MOH akan bantu para jururawat tingkatkan kerjaya
Kementerian Kesihatan (MOH) akan terus membantu para jururawat meningkatkan kerjaya mereka.
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan terus membantu para jururawat meningkatkan kerjaya mereka.
Pelbagai laluan dan peluang bagi para jururawat untuk maju dalam kerjaya dan meningkatkan kemahiran diumumkan dalam sidang parlimen hari ini (6 Mac).
Siti Nurfitriah Effendi, 19 tahun, memilih kerjaya jururawat setelah ibunya disahkan menghidap kencing manis.
Beliau mengikuti program Nitec dalam bidang itu di Kolej ITE Timur pada 2017.
Prestasinya amat baik, mengumpul mata GPA hampir sempurna 3.9.
Siti melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejururawatan di Politeknik Ngee Ann mulai bulan depan.
Di bawah laluan latihan lebih singkat yang baru diumumkan MOH, Siti akan menamatkan pengajiannya di Ngee Ann dalam masa hanya dua tahun, bukan dua setengah tahun.
"Program dua tahun ini memberi manfaat kepada saya kerana dapat menamatkan kursus lebih cepat dan masuk ke alam pekerjaan lebih awal," kata Siti.
MOH juga akan menubuhkan Akademi Kejururawatan Nasional (NNA) tahun ini.
Ia merupakan wadah maya untuk para jururawat meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka menerusi pelbagai kursus online.
Selain itu NNA akan membangunkan Rangka Kerja Kecekapan Kejururawatan Masyarakat menjelang Mei ini bagi menentukan kemahiran lebih mendalam yang diperlukan dalam sekitaran tersebut.
Encik Kamarudin Mohamad yang sudah menjadi jururawat selama 34 tahun berkata rangka kerja itu akan membantu dalam meningkatkan kemahiran serta cara mengurus pesakit-pesakit di peringkat jagaan masyarakat.
Berpangkalan di Pusat Kegiatan Warga Emas di Tampines, Encik Kamarudin membantu para penduduk tua mengurus lebih baik keadaan kesihatan mereka dengan cara kerap memantau dan menjalani pemeriksaan.
Di samping itu, MOH akan meluaskan Pasukan Kejururawatan Masyarakat daripada 18 tempat sekarang kepada 29 tempat di merata negara menjelang tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.