Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE sedia kerjasama dengan agensi khidmat sosial teroka model baru sekolah SPED

Anggaran Waktu Membaca:
01:12 Min
mlb 13 parl special ed
Diterbitkan : 13 Sep 2022 09:19PM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 11:54PM
SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi khidmat sosial dan masyarakat untuk meneroka model-model berbeza bagi sekolah pendidikan khas.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing hari ini (13 Sep).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Shahira Abdullah tentang sama ada pihak berkuasa akan menimbangkan untuk menyatukan semua guru sekolah pendidikan khas di bawah kementeriannya supaya mereka boleh menerima manfaat sebagai guru MOE.

Sejauh ini terdapat 22 sekolah pendidikan khas (SPED) yang diterajui oleh 12 agensi khidmat sosial.

Walaupun pembiayaan penuh diperuntukkan bagi sekolah-sekolah SPED, agensi-agensi khidmat sosial mempunyai kuasa dalam hal-hal seperti menggajikan kakitangan. Para guru SPED buat masa ini tidak bekerja secara langsung dengan Kementerian Pendidikan (MOE) tetapi sesetengah guru boleh dipinjamkan daripada MOE ke sekolah-sekolah SPED.

"Saya bersedia untuk bekerjasama dengan kakitangan, SSA (agensi khidmat sosial) dan masyarakat untuk meneroka model-model berbeza dan baru. Namun saya akan menetapkan lima syarat untuk kita pertimbangkan sama ada model baru lebih baik dan sesuai," kata Encik Chan.

Model baru itu mesti membawa hasil yang lebih baik bagi kanak-kanak dan memberi sokongan lebih baik kepada keluarga mereka, kata Encik Chan sedang beliau menggariskan kelima-lima syarat itu.

Model itu juga mesti menyediakan peluang latihan dan peluang pembangunan kerjaya yang lebih baik bagi para guru SPED, kata beliau.

Jika dilaksanakan, model baru itu mesti berupaya "mendampingi masyarakat untuk menyertainya" dan membolehkan jagaan dan sokongan berterusan yang lebih baik dari prasekolah ke sekolah ke persekitaran selepas meninggalkan bangku sekolah, kata Encik Chan.

"Jadi kami bersedia untuk meneroka model-model baru bersama SSA dan masyarakat selagi kita akur dengan kelima-lima kriteria yang saya sebutkan tadi, dan saya berbesar hati untuk mengadakan perbincangan dengan SSA dan rakan-rakan masyarakat tentang bagaimana kita boleh membawa sektor SPED ke hadapan sebagai sebahagian daripada inisiatif
Malakar Hala Tuju Singapura," kata beliau lagi.

TARIK, KEKALKAN BAKAT

Encik Chan juga menarik perhatian bahawa MOE bekerjasama dengan sekolah-sekolah pendidikan khas untuk menetapkan rangka kerja sumber manusia (HR) yang progresif untuk menyokong usaha mengekalkan guru dan pembangunan kerjaya mereka.

Ini termasuk menambah peranan kakitangan utama di sekolah-sekolah pendidikan khas, menyediakan guru-guru SPED dengan peluang untuk mempertingkatkan kerjaya mereka, tambah beliau.

Untuk menyokong usaha tersebut, sekolah-sekolah SPED akan menerima dana tambahan bagi kos tenaga kerja melalui dua agihan - satu disalurkan pada 2021 dan satu lagi dijadualkan pada 2024, kata Encik Chan.

"Untuk menerima agihan kedua dana tersebut, sekolah-sekolah SPED perlu melaksanakan lebih banyak amalan progresif HR dan seterusnya kenaikan gaji guru SPED," tambah beliau.

"Sekolah-sekolah SPED akan menentukan kenaikan gaji bagi para guru mereka pada peringkat berbeza berdasarkan prestasi dan struktur gaji sedia ada."

MOE melancarkan Pakej Perjalanan Cemerlang pada 2020 dengan tujuan untuk memperkukuhkan kerjaya dalam SPED, kata Encik Chan.

Pakej itu juga mengiktiraf pengalaman dan khidmat bertahun-tahun lamanya oleh ramai pendidik SPED dengan "menempatkan mereka di peringkat kecekapan yang sesuai" dan mempertingkatkan tugasan para guru kanan SPED supaya "lebih sejajar" dengan para guru MOE, tambah beliau.

RANCANG KE HADAPAN BAGI KEPERLUAN SPED

Bersama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), MOE merancang untuk menambah jumlah sekolah SPED, kata Encik Chan semasa menjawab pertanyaan tambahan daripada AP Carrie Tan (PAP-Nee Soon).

"Dalam merancang bagi sekolah SPED, keperluan tenaga manusia tidak begitu jelas dan mudah seperti sekolah konvensional, kerana di sekolah konvensional, keperluannya mungkin lebih serupa," tambah beliau.

Namun di sekolah SPED, kanak-kanak mempunyai keperluan dengan tahap yang berbeza-beza, kata beliau.

Menekankan bahawa bekerja dengan kanak-kanak yang memerlukan sokongan SPED adalah satu tuntutan emosi, Encik Chan berkata: "Ia bukan mudah. Saya sudah memberikan garis panduan kepada kakitangan saya bahawa kita tidak boleh hanya merancang berdasarkan berapa ramai kakitangan yang kita perlukan bagi sejumlah kanak-kanak. Kita perlu ada sedikit penimbal...untuk kita berupaya menjalani latihan dan juga kadangkala berehat seketika."

MOE dan MSF juga sedang bekerjasama dengan "cabaran paling sukar", iaitu kelangsungan jagaan dari prasekolah hingga ke sekolah dan selepas meninggalkan bangku sekolah, atau aturan jagaan dan kerja bagi masyarakat SPED selepas mereka berusia 18 tahun, kata Encik Chan.

Pemerintah boleh membuat perancangan berdasarkan data tentang kanak-kanak yang meninggalkan SPED sedang mereka masuk ke prasekolah, tambah beliau.

Ini bermakna MOE boleh merancang bagi keperluan mereka selepas mereka berusia 18 tahun dan meninggalkan sistem sekolah, kata Encik Chan. "Dan kami benar-benar mahu melakukannya dengan lebih baik," tambah beliau.
 
Sumber : CNA/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan