MOE perkukuh rangkaian sokongan di sekolah; semua guru akan jalani latihan kesihatan mental dipertingkat
Langkah-langkah baru akan dilancarkan dalam "jangka masa dekat" untuk menjaga kesejahteraan pelajar di sekolah dengan lebih baik, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Parlimen pada Selasa (27 Jul).
SINGAPURA: Langkah-langkah baru akan dilancarkan dalam "jangka masa dekat" untuk menjaga kesejahteraan pelajar di sekolah dengan lebih baik, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Parlimen pada Selasa (27 Jul).
Langkah-langkah ini termasuk memberi semua guru "latihan pengembangan profesional lebih baik" berhubung celik kesihatan mental sebagai asas, dan menempatkan lebih banyak guru-kaunselor dalam beberapa tahun akan datang, kata Encik Chan dalam kenyataan menterinya mengenai sokongan yang dihulurkan kepada sekolah dan pelajar yang memerlukan.
Ini setelah kematian seorang pelajar Menengah 1 di Sekolah Tinggi River Valley. Seorang pelajar Menengah 4 ditangkap dan didakwa melakukan pembunuhan berhubung kejadian itu.
Dalam kenyataannya, Encik Chan berkata golongan belia kini belajar untuk menangani tekanan dalam "sekitaran yang kompetitif dan menuntut prestasi tinggi".
Singapura harus melakukan "sedaya mungkin" untuk membantu anak-anak "agar percaya diri dalam keadaan sekitaran yang sengit", tambahnya.
"Pendekatan kita tidak harus hanya tertumpu pada usaha memperkukuh sistem sokongan secara keseluruhan, tetapi memupuk sekitaran yang lebih peduli, dan rasa selamat dalam masyarakat kita," kata menteri itu.
LANGKAH-LANGKAH BARU
Kementerian Pendidikan (MOE) akan melaksanakan beberapa langkah baru dalam jangka masa terdekat, kata Encik Chan.
Semua guru akan menerima latihan pembangunan profesional dalam celik kesihatan mental "sebagai asas", untuk memperkukuhkan lagi kemampuan guru untuk mengenal pasti dan menyokong pelajar memerlukan.
Di samping itu, MOE berharap dapat menempatkan lebih 1,000 guru-kaunselor dalam beberapa tahun akan datang, naik daripada lebih 700 yang kini terdapat di sekolah.
Mereka adalah sekumpulan guru yang menerima latihan tambahan supaya dapat membantu pelajar yang menghadapi masalah sosial-emosi yang lebih mencabar, seperti kesedihan dan rasa kehilangan, kata Encik Chan.
Beliau menambah bahawa pada masa ini, semua sekolah mempunyai sekurang-kurangnya seorang dua kaunselor sekolah.
Kegiatan kokurikulum (CCA) bagi sekolah menengah dan pra-universiti boleh disambung semula dalam beberapa minggu akan depan, setelah lebih ramai pelajar selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 mereka, kata Encik Chan.
"Kegiatan-kegiatan memberi ruang kepada golongan muda kita untuk menjalin ikatan, dan membesar dengan cara seimbang - secara emosi, fizikal dan psikologi. Kami merancang untuk menyambung semula aktiviti tersebut sepenuhnya sebaik sahaja keadaan COVID-19 terkawal,” kata menteri itu kepada Parlimen.
Sekolah-sekolah juga akan memperuntukkan lebih banyak masa dan perhatian untuk memantau kesejahteraan pelajar, katanya.
Mulai sekarang, guru akan meluangkan masa setiap permulaan penggal sekolah baru untuk meninjau kesejahteraan pelajar mereka, dan membimbing mereka tentang bagaimana, di mana dan bila untuk mendapatkan bantuan jika perlu. Sekolah-sekolah buat masa ini mempunyai program orientasi untuk pelajar baru pada awal tahun persekolahan, katanya.
MERINGANGKAN TEKANAN PEPERIKSAAN
Langkah meniadakan Topik Terakhir Kebiasaan (CLT) akan dilanjutkan ke peperiksaan GCE O, N dan A. Bulan lalu, MOE mengumumkan CLT digugurkn dari Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah 2021.
Ini kerana varian Delta koronavirus "menimbulkan gangguan yang jauh lebih besar daripada yang dijangkakan" dan menjejas kesejahteraan sosial dan emosi pelajar, dengan pihak berkuasa "sangat prihatin" terhadap kohort yang bakal tamat sekolah, kata Encik Chan.
"Walaupun topik-topik ini sudah diajar di sekolah, menggugurkannya dari peperiksaan kebangsaan akan membantu meringankan beban ulang kaji dan tekanan peperiksaan bagi pelajar kami," tambahnya.
Semua sekolah juga akan mengurangkan skop yang meliputi peperiksaan akhir tahun mereka tahun ini untuk meringankan beban ulangkaji pelajar, kata menteri itu.
Beliau juga menarik perhatian langkah-langkah yang diambil MOE bagi menyokong kesejahteraan mental pelajar. Kemahiran sosial-emosi dan daya tahan "membentuk asas usaha kesihatan mental MOE" dan telah menjadi sebahagian daripada kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).
Kurikulum CCE yang disemak semula dilaksanakan tahun ini, bermula dengan peringkat menengah rendah. Ia merangkumi tajuk pendidikan kesihatan mental yang dipertingkat.
Semua sekolah juga menerapkan sistem sokongan rakan sebaya untuk menggalak pelajar agar saling menjaga antara satu sama lain, kata menteri itu, sambil menambah bahawa guru juga mengawasi "dengan teliti" pelajar mereka dan memberi sokongan diperlukan.
Beliau berkata bahawa apabila pelajar memerlukan pertolongan lanjut, mereka boleh menemui kaunselor sekolah. Sekiranya pelajar memerlukan bantuan lebih lanjut, kaunselor sekolah juga boleh merujukkan mereka kepada profesional, seperti yang ada dalam pasukan Respons, Intervensi Awal dan Penilaian dalam Kesihatan Mental Masyarakat (REACH) atau agensi khidmat sosial.
PERLU USAHA SELURUH MASYARAKAT
Menteri Pendidikan berkata kesejahteraan mental belia Singapura melibatkan "seluruh sistem sokongan diperkukuh" di sekolah, keluarga dan dalam masyarakat.
Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah menubuhkan pasukan bertindak baru, yang beralih dari pasukan bertindak kesihatan mental COVID-19.
Dipengerusikan oleh Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary, pasukan bertindak itu bertujuan membangunkan "strategi negara dan rancangan tindakan menyeluruh berhubung kesihatan dan kesejahteraan mental", kata Encik Chan. Sebagai pasukan bertindak itu, MOE akan bekerjasama dengan MOH dan MSF untuk memberi tumpuan kepada segmen belia.
Encik Chan juga menekankan bahawa pendekatan seluruh masyarakat diperlukan untuk mencegah "kejadian tragik seperti itu" daripada berulang.
Beliau menarik perhatian bahawa usaha masyarakat untuk menyokong kesihatan mental semakin meningkat dan beliau merakamkan penghargaan atas sokongan "melimpah ruah" susuli kejadian di Sekolah Tinggi River Valley.
Beliau juga menggesa golongan dewasa agar menonjolkan "nada dan teladan yang tepat" kepada anak mereka, dengan melayani orang lain dengan hormat dan timbang rasa serta belas ihsan.
Encik Chan juga menambah bahawa MOE mahu memperkukuh kerjasama dengan kumpulan sokongan ibu bapa di sekolah, dan mendorong setiap kumpulan untuk membentuk kumpulan kecil yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan mental anak dan keluarga.
"Saya merayu kepada semua supaya tidak meletakkan stigma ke atas mereka yang tampil untuk meminta pertolongan ... Meminta bantuan adalah satu tanda kekuatan, bukan kelemahan," tekan Menteri Pendidikan itu.
"Ambil iktibar daripada kejadian ini sebagai pendorong untuk merapatkan jurang antara kita dan layani individu yang menghadapi cabaran dengan rasa belas ihsan dan berikan perhatian penuh anda kepada mereka yang tampil ke depan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.