Skip to main content

Singapura

MOE perbaharui sukatan pelajaran seni sekolah menengah, persiap pelajar hadapi dunia yang berubah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Oct 2025 12:48PM Dikemas Kini : 08 Oct 2025 12:05AM
SINGAPURA: Seekor "haiwan hibrid" dibentuk dalam tugasan seni pelajar Menengah 1, lengkap dengan lengan yang boleh membantu warga emas bergerak.

Koh Wen Cheng, 13 tahun, dan rakan sekelasnya menggabungkan bahagian-bahagian berlainan daripada haiwan kegemaran mereka, mengambil inspirasi daripada minat mereka sendiri untuk bereksperimen dengan ciri-ciri unik dan tidak konvensional.

Mereka kemudian beralih ke komputer riba untuk berbincang dan memberikan maklum balas tentang hasil ciptaan masing-masing – semuanya dalam usaha untuk membolehkan pelajar berfikir secara kritis tentang kerja mereka dan mencari cara baharu untuk menambah baik.

"Masalah utama yang dihadapi oleh warga emas sekarang adalah mereka tidak mempunyai ramai kawan atau rakan sebaya untuk berbual... jadi saya melukis haiwan ini yang boleh membantu berbual (dengan mereka) dan (apabila mereka memerlukan) bantuan mendapatkan makanan, air, atau pengangkutan," kata Wen Cheng kepada Mediacorp.

Ini semua adalah sebahagian daripada sukatan pelajaran seni baharu Kementerian Pendidikan (MOE) untuk sekolah menengah, yang dilaksanakan di lebih 140 sekolah setakat ini.

Ia mula diperkenalkan kepada pelajar Menengah 1 dan 2 tahun lalu, dan kemudian kepada pelajar Menengah 3 dan 4 tahun ini.

PERTAJAM PEMIKIRAN, SEDIA UNTUK MASA DEPAN

Sukatan pelajaran yang diperbaharui itu bertujuan untuk meningkatkan pemikiran kreatif dan kritis, serta kemahiran komunikasi, untuk mempersiap pelajar menghadapi dunia yang berubah dengan pantas.

Kementerian pendidikan menyatakan ia memberi penekanan yang lebih besar kepada kepelbagaian idea dalam kelas seni dan menjauhi formula yang tegar serta kebergantungan kepada produk akhir.

"MOE sedang meneliti bagaimana untuk menjadikan pelajar kita lebih bersedia untuk masa depan... jadi sukatan pelajaran yang disemak semula memanfaatkan kecekapan yang luas tetapi unik yang boleh dibangunkan oleh seni dalam kalangan belia kita," kata Cik Jacelyn Kee, timbalan pengarah seni dan tarian di bahagian kurikulum pembangunan pelajar MOE.

"(Ia mengenai) melihat sesuatu dengan cara yang segar dan inovatif, mempunyai kecerdasan emosi dan budaya serta membina kapasiti untuk berdepan ketidakpastian."

Beliau menyatakan bahawa dahulu, sebagai contoh, pelajar diminta untuk meniru rupa objek. Tetapi kini semasa pelajaran melukis, mereka didorong untuk melihat bagaimana mereka bertindak balas terhadap dunia dan berfikir tentang apa yang mendorong idea mereka.

Sukatan pelajaran itu berusaha untuk memastikan pelajaran kekal relevan dengan mengambil inspirasi daripada imej budaya pop yang sudah dikenali oleh remaja, seperti anime popular Pokemon, sambil mendedahkan mereka kepada artis tempatan dan isu dunia sebenar seperti penggunaan vape.

TEROKA AI DI PERINGKAT MENENGAH 3 DAN 4

Pelajaran itu dibawa selangkah lebih jauh apabila pelajar mencapai Menengah 3.

Pelajar menengah di peringkat lebih tinggi kini berpeluang untuk mereka bentuk dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) dan meneroka sektor yang memacu ekonomi kreatif Singapura.

Melalui perbincangan kumpulan dan maklum balas, mereka juga dijemput untuk bersikap kritis terhadap AI dan menggunakannya untuk membentuk kreativiti mereka dan bukannya membiarkannya mendominasi proses penciptaan mereka.

"Saya rasa terdapat nilai dalam membenarkan pelajar melihat bagaimana seni sebenarnya boleh mempengaruhi cara kita hidup dan benar-benar mengubah persepsi. Seni, sebagai bahasa yang sangat visual, mempunyai kuasa untuk melakukan itu," kata Encik Lim Kok Boon, Guru Utama seni dari Akademi Guru Seni Singapura.

"(Saya rasa ia akan) membolehkan mereka memahami bahawa mereka mempunyai kuasa untuk membuat perubahan, tetapi juga bagaimana seni sebagai bentuk komunikasi sebenarnya boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kita."

Cik Kee berkata sukatan pelajaran itu bertujuan untuk meraikan apa yang menjadikan manusia itu unik, tetapi juga mendorong pelajar untuk berfikir tentang bagaimana untuk menjadi pengguna teknologi yang berkemahiran dan beretika.

Encik Lim menyatakan bahawa landskap seni sudah banyak berkembang daripada zamannya sebagai seorang pelajar, menceritakan bagaimana hampir tiada muzium atau galeri yang boleh dikunjunginya.

"Kita berada dalam zaman yang menarik, dan ini adalah masanya guru dapat menerima landskap yang berubah dan melihat apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikan seni lebih menarik dan memuaskan untuk kita semua," tambahnya.

MOE menyatakan pihaknya akan terus menyemak sukatan pelajaran seni dengan maklum balas daripada guru.
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita