Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH bakal tawar pakej dipertingkat bagi jururawat demi perkukuh tenaga kerja jagaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jul 2022 07:40PM Dikemas Kini : 29 Jul 2022 09:09PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan merancang pakej pembayaran yang dipertingkatkan untuk para jururawat bagi 2022 dan 2023 sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan tenaga kerja jagaan kesihatan Singapura, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (29 Jul). 

Lebih banyak butiran mengenai pakej berkenaan akan diumumkan sempena sambutan Hari Jururawat pada 1 Ogos. 

"Dengan pandemik masih menular, ia meningkatkan tekanan pada jururawat kita, saya rasa mereka layak menerima satu lagi bayaran, mungkin sebagai bayaran untuk mengekalkan tenaga jururawat kita," kata Encik Ong semasa menyampaikan ucapannya di majlis penyampaian anugerah Biasiswa Jagaan Kesihatan 2022. 

Semasa ucapannya, Encik Ong turut menekankan bahawa Singapura mesti 'meneruskan usaha' untuk mempertingkatkan tenaga kerja jagaan kesihatan dari segi saiz, keupayaan dan mutu dan terus menjadikannya sebagai keutamaan nombor satu. 

Menteri Kesihatan itu turut mendedahkan bahawa "permintaan bagi jururawat sangat tinggi" bagi semua aspek jagaan kesihatan dan di banyak negara. 

"Perubahan ketara dalam dunia pasca COVID-19 adalah jagaan kesihatan tidak lagi boleh dianggap sebagai khidmat domestik semata-mata. Kita perlu memerhatikan persaingan antarabangsa untuk tenaga kerja jagaan kesihatan," tambah Encik Ong. 

KEUTAMAAN TENAGA KERJA 

Encik Ong berkata dua faktor utama yang menentukan daya tarikan sektor jagaan kesihatan adalah gaji dan persekitaran kerja yang profesional. 

Beliau turut menarik perhatian bahawa semakan pada gaji jururawat dan karyawan jagaan kesihatan selesai dilaksanakan pada 2021 dan penyesuaian pada gaji jururawat selesai dijalankan pada bulan ini. 

MOH mengumumkan pada Mac 2021 bahawa para jururawat dalam sektor jagaan kesihatan awam akan menerima kenaikan gaji pokok bulanan sebanyak lima hingga 14 peratus mulai Julai. 

Kenaikan itu akan "dilaksanakan secara berperingkat sepanjang dua tahun akan datang," kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan