Skip to main content

Singapura

MOE semak rangka kerja tangani kes buli; timbang semua saranan diusulkan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Sep 2025 07:55PM Dikemas Kini : 23 Sep 2025 11:24PM
SINGAPURA: Menteri Pendidikan Desmond Lee berkata semua saranan akan ditimbangkan dengan serius untuk menangani kes buli di sekolah.

Ini termasuk cadangan yang dikemukakan oleh kumpulan-kumpulan seperti ibu bapa, pendidik dan juga rakan kongsi masyarakat sedang MOE melakukan semakan ke atas kes buli.

Kes buli di sekolah mendapat perhatian awam baru-baru ini apabila seorang murid Sekolah Rendah Sengkang Green membuli rakan sedarjahnya.

Dia juga mengugut untuk membunuh ibu kepada murid perempuan berkenaan.

Parlimen hari ini membahaskan selama sejam isu tersebut, dengan 14 Anggota Parlimen (AP) mengajukan soalan dan saranan bagi mengukuhkan rangka kerja bagi menentang isu buli (anti-bullying).

Ini termasuk beralih daripada penggantungan sekolah kepada langkah-langkah disiplin di sekolah serta merundingkan tentang keselamatan kanak-kanak dan pencegahan keganasan oleh pakar.

Encik Lee berkata: "Guru-guru di lapangan cukup mengenali kanak-kanak itu dan juga memahami dinamiknya.

"Jika kami membawa masuk pihak luar, mereka mempunyai kepakaran, tetapi mereka juga kemudian perlu melalui pengalaman tertentu bagi memahami apa yang sedang berlaku dan untuk membina hubungan dengan sekolah, pendidik dan kakitangan serta ibu bapa."

Encik Lee berkata menambah baik rangka kerja sedia ada untuk menentang isu buli adalah proses yang berterusan.

MOE dijangka mengeluarkan saranan-saranannya pada separuh pertama tahun hadapan.

Para AP juga bertanya tentang sama ada sekolah dan guru mempunyai sumber yang mencukupi untuk menangani kesulitan kes buli.

AP SMC Yio Chu Kang Yip Hon Weng mengemukakan soalan: "Dalam mengukuhkan langkah-langkah menentang isu buli, bagaimana kementerian membuat keseimbangan antara melindungi mangsa dengan membantu pelajar membina daya ketahanan untuk menguruskan perselisihan kecil atau usikan sehari-hari yang mungkin tidak membawa kepada pembulian?"

Encik Lee menjawab: "Saya tidak rasa kita mahu memberi tanggapan bahawa kita tidak mahu terlalu melindungi anak-anak kita kerana kita mahu mereka menjadi berdaya bingkas.

"Ia adalah satu keseimbangan yang telaten (careful balance).

"Kita mahu melindungi anak-anak kita, melaksanakan proses-proses supaya sekolah boleh dan akan terus menjadi sebuah persekitaran yang selamat, kondusif untuk pembelajaran.

"Bukan sahaja pembelajaran akademik tetapi juga pembelajaran nilai-nilai, sikap-sikap, kerja berpasukan dan sebagainya."
Sumber : CNA/FZ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita