MOE terajui pasukan bertindak perkukuh sokongan pelajar dari keluarga memerlukan
Sebuah pasukan bertindak berbilang agensi ditubuhkan bagi mengenal pasti dan menangani isu-isu yang dihadapi para pelajar yang kurang bernasib baik agar mereka tidak ketinggalan di belakang rakan-rakan sebaya.
SINGAPURA: Para pelajar yang kurang bernasib baik akan mendapat bantuan yang lebih khusus.
Sebuah pasukan bertindak berbilang agensi ditubuhkan bagi mengenal pasti dan menangani isu-isu yang mereka hadapi agar tidak ketinggalan oleh rakan-rakan sebaya.
Diterajui Menteri Kedua Pendidikan Indranee Rajah, pasukan itu merangkumi para pegawai dari MOE, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).
1.1 daripada setiap 1,000 murid sekolah rendah di negara ini didapati sering tidak datang ke sekolah.
Di peringkat sekolah menengah, nisbahnya naik kepada 7.5 bagi setiap 1,000 pelajar.
Isu itu akan diteliti oleh pasukan bertindak yang baru dibentuk bagi memberi sokongan lebih baik kepada para pelajar dari keluarga yang memerlukan, terutamanya mereka yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan di sekolah.
Menurut pasukan bertindak itu, para pelajar sedemikian menghadapi "isu-isu rumit" yang perlu ditangani secara khusus mengikut keperluan masing-masing.
"Jika kita tidak melakukan tindakan campur tangan, jurangnya akan semakin besar dan kita tidak mahu itu berlaku. Ia menjejas golongan 20 peratus paling bawah dari segi pendapatan. Namun ia juga boleh berlanjutan kepada mereka dalam lingkungan 30 peratus atau 40 peratus paling bawah," kata Cik Indranee pada pihak media hari ini (28 Okt).
Pasukan itu yang dipanggil UPLIFT akan memberi tumpuan khusus terhadap murid-murid prasekolah dan sekolah rendah agar bantuan dapat diberikan seawal mungkin.
Pada masa ini, para murid boleh mendapatkan sokongan seperti bimbingan atau jagaan selepas sekolah.
Namun Cik Indranee berkata keadaan sesebuah keluarga atau persekitaran rumah yang kurang baik masih boleh menghambat prestasi kanak-kanak di sekolah.
Pasukan bertindak itu akan memikirkan cara-cara untuk menyelaraskan usaha bagi membantu kanak-kanak sedemikian.
Ia mungkin termasuk memudahkan perkongsian data.
Para anggotanya termasuk Menteri Negara Zaqy Mohamad dan Sam Tan akan mendekati keluarga-keluarga, pihak sekolah
dan rakan-rakan sokong masyarakat sebelum mengusulkan saranan-saranan mereka tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.