MOH cipta laluan kemahiran baharu bagi penuhi permintaan jagaan
Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa ia sedang mencipta laluan kemahiran baharu bagi para jururawat, dalam usahanya meningkatkan kapasiti sektor tersebut.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata keutamaan negara adalah mempunyai bekalan jururawat yang mencukupi, di tengah-tengah usahanya meluaskan hospital dan poliklinik.
"Kami perlu mewujudkan laluan kemahiran baharu, terutama sekali untuk para jururawat menyumbang secara berkesan kepada bidang-bidang yang menyaksikan permintaan semakin meningkat, seperti jagaan paliatif, jagaan jangka panjang dan kejururawatan dalam masyarakat.
"Kami akan bekerjasama dengan kelompok dan institusi pengajian tinggi untuk membangunkan laluan ini," kata Encik Ong.
Beliau berkata demikian di acara Hari Jururawat yang diadakan di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada Khamis (24 Jul).
Selain itu, beliau turut menggariskan bagaimana kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan untuk meningkatkan daya penghasilan dan mutu jagaan. Salah satu penggunaannya adalah menerusi alat penilaian risiko jatuh, yang akan diperkenalkan di NUH lewat tahun ini.
Sistem tersebut akan membantu para jururawat mengumpul maklumat pesakit seperti sejarah perubatan serta keupayaan pergerakan mereka, bagi mengenal pasti kes-kes berisiko tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.