Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE: Sekolah pertimbang 'nilai sastera' walau pilih buku mengandungi kata-kata kesat

Sebuah novel yang mengandungi kata-kata kesat adalah bukan daripada senarai bahan bacaan disarankan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) namun dipilih pihak sekolah atas "dasar kesusasteraannya", jelas kementerian itu pada Isnin (9 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
MOE: Sekolah pertimbang 'nilai sastera' walau pilih buku mengandungi kata-kata kesat

(Gambar: Penguin Random House)

Diterbitkan : 09 Dec 2019 09:17PM Dikemas Kini : 09 Dec 2019 09:22PM

SINGAPURA: Sebuah novel yang mengandungi kata-kata kesat adalah bukan daripada senarai bahan bacaan disarankan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) namun dipilih pihak sekolah atas "dasar kesusasteraannya", jelas kementerian itu pada Isnin (9 Dis).

Pada Sabtu, sebuah kumpulan Facebook bernama 'Singaporeans Defending Marriage and Family' (Warga Singapura Pertahan Perkahwinan dan Keluarga) mengkritik buku bertajuk The Curious Incident of the Dog in the Night-Time, yang mengandungi beberapa makian.

Kumpulan itu menyatakan buku tersebut menggunakan "bahasa kasar dan kufur" dan mendakwa ia "melanggar undang-undang keharmonian kaum dan agama di Singapura".

Catatan tersebut yang tidak mengenal pasti sekolah terlibat, menambah: "Perlukah ibu bapa menyemak setiap bahan (sekolah) dan duduk di setiap bilik darjah untuk memastikan anak-anak kita bebas daripada indoktrinasi tidak bermoral dan korup?"

Buku yang ditulis oleh penulis Britain, Mark Haddon, mengisahkan watak utama berusia 15 tahun dengan sindrom Asperger.

Ia dipilih pihak sekolah bagi program bacaan lanjutan untuk melengkapi kelas Bahasa Inggeris, kata Encik Jeffrey Low, pengarah Bahasa dan Sastera Inggeris di MOE.

"Sekolah memilih buku itu atas dasar nilai kesusasteraannya dan bagaimana kisahnya mengajar nilai-nilai murni seperti kejujuran, daya tahan menghadapi cabaran, kasih sayang antara ibu bapa dengan anak, serta penghargaan bagi golongan belia yang berkeperluan khas," kata Encik Low.

Beliau menambah para guru berhati-hati apabila memilih bahan bacaan untuk memastikan ia mengandungi pengajaran baik, sambil menambah bahawa teks yang bernilai sastera "sering menangani keadaan kompleks manusia dan menampilkan ketidaksempurnaan masyarakat".

"Pembacaan buku ini secara khususnya dipandu oleh guru semasa perbincangan kelas, di mana guru menerangkan konteks penulisan dan mengajak para pelajar menghayati pengajaran positif dalam buku itu," tambah beliau.

AUTONOMI UNTUK PILIH TEKS

Di peringkat menengah bawahan, sekolah-sekolah diberi autonomi untuk memilih teks berdasarkan senarai disarankan MOE atau memilih teks di luar senarai jika mereka berpendapat buku-buku tersebut "lebih sesuai dengan profil pembelajaran pelajar mereka", kata Encik Low.

MOE memperuntukkan kriteria bagi memilih teks di luar senarai yang disarankan.

Buku 'The Curious Incident of the Dog in the Night-Time' menerima Hadiah Penulisan Commonwealth bagi Buku Pertama Terbaik dan dinobatkan Buku Whitbread 2003. Ia juga menerima Hadiah Cereka Kanak-Kanak Guardian tahun itu.

Tahun lalu, MOE menjelaskan bahawa senaskah buku pendidikan sosial yang dikritik atas gambarannya berkenaan orang "berstatus sosio-ekonomi rendah" tidak terdapat dalam senarai buku teks yang diluluskan MOE.

Buku panduan itu, berjudul 'Complete Guide to GCE O-Level Social Studies Volume 1' (Panduan Sempurna bagi Pengajian Sosial GCE 'O' Jilid 1) dan diterbitkan oleh MarketAsia Books, menyifatkan SES sebagai satu faktor yang "membentuk identiti seseorang". 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan