Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH akan 'wujudkan sinergi' antara TCM, inisiatif SG Lebih Sihat: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
MOH akan 'wujudkan sinergi' antara TCM, inisiatif SG Lebih Sihat: Ong Ye Kung

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 28 Oct 2024 07:36AM Dikemas Kini : 28 Oct 2024 07:37AM
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang meneroka untuk menyepadukan perubatan tradisional Cina (TCM) dengan inisiatif jagaan kesihatan Singapura, SG Lebih Sihat.

MOH, bersama para pengamal TCM dan doktor keluarga (GP) akan "mengusahakan model-model yang betul" dan membangunkan skim peluasan bagi SG Lebih Sihat, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Ahad (27 Okt).

Selain itu, Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Lembaga Pengamal TCM (TCMPB) untuk melancarkan rangka kerja pentauliahan bagi para pengamal TCM menjelang 2026, kata beliau.

Dalam ucapannya di acara jamuan malam kebajikan sempena ulang tahun ke-50 Persatuan Klinik Awam Percuma, Encik Ong menggariskan tiga bidang pembangunan bagi TCM: Jagaan pencegahan, sinergi dengan sistem jagaan kesihatan aliran utama serta pendidikan dan latihan.

JAGAAN PENCEGAHAN

TCM mengambil pendekatan holistik kepada kesihatan dan sangat menumpukan kepada jagaan pencegahan, kata Encik Ong.

Penyepaduan TCM ke dalam SG Lebih Sihat "adalah keputusan bukan untuk dibuat oleh pemerintah atau doktor perubatan barat", kata Encik Ong.

"Ia sudah diputuskan oleh ramai rakyat Singapura, yang memilih TCM.

"Tugas kita adalah untuk mewujudkan sinergi antara usaha-usaha SG Lebih Sihat dengan TCM, dan memastikan jagaan pencegahan bermutu tinggi dan wajar diberikan kepada seramai mungkin rakyat Singapura," ujar beliau.

Buat masa ini, terdapat lebih sejuta orang yang sudah mendaftar dengan SG Lebih Sihat. "Walaupun jumlah itu menggalakkan, ini kurang 50 peratus penduduk yang disasarkan," kata Encik Ong.

Pendaftaran dalam kalangan mereka yang berusia 40 dengan 59 tahun adalah sepertiga.

Sekitar satu perlima rakyat Singapura berjumpa dengan pengamal TCM, kata Encik Ong, sambil menambah TCM biasanya menawarkan rangkaian rujukan berguna untuk menggalak lebih ramai orang menyertai inisiatif SG Lebih Sihat".

"Dari segi konsep, pesakit dirujuk oleh pengamal TCM kepada doktor keluarga bagi vaksinasi dan pemeriksaan serta pengurusan penyakit kronik bersubsidi penuh, sementara masih terus menerima jagaan TCM, termasuk menerima sokongan untuk membuat penyesuaian ke atas gaya hidup mereka," kata Encik Ong.

Encik Ong memberi bayangan kepada potensi isu-isu sensitif - bagaimana yuran yang akan dibayar pemerintah di bawah SG Lebih Sihat harus dikongsi.

Jumlah wang yang dibelanjakan MOH bagi SG Lebih Sihat dijangka meningkat ketara sedang skim itu berkembang.

Kerjasama antara para pengamal TCM dengan doktor keluarga akan dijalin secara "berperingkat dan praktikal".

Kedua-dua kumpulan akan diajak berunding mengenai model-model kerjasama yang boleh dilaksanakan untuk menetapkan peranan dan aliran kerja.

TCMPB sedang bekerjasama dengan MOH bagi rangka kerja pentauliahan untuk membantu mengiktiraf para pengamal TCM yang boleh memenuhi standard profesional dan kecekapan yang lebih tinggi dan menyampaikan jagaan bermutu lebih baik, kata Encik Ong.

Skim ini seharusnya secara sukarela, yang boleh digunakan untuk mengenal pasti kelayakan untuk turut serta membantu meluaskan SG Lebih Sihat, tambah beliau.

Dalam beberapa bulan mendatang MOH akan mengundang penyedia khidmat TCM untuk melakukan lawatan ke lokasi, audit olokan dan sesi-sesi dialog untuk dengan menentukan dengan lebih standard pentauliahan.

Rangka kerja pentauliahan tersebut disasarkan untuk dilancarkan menjelang 2026, kata Encik Ong.

Beliau juga menggalak klinik-klinik dan institusi-institusi TCM supaya mendampingi rakan mereka dalam perubatan barat untuk meneroka kerjasama.

SINERGI DENGAN SISTEM JAGAAN KESIHATAN ALIRAN UTAMA

Singapura mesti dengan teliti menyepadukan rawatan-rawatan tertentu TCM ke dalam klinik-klinik dan hospital, di mana ia layak menerima sokongan di bawah rangka kerja kewangan jagaan kesihatan, seperti subsidi-subsidi dan pengeluaran MediSave, kata Encik Ong.

Beliau menarik perhatian bahawa buat masa ini, ia hanya dilakukan bagi akupunktur untuk sakit belakang dan tengkuk.

China, Hong Kong dan Taiwan mempunyai penyepaduan TCM yang lebih meluas, kata Encik Ong, sambil menambah banyak doktor di sana dilatih dalam kedua-dua perubatan barat dan TCM, dan hospital-hospital ada kedua-dua jabatan perubatan barat dan TCM meliputi "banyak bidang rawatan".

Di tempat-tempat ini, para doktor "menghargai dan mengiktiraf" bahawa secara global, peraturan jagaan kesihatan sebahagian besarnya berdasarkan perubatan barat.

TCM, meskipun dengan amalan dan pengalaman empirikal berdekad lamanya, mesti memenuhi syarat-syarat sistem dominan untuk disepadukan, kata beliau.

Banyak kajian sudah dijalankan ke dalam TCM, dengan menghasilkan bukti klinikal keberkesanan pelbagai rawatan.

Berdasarkan perkara ini, MOH boleh mereka tapak uji dalam institusi jagaan kesihatan awam untuk mewujudkan sinergi antara perubatan barat dengan TCM, ujar Encik Ong.

Beliau menggalak masyarakat TCM supaya menganjurkan acara-acara di mana doktor yang boleh bertutur bahasa Inggeris dan pemimpin jagaan kesihatan serta tokoh pengamal TCM dari rantau ini berhimpun untuk mempertingkat kefahaman antara dua sektor.

PENDIDIKAN DAN LATIHAN

Encik Ong juga menyentuh tentang program ijazah mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam perubatan Cina, yang bermula tahun ini.

NTU menyaksikan "respons sangat menggalakkan", dengan160 pemohon bagi 30 tempat dalam kumpulan pertama, kata beliau.

Menurut Encik Ong, daripada perbincangan beliau dengan bakal mahasiswa dan yang sedia ada bagi kursus ijazah TCM, ramai berkata tarikan utamanya adalah komponen pengajian luar negara.

NTU akan memastikan para penuntut ada peluang untuk menyertai latihan amali klinikal luar negara sehingga enam bulan, ujar beliau.

Dengan ijazah baharu itu juga datang peluang untuk menjajarkan bagaimana lulusan TCM dinilai bagi pendaftaran dan amalan bebas, kata beliau lagi.

TCMPB sedang memperhalusi format komponen klinikal bagi Peperiksaan Pendaftaran Doktor TCM (STRE) untuk fokus kepada penilaian klinikal, komunikasi dan kemahiran analisis lulusan dalam sekitaran simulasi klinikal, tambah Encik Ong.

Pendekatan itu serupa dengan bagaimana penilaian klinikal dijalankan bagi para doktor barat, kata Encik Ong.

Syarat untuk memperoleh lesen amalan TCM juga akan disejajarkan. Para lulusan ijazah perubatan Cina NTU akan diberikan pengecualian penuh bagi STRE.

NTU juga akan memperkukuh penilaian ke atas para lulusan, termasuk peperiksaan teori dan penilaian kecekapan klinikal, untuk memenuhi syarat-syarat TCMPB.

Mulai 2025, Kolej Singapura bagi Perubatan Tradisional Cina akan menawarkan kursus imbuhan bagi yang mahu menduduki semula STRE.

Selain itu, para lulusan kini boleh mencuba semula menjalani penilaian klinikal selepas enam bulan, berbanding setahun.
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan