MOH akan lanjutkan subsidi, penggunaan MediSave bagi vaksin kayap ular Shingrix
Kementerian Kesihatan (MOH) akan memberi subsidi bagi membiayai kos vaksin penyakit kayap ular (shingles), Shingrix, bagi rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura (PR) yang layak.

Seorang doktor periksa pesakit dengan penyakit kayap ular. (Gambar: iStock/PongWang)
Rakyat Singapura dan PR yang layak juga boleh menggunakan Medisave untuk membayar kos bagi vaksin tersebut.
Shingrix adalah satu-satunya vaksin yang berdaftar di bawah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi pencegahan kayap ular, menurut MOH pada Isnin (10 Feb).
Kementerian Kesihatan akan melanjutkan subsidi dan penggunaan Medisave bagi vaksin itu kepada mereka yang layak di institusi jagaan kesihatan awam dan klinik GP di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).
Mulai September ini, rakyat Singapura dan penduduk PR yang layak akan menerima subsidi sehingga 75 peratus di klinik-klinik GP CHAS, poliklinik dan institusi jagaan jangka panjang yang dibiayai MOH, menurut kementerian itu.
Warga emas dari Generasi Perintis dan Merdeka juga layak menerima subsidi tambahan bagi rawatan pesakit luar, tambahnya.
Selepas diberikan subsidi, rakyat Singapura dijangka hanya perlu membayar sekitar S$75 hingga S$300 bagi untuk mendapatkan dua dos vaksin Shingrix, manakala PR dijangka perlu membayar sekitar S$450 untuk mendapatkan vaksin tersebut.
Bagi warga emas berpendapatan tinggi, harga vaksin itu akan dikurangkan daripada S$900 kepada sekitar S$300, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam ucapannya di pelancaran Pusat bagi Tindak Balas Kecemasan Penyakit Berjangkit (CIDER) di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Mulai tahun depan, skim-skim MediSave sedia ada juga boleh digunakan untuk membayar kos Shingrix selepas subsidi, di mana pembayaran wang tunai mungkin tidak perlu dibuat, kata Encik Ong.
Dalam jawapan kepada soalan di parlimen daripada Dr Christopher de Souza (PAP-Holland-Bukit Timah) pada November 2024, MOH menyatakan ia telah selesai menjalankan semakan terhadap keberkesanan kos Shingrix.
Pada harga yang diusulkan oleh syarikat pengeluar Shingrix GSK, vaksin itu 'tidak dianggap sebagai kos efektif kayap ular di peringkat penduduk", menurut MOH pada ketika itu.
"Menyusuli rundingan lanjut antara MOH dengan syarikat pengeluar vaksin itu, kedua-dua pihak kini telah bersetuju dengan harga yang diturunkan di mana ia selaras dengan manfaat vaksin itu," menurut MOH pada Isnin.
Jawatankuasa Penasihat Ubat-Ubatan dan Jawatankuasa Pakar bagi Imunisasi Shingrix telah menilai semula vaksin itu dan menyarankan supaya ia dimasukkan dalam Senarai Vaksin Bersubsidi dan Jadual Nasional Imunisasi Dewasa (NAIS).
Di bawah NAIS, semua individu berusia 60 tahun ke atas serta golongan dewasa lemah imun berusia antara 18 dengan 59 tahun disarankan supaya mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan kayap ular dan kompikasi berkaitan.
MOH telah menerima saranan itu.
"Kami menghargai kepercayaan yang diletakkan terhadap GSK untuk membekalkan pelaksanaan program vaksinasi kayap ular di Singapura sebagai sebahagian daripada NAIS dan kami akan terus bekerjasama dengan MOH dan semua pihak berkaitan untuk memberikan vaksin kepada mereka yang memerlukan," kata Raakhi Sippy, pengurus besar GSK Singapore.
"Inisiatif ini menandakan peristiwa penting dalam kesihatan awam, menetapkan apa yang mungkin piawai baharu bagi jagaan pencegahan kayap ular di rantau ini," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.