Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE pandang serius isu buli atau guna kekerasan; ambil tindakan sendiri hanya rumitkan keadaan: Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:
MOE pandang serius isu buli atau guna kekerasan; ambil tindakan sendiri hanya rumitkan keadaan: Chan Chun Sing

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing memberi maklumat terkini di Parlimen pada 4 Feb 2025 mengenai insiden serangan di Sekolah Menengah Admiralty.

Diterbitkan : 04 Feb 2025 04:12PM Dikemas Kini : 04 Feb 2025 08:14PM
SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) memandang serius sebarang perbuatan membuli atau menggunakan kekerasan, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Selasa (4 Feb), di mana beliau turut memberi amaran terhadap perbuatan sekumpulan orang untuk mengambil tindakan sendiri atau vigilantism.

Encik Chan berkata demikian dalam jawapan kepada soalan parlimen mengenai dua kejadian di Sekolah Menengah Admiralty yang mendapat sorotan berita, selepas satu catatan di Facebook yang dimuat naik oleh saudara kepada pelajar berkenaan, menjadi tular.

"Tiada sesiapa harus menjadi mangsa buli. Tiada sesiapa mahu dibuli. Dan tiada sesiapa harus membuli," kata Encik Chan di Parlimen pada Selasa.

Namun catatan media sosial yang tular telah "meningkatkan rasa sensitif " dan "tindakan kumpulan orang yang ambil tindakan sendiri (vigilante) di media sosial", katanya.

"Ini akan menjadikan tindakan yang begitu ekstrem seakan satu perkara biasa dan menghalang sebarang pemulihan yang dirancang," kata Encik Chan.

"Penglibatan itu 'tidak membantu' meskipun oleh sejumlah kecil orang dewasa dan akan hanya merumitkan dan menyulitkan lagi usaha membantu pelajar, kata Encik Chan.

Apabila insiden sedemikian berlaku, sesetengah individu mungkin bertindak secara melulu atau penuh emosi.
Orang awam yang "tidak mempunyai gambaran penuh" tentang situasi tersebut juga memberi tindak balas dan merumitkan lagi 'situasi yang sudah pun mencabar', katanya.

"MOE sangat prihatin khususnya apabila orang dewasa menggunakan media sosial atau datang ke sekolah kami untuk mengugut kakitangan kami, mendesak tindakan diambil bagi pihak anak mereka, atau mengancam pelajar lain. Ini salah sama sekali," kata Encik Chan, sambil menambah pihak kementerian tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan sedemikian.

Meskipun insiden sedemikian rupa tidak banyak berlaku, ia perlukan banyak masa dan usaha, dan harus tidak dibiarkan menjadi lebih teruk, katanya.
KEJADIAN PADA 7 JANUARI

Merujuk kepada kejadian di Sekolah Menengah Admiralty, Encik Chan berkata secara purata dua kejadian buli berlaku dalam setahun bagi setiap 1,000 pelajar sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Menurutnya, jumlah itu "tidak melebihi" purata kebangsaan bagi kes sedemikian di sekolah menengah.

Polis mengesahkan pada 8 Januari bahawa pihaknya sedang menyiasat selepas seorang pelajar Sekolah Menengah Admiralty dipercayai diserang oleh rakan sedarjahnya pada 7 Januari, menyebabkan mangsa mengalami luka di kepala.

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pakcik mangsa, menulis di Facebook bahawa anak saudaranya "teruk diserang" oleh rakan sedarjahnya dan mengalami luka di bahagian belakang kepala sehingga memerlukan jahitan.

Bercakap di Parlimen pada Selasa, Encik Chan berkata siasatan awal oleh MOE mendapati bahawa ia bukan satu kejadian buli tetapi pertengkaran antara dua pelajar Menengah 1.

"Ini menyebabkan salah seorang pelajar memukul seorang lagi menggunakan botol minuman plastik, menyebabkan pelajar berkenaan luka di kepala," katanya, sambil menambah bahawa guru kelas segera campur tangan dan memisahkan kedua-dua pelajar tersebut.

Pelajar yang cedera segera diberikan rawatan bagi luka di kepalanya sementara menunggu ambulans, kata Encik Chan.

Pihak sekolah juga "bertindak wajar" untuk menyokong kesejahteraan pelajar itu dan memastikan dia menerima rawatan perubatan tepat pada masanya. Pelajar itu sudah pun kembali ke sekolah, kata Encik Chan.

Pelajar yang dikatakan memukul rakannya itu telah digantung sekolah.

Dia juga diberi kaunseling dan akan dikenakan lebih banyak tindakan displin apabila kembali ke sekolah, kata Encik Chan, sambil menambah pihak sekolah juga akan membantu menjernihkan hubungan antara kedua-dua pelajar apabila mereka kembali ke sekolah.
KEJADIAN PADA 2023

Berikutan insiden serangan yang dikongsi meluas itu, ibu kepada seorang pelajar di Sekolah Menengah Admiralty yang membunuh diri pada 2023, menulis di Facebook berkongsi mengenai isu buli.

Memberikan penjelasan tentang kejadian itu pada Selasa, Encik Chan sekali lagi menyampaikan takziah MOE kepada ibu mangsa dan menekankan bahawa punca seseorang membunuh diri adalah rumit.

MOE lazimnya tidak mendedahkan butiran mengenai insiden sedemikian kepada orang awam demi menghormati privasi keluarga mangsa, katanya.

"Namun, ini seringkali menyebabkan guru dan pemimpin sekolah kami menjadi mangsa perselisihan faham, menyebabkan berlaku serangan online dan gangguan terhadap guru dan kakitangan sedang mereka terus menahan diri dan bersikap peka terhadap keluarga mangsa," kata Encik Chan.

"Memandangkan kes pelajar ini disebarkan online, saya ingin memberi jaminan kepada anggota dewan bahawa pihak sekolah telah melakukan sebaik mungkin untuk memberi sokongan kepada pelajar terbabit ketika dia mengalami cabaran emosi."

Apabila pihak sekolah dimaklumkan bahawa pelajar itu sedang "mengalami masalah hubungan dengan rakan sekolah", ia bertindak dengan membantu membimbing pelajar terjejas dan membantu mereka berdamai.

Sebuah pasukan terdiri daripada beberapa kakitangan sekolah yang berpengalaman dan kaunselor sekolah, memberi kaunseling kepada pelajar itu dan membantunya untuk berhubungan dengan rakan-rakan sekolah, kata Encik Chan.

Selepas kejadian itu, pelajar berkenaan mengalami cabaran lain dan pihak sekolah tetap menghulurkan sokongan dan intervensi selama beberapa bulan, kata Encik Chan, sambil menambah pihak sekolah juga bekerjsama dan memberi sokongan kepada keluarga pelajar berkenaan.

"Tuduhan sebelah pihak yang ditujukan kepada Sekolah Menengah Admiralty tidak memberikan gambaran penuh. Ia tidak bersikap adil terhadap usaha yang dilakukan pihak sekolah demi membantu pelajar dan keluarganya ketika masa yang memerlukan," katanya.

"Hasilnya bukan sesuatu yang kami inginkan. Tetapi niat dan usaha sekolah untuk membantu pelajar tersebut dan keluarganya, serta mendampingi keluarga itu, tidak harus diragui."
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan