Skip to main content

Singapura

MOH batal lesen LC Nursing Home di Siglap susuli kelemahan dalam penjagaan dan keselamatan

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (29 Jun) mengumumkan bahawa ia akan membatalkan lesen LC Nursing Home di Siglap selepas mendapati kelemahan yang "serius dan sistemik" dari segi penjagaan dan keselamatan.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH batal lesen LC Nursing Home di Siglap susuli kelemahan dalam penjagaan dan keselamatan

LC Nursing Home yang terletak di 2 Jalan Ulu Siglap. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 29 Jun 2026 10:13PM
  • Kementerian Kesihatan Singapura membatalkan lesen LC Nursing Home di Siglap selepas mendapati kelemahan serius dan sistemik dalam penjagaan serta keselamatan penghuni.
  • Pembatalan lesen berkuat kuasa 23 November 2026, memberi masa untuk memindahkan 78 penghuni ke rumah jagaan lain dengan bantuan Vanguard Healthcare dan Agensi Penjagaan Bersepadu.
  • Audit mendapati kegagalan berulang dalam penjagaan klinikal, pengurusan ubat, kebersihan makanan, kawalan jangkitan dan keselamatan persekitaran walaupun diberi peluang memperbaiki keadaan.
  • MOH menempatkan pasukan penjagaan sementara di LC Nursing Home mulai 29 Jun untuk memastikan kebajikan penghuni terjaga sepanjang tempoh peralihan dan proses pemindahan berjalan lancar.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (29 Jun) mengumumkan bahawa ia akan membatalkan lesen LC Nursing Home di Siglap selepas mendapati kelemahan yang "serius dan sistemik" dari segi penjagaan dan keselamatan.

Ia merupakan kes kedua yang melibatkan rumah jagaan pada bulan ini.

Pembatalan lesen itu akan berkuat kuasa pada 23 November 2026, memberi masa untuk memindahkan 78 penghuni rumah jagaan tersebut ke kemudahan lain.

Bagi memastikan kebajikan penghuni terus terpelihara dalam tempoh peralihan, MOH menempatkan satu pasukan penjagaan di LC Nursing Home mulai 29 Jun bagi memastikan penjagaan yang sewajarnya diberikan.

Buat masa ini, LC Nursing Home memegang lesen untuk mengendalikan sebuah rumah jagaan dengan kapasiti sebanyak 93 katil di Jalan Ulu Siglap.

Keputusan itu dibuat menyusuli beberapa audit yang mendapati bahawa rumah jagaan tersebut terus gagal mematuhi keperluan di bawah Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan.

Audit awal yang dijalankan pada November dan Disember 2025 mengenal pasti beberapa kelemahan serius, dengan pengendali rumah jagaan diberi masa untuk memperbaiki keadaan.

Sementara itu, MOH meningkatkan pemantauannya.

Bagaimanapun, audit susulan pada April 2026 mendapati rumah jagaan itu gagal melaksanakan sepenuhnya langkah pembetulan atau mengekalkan peningkatan yang sudah dibuat sebelum ini. Para penyiasat turut menemui beberapa pelanggaran baharu serta pelanggaran berulang.

Menurut MOH, satu lagi audit dijalankan pada April 2026 bagi menilai keberkesanan dan kemampanan usaha pembetulan yang dilaksanakan oleh rumah jagaan tersebut.

Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah:

Penjagaan klinikal dan kejururawatan yang tidak mencukupi
  • Gagal menjalankan semakan atau pemantauan yang sewajarnya bagi para penghuni dalam pelbagai aspek, termasuk insiden terjatuh, penggunaan alat sekatan pergerakan dan kecederaan akibat tekanan;
  • Gagal mematuhi protokol penjagaan luka; dan
  • Pengurusan ubat-ubatan yang lemah, termasuk stok ubat yang tidak dijaga dengan baik, kesilapan dalam memberi ubat-ubatan serta pemberian ubat oleh kakitangan penjagaan yang tidak mempunyai kelayakan yang sewajarnya.
Kegagalan menyediakan penjagaan asas yang mencukupi kepada penghuni
  • Gagal mematuhi amalan kebersihan makanan dan melaksanakan proses penyediaan makanan yang selamat untuk penghuni.
Amalan pencegahan dan kawalan jangkitan yang tidak mencukupi
  • Gagal melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan; dan
  • Gagal memastikan kebersihan persekitaran, di samping kawalan serangga perosak yang tidak memuaskan.
Kegagalan dalam memastikan persekitaran yang selamat
  • Prasarana dan persekitaran tidak disenggara dengan baik. Pelbagai bahaya boleh menyebabkan kecederaan kepada penghuni dan kakitangan.


Pada 2 Jun 2026, MOH mengeluarkan notis kepada LC Nursing Home berhubung hasratnya untuk membatalkan lesen rumah jagaan tersebut.

Notis itu memperincikan ketidakpatuhan utama yang dikenal pasti dan LC Nursing Home diberi peluang untuk mengemukakan representasinya dalam tempoh 14 hari untuk pertimbangan MOH.

MOH menerima representasi tersebut pada 16 Jun.

"Dalam representasi bertulis itu, LC Nursing Home tidak mengemukakan sebarang penjelasan untuk menyangkal ketidakpatuhan yang dikenal pasti, sebaliknya mengakui dapatan MOH. Walaupun LC Nursing Home memberi jaminan untuk mengambil langkah pembetulan, pelan yang dikemukakan adalah terlalu ringkas, tidak menetapkan penanda aras yang jelas dan tidak memberikan jaminan yang mencukupi.

"Selepas meneliti representasi LC Nursing Home serta dapatan audit MOH pada April 2026, MOH menilai bahawa LC Nursing Home tidak lagi mampu untuk meneruskan penyediaan perkhidmatan rumah jagaan dengan selamat," menurut kementerian itu.

Pasukan penjagaan sementara daripada Vanguard Healthcare yang ditempatkan di LC Nursing Home mulai 29 Jun akan memastikan penghuni menerima penjagaan yang sewajarnya sebelum mereka dipindahkan ke rumah-rumah jagaan lain.

Menurut MOH, ia akan terus bekerjasama rapat dengan LC Nursing Home dan Vanguard Healthcare untuk memantau serta memastikan proses pemindahan penghuni ke rumah-rumah jagaan lain berjalan dengan selamat dan lancar.

Vanguard Healthcare bersama Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) akan memaklumkan semua penghuni yang terjejas serta waris terdekat mereka mengenai pembatalan lesen LC Nursing Home, di samping mengutamakan aturan pemindahan penghuni ke rumah-rumah jagaan lain.

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita