalam beberapa petikan skrin yang dikongsi online, jawapan chatbot kepada pertanyaan mengenai langkah-langkah yang patut diambil apabila seorang anggota keluarga disahkan positif COVID-19 menarik perhatian dan kebingungan dalam kalangan pengguna internet.

Apabila ditanya di mana seseorang boleh mendapatkan kit ART (ujian pantas antigen), chatbot itu menjawab: "vaksin polio boleh didapatkan di poliklinik, klinik swasta dan klinik pelawat".

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai petikan skrin itu, MOH akur bahawa pihaknya sedia maklum tentang jawapan "bercelaru" yang diberikan oleh chatbot itu dan sudah mematikan buat sementara waktu fungsi tersebut pada Isnin untuk membolehkan "pemeriksaan menyeluruh dan sedang berusaha untuk memperbaikinya".

"Sementara itu, jika masyarakat mempunyai pertanyaan tentang COVID-19, mereka boleh merujuk ke laman www.covid.gov.sg," tambah MOH.

Dibangunkan pada 2014, chatbot Ask Jamie adalah pembantu maya yang telah dipasang pada 70 laman agensi Pemerintah setakat ini.

Menurut laman Agensi Teknologi Pemerintah(GovTech), chatbot itu dilatih untuk menjawab pertanyaan dalam bidang-bidang tertentu, dengan setiap agensi pemerintah mendapat versi tersendiri.

Ia menggunakan mesin "pemprosesan bahasa semula jadi" untuk memahami pertanyaan yang diajukan oleh orang ramai dan menjawab dengan jawapan yang sesuai, menurut laman GovTech. Apabila jawapan melibatkan banyak permutasi, Ask Jamie boleh dilatih untuk mengajukan pertanyaan susulan untuk memperhalusi jawapannya agar relevan dengan pertanyaan pengguna.

Chatbot itu masih berfungsi di laman agensi-agensi pemerintah yang lain.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan