Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE sangkal khabar angin online: Hanya 0.7% penerima biasiswa antarabangsa adalah rakyat India

Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan hanya 0.7 peratus pelajar antarabangsa yang menerima biasiswa di sini berasal dari India. Kenyataan tersebut dikeluarkan untuk menyangkal desas-desus online yang mendakwa ia memberikan biasiswa kepada para pelajar rakyat India sahaja. 

Anggaran Waktu Membaca:
MOE sangkal khabar angin online: Hanya 0.7% penerima biasiswa antarabangsa adalah rakyat India

(Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 07 Dec 2019 09:34AM Dikemas Kini : 07 Dec 2019 09:37AM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan hanya 0.7 peratus pelajar antarabangsa yang menerima biasiswa di sini berasal dari India. Kenyataan tersebut dikeluarkan untuk menyangkal desas-desus online yang mendakwa ia memberikan biasiswa kepada para pelajar rakyat India sahaja.

MOE menyatakan dalam satu catatan Facebook pada Jumaat (6 Dis) ia sedia maklum terhadap perbincangan seumpama itu yang diadakan "online dan melalui aplikasi kiriman mesej" lantas kementerian itu ingin membentangkan fakta.

Misalnya, menurut MOE, pelajar antarabangsa yang menerima biasiswa membentuk hanya 0.9 peratus daripada pelajar sekolah menengah dan prauniversiti di Singapura.

Dalam kalangan golongan pelajar antarabangsa, sekitar 0.7 peratus daripada mereka adalah dari India - iaitu sekitar 1 daripada 16,000 pelajar, tambah MOE.

"MOE menyediakan pelbagai biasiswa dan bantuan kewangan, sebahagian besarnya kepada warga Singapura," jelas kementerian itu.

Kenyataan tersebut menambah bahawa MOE menganugerahkan "bilangan kecil biasiswa" kepada para pelejar cemerlang dari negara-negara Asean, India dan China.

"Apabila di sini, mereka membantu memupuk muhibah dan pemahaman dalam kalangan golongan muda dari negara berbeza," jelasnya. "Dari semasa ke semasa, sesetengah daripada mereka menjadi penduduk tetap dan rakyat baru, berakar umbi di sini dan menyumbang kepada Singapura."

Salah seorang pengkritik paling lantang MOE berhubung isu ini ialah ahli politik pembangkang Lim Tean yang memimpin Parti Suara Rakyat.

Dalam satu catatan Facebook pada Khamis (5 Dis), Encik Lim mempersoalkan mengapa seorang pelajar perempuan warga Singapura "dimalukan" atas sebab yuran sekolah yang tertunggak sedangkan kementerian memberikan biasiswa kepada para pelajar rakyat India.

Encik Lim merujuk kepada satu insiden yang mencetuskan perbahasan awam yang sengit - bahkan juga menarik perhatian Ketua Eksekutif Temasek Holdings Ho Ching - mengenai amalan MOE menahan kertas keputusan PSLE daripada para pelajar kerana yuran sekolah yang tertunggak.

Keluarga pelajar yang disebut oleh Encik Lim menghadapi kesempitan kewangan dan dia berhutang S$156 dengan sekolahnya. Encik Lim tersalah tulis S$165 dalam catatan Facebooknya.

Encik Lim adalah penentang tegar Ceca dan malah pernah berucap bagi menentangnya di sebuah rapat bantahan di Hong Lim Park pada awal November lalu.

Dalam catatannya itu juga, Encik Lim menyertakan satu pautan kepada halaman biasiswa belia Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) di laman web MOE.

Salah satu kriteria yang disenaraikan menyatakan bahawa pemohon haruslah seorang rakyat India.

MOE menyatakan dalam catatannya ia akan bekerjasama dengan pelbagai persatuan termasuk A*Star dan Singapore Airlines untuk mentadbir beberapa skim biasiswa dengan setiap satu menyasarkan negara yang berbeza.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan