Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE rancang perkenal lebih banyak inovasi AI dalam sistem pendidikan

Lebih pembelajaran di sekolah akan menerapkan teknologi AI. Misalnya menggunakan AI untuk menjalankan sistem pemarkahan automatik bagi subjek bahasa Inggeris.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dahulu, pelajar perlu menggunakan kuasa imaginasi mereka untuk membayangkan apa yang dipelajari mereka dalam buku-buku teks.

Namun kini, gambaran itu boleh menjelma sebagai satu paparan nyata menerusi kecerdasan buatan (AI).

Kaedah baru itu merupakan antara teknologi AI yang kini tersedia dalam portal pembelajaran pelajar atau SLS. Guru-guru kini boleh memanfaatkannya untuk mengajar dengan lebih berkesan lagi.

Menurut Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman kaedah itu boleh memberi semangat baru buat para penuntut.

"Dalam satu kelas yang saya ikuti di sebuah sekolah yang saya kunjungi baru-baru ini, saya melihat bagaimana para penuntut mempelajari (subjek) geografi dan mereka dibawa dari Singapura langsung ke Peru melihat salah satu sumber alam yang digelarkan Machu Picchu dan melihat bukan saja gambar tapi secara 3D apakah yang dilihat di sana," kata Dr Maliki Osman.

"Bagaimanakah Machu Picchu itu terjadi menerusi perubahan alam selama beratus-ratus tahun dan saya rasa ini tidak akan dapat dirasai menerusi hanya buku-buku teks saja kerana buku teks hanya akan gambaran sahaja," tambah Menteri Kedua Ehwal Luar itu lagi.

Selain itu, Dr Maliki Osman memberitahu bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengkaji bagaimana AI juga boleh digunakan untuk menyesuaikan dan mengenal pasti tahap pemahaman seseorang pelajar tentang satu-satu pelajaran.

"Kita akan mempelajari bagaimana AI boleh digunakan untuk memahami cara anak itu mempelajari... sama ada beliau boleh menangani taraf soalan ataupun taraf pendidikan pada ketika itu, berjaya atau tidak menjawab soalan tersebut dan komputer tersebut akan memahami.

"AI akan memahami anak ini kurang pasti dalam keadaan sedemikian dan langsung soalan-soalan yang akan datang ialah soalan yang sesuai dengan taraf ketika itu dan kemudian akan bantu beliau untuk taraf yang lebih tinggi lagi," ujar Dr Maliki Osman.

Satu lagi projek MOE yang memanfaatkan AI adalah sistem pemarkahan automatik bagi subjek bahasa Inggeris.

Sistem itu akan menyemak kerja sekolah para pelajar yang dimuat naik ke portal SLS dan dapat memberi maklum balas yang khusus dan cepat kepada pelajar.

Penggunaan AI ini juga akan diperluaskan kepada lebih banyak subjek dalam tahun-tahun mendatang.

Kaedah pembelajaran menerusi AI ini dijangka terus mendapat rangsangan tahun ini, menerusi peruntukan lebih S$500 juta oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).

Peruntukan itu mahu mempercepatkan pelaksanaan dan penggunaan AI dalam sektor awam, termasuk pendidikan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan