Skip to main content

Singapura

MOH buat aduan polis terhadap 'Healing the Divide', cuba ganggu operasi pusat vaksinasi pediatrik COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Rabu (5 Jan) ia sudah membuat laporan polis terhadap sebuah kumpulan bergelar 'Healing the Divide' yang diasaskan Cik Iris Koh.

MOH menyatakan ia maklum bahawa kumpulan itu "menggesa ibu bapa menerusi mesej yang dihantar di wadah Telegram pada 27 Dis 2021, supaya pergi ke pusat-pusat vaksinasi kanak-kanak dan bebankan kakitangan perubatan di sana dengan soalan".

"Tindakan sedemikian akan mengganggu operasi di pusat-pusat vaksinasi kanak-kanak dan ia sama seperti membuat hasutan untuk mengganggu kakitangan perubatan," menurut MOH dalam satu catatan Facebook pada Rabu.

"Ini adalah satu perkara yang sangat serius, maka itu MOH sudah membuat laporan polis. Kami menggesa setiap orang supaya menjalankan tanggungjawab sosial dan tidak terperdaya dengan hasutan kumpulan itu, yang mempunyai sejarah berkongsi maklumat mengelirukan tentang COVID-19 dan vaksinnya."

MOH menekankan bahawa Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan penguasa kawal selia di seluruh dunia meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty COVID-19 bagi penggunaan terhadap kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, setelah menjalankan ujian klinikal yang menyeluruh.

"Ia tidak berbeza dengan bagaimana ubat-ubat lain diluluskan untuk digunakan," tambah MOH.

"Pusat vaksinasi khas bagi kanak-kanak disediakan di merata Singapura untuk memberi vaksinasi secara selamat kepada kanak-kanak."

Mereka yang mempunyai sebarang soalan tentang program vaksinasi kanak-kanak COVID-19 boleh melungsuri laman https://www.moe.gov.sg/faqs-covid-19-infection untuk maklumat lanjut, menurut MOH.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita