Skip to main content

Singapura

MOE siasat pemandu Bentley cuba langgar kakitangan Sekolah Red Swastika

Pihak berkuasa sedang menyiasat satu kejadian melibatkan seorang pemandu yang dilihat menerjah seorang kakitangan di pintu masuk Sekolah Red Swastika menggunakan keretanya.

Anggaran Waktu Membaca:
MOE siasat pemandu Bentley cuba langgar kakitangan Sekolah Red Swastika
Diterbitkan : 11 Jan 2022 04:55PM Dikemas Kini : 11 Jan 2022 05:06PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menyiasat satu kejadian melibatkan seorang pemandu yang dilihat menerjah seorang kakitangan di pintu masuk Sekolah Red Swastika menggunakan keretanya.

Satu rakaman video yang tular online hari ini (11 Jan), menunjukkan sebuah kereta Bentley berwarna putih yang ditahan daripada memasuki pekarangan sekolah yang terletak di Bedok itu. Pemandu kereta tersebut beberapa kali memandu keretanya ke hadapan, sehingga menolak seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan keretanya.

"Saya dimaklumkan bahawa terdapat satu video yang tular di media sosial, di mana seorang pemandu cuba memasuki sebuah sekolah dan dia menggunakan keretanya untuk melakukan perbuatan berbahaya terhadap seorang pengawal keselamatan dan kakitangan sekolah," menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Facebook.

"Ini satu tindakan yang tidak boleh diterima. Ini bukan caranya kita berkelakuan terhadap pengawal keselamatan dan kakitangan sekolah yang sedang menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan sekolah dan anak-anak kita," kata beliau.

Dalam rakaman video itu, seorang lelaki berbaju putih dilihat sedang bercakap dengan seorang individu yang keluar daripada tempat duduk penumpang kereta itu.

Sedang penumpang itu kembali ke kereta tersebut, kenderaan itu mula bergerak ke hadapan semasa lelaki berbaju putih itu cuba menahan kereta tersebut.

Seorang lagi lelaki yang memakai ves keselamatan cuba menghalang kereta itu daripada bergerak namun kereta itu tetap bergerak ke hadapan, sehingga menolak lelaki itu ke belakang.

"Kami sedang menyiasat kes ini dan tidak teragak-agak untuk membuat aduan polis jika perlu," kata Encik Chan.

"Sebagai orang dewasa, kita seharusnya menunjukkan contoh yang positif kepada anak-anak kita dari segi cara kita melayani orang lain dengan penuh rasa hormat dan mematuhi peraturan yang dilaksanakan demi keselamatan kolektif komuniti sekolah kami."

Dalam satu catatan Facebook, Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) menyatakan bahawa ia maklum tentang kejadian "membabitkan seorang pemandu yang mengancam untuk melanggar seorang pengawal keselamatan sekolah."

"Pemandu itu, yang kenderaannya tidak mempunyai label kereta yang sah untuk memasuki pekarangan sekolah, menggerakkan keretanya secara berbahaya meskipun pengawal keselamatan itu sedang berdiri di hadapan kenderaannya," ia menambah.

"USE mengutuk serangan terhadap pegawai kami dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung tindakan yang akan diambil terhadap pemandu itu demi melindungi kepentingan para pegawai kami."

Mediacorp sudah menghubungi pihak sekolah dan polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : CNA/TODAY/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita