MOE naikkan had kelayakan pendapatan bagi skim bantuan kewangan, tawar lebih banyak subsidi pengangkutan
Had kelayakan pendapatan lebih tinggi bagi skim-skim bantuan kewangan yang ditawarkan Kementerian Pendidikan (MOE) dan subsidi pengangkutan lebih tinggi bagi murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah mulai tahun depan.
Gambar fail: Alvin Chong
Ini merupakan antara penambahbaikan akan datang yang diumumkan oleh MOE pada Khamis (16 Okt), yang dijangka memanfaatkan lagi 31,000 pelajar dari isi rumah pendapatan rendah dan pertengahan.
Penambahbaikan itu juga bertujuan menyediakan sokongan bagi kos berkaitan pendidikan dan akses kepada program-program sekolah dan posmenengah.
Ini turut menjadikan keseluruhan jumlah pelajar yang akan meraih manfaat dariapda skim bantuan kewangan MOE tahunan kepada kira-kira 133,000, tambahnya.
"Penambahbaikan ini akan memberikan para pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan lebih banyak sokongan untuk menguruskan kos pendidikan dan memastikan setiap kanak-kanak dan belia warga Singapura boleh terus mendapat akses kepada program-program sekolah dan posmenengah," kata Menteri Pendidikan Desmond Lee dalam catatannya di laman Facebook.
Sebahagian besar perubahan itu akan bermula pada 2026 apabila tahun akademik baharu bermula, namun kriteria pendapatan yang disemak bagi Dermasiswa Merit Edusave akan berkuat kuasa mulai November supaya ia bertepatan dengan pemberian dermasiswa akan datang pada bulan itu dan Disember.
SKIM BANTUAN KEWANGAN MOE
Bagi menyokong lebih ramai pelajar dan keluarga, kriteria kelayakan pendapatan akan disemak semula bagi enam skim ujian kemampuan ini:
- Skim Bantuan Kewangan (FAS) MOE untuk Sekolah Pemerintah dan Sekolah Bantuan Pemerintah (GGAS) dan Sekolah Khusus (SS)
- FAS Pendidikan Khas (SPED) untuk sekolah-sekolah SPED yang dibiayai MOE
- Dermasiswa Sekolah Bebas MOE (MOE ISB) di Sekolah Bebas dan Sekolah Bebas Khusus (ISSIS)
- Biasiswa UPLIFT bagi ISSIS
- Dermasiswa Merit Edusave bagi GGAS, SS, ISSIS, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Politeknik
- Dermasiswa Pemerintah bagi PSEI
Sebagai contoh, had pendapatan bulanan kasar isi rumah yang dikaitkan dengan FAS MOE dan FAS SPED akan dinaikkan daripada S$3,000 kepada S$4,000 dan had pendapatan per kapita akan naik daripada S$750 kepada S$1,000.
Selain itu, MOE dan PSEI juga akan melaksanakan Sistem Ujian Kelayakan Isi Rumah (HOMES) bagi memperkemas proses permohonan dan ujian kemampuan mulai Tahun Akademik 2026.
"Dengan adanya HOMES, para pemohon tidak lagi perlu menghantar dokumen sokongan seperti dokumen pendapatan, justeru menjadikan proses permohonan lebih mudah bagi mereka," menurut MOE.
Ujian kemampuan bagi bantuan kewangan MOE akan menimbangkan pendapatan isi rumah kesemua ahli keluarga yang tinggal bersama pelajar itu dan purata pendapatan isi rumah sepanjang tempoh 12 bulan lalu.
"Pendekatan itu memberikan gambaran yang adil dan mewakili pendapatan isi rumah keluarga itu," menurut kementerian itu.
Semua hasil pendapatan daripada pekerjaan dan perdagangan termasuk bonus dan elaun juga akan disertakan dalam penilaian pendapatan.
Ia juga tertakluk kepada sumber pendapatan pentadbiran yang lain seperti pendapatan daripada penyewaan seperti yang dipaparkan dalam Notis Taksiran yang dikeluarkan oleh Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS).
Skim bantuan kewangan bagi GGAS, SS, ISSIS dan SPED juga akan dipertingkatkan untuk memberi lebih banyak sokongan kewangan.
Subsidi bas sekolah bagi murid sekolah rendah di bawah bantuan kewangan akan dinaikkan daripada 65 peratus kepada 70 peratus daripada keseluruhan yuran bas sekolah bulanan.
Subsidi pengangkutan awam bagi murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah berkenaan juga akan dinaikkan daripada S$17 kepada S$21 sebulan.
Selain itu, kuantum dermasiswa prauniversiti tahunan akan dinaikkan daripada S$1,200 kepada S$1,600 dengan subsidi pengangkutan awam bulanan sebanyak S$21, yang kini diagihkan secara berasingan, akan digabungkan.
Perubahan itu juga tertakluk kepada pelajar prauniversiti yang menerima bantuan di bawah ISB MOE.
Selain itu, jumlah Biasiswa UPLIFT yang diberikan setiap tahun akan dinaikkan daripada S$1,000 kepada S$1,200 untuk memberikan sokongan lebih baik kepada para pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah di ISSIS yang mencatat prestasi akademik yang cemerlang atau memaparkan kecenderungan dalam bidang-bidang bakat khusus.
KUANTUM DERMASISWA PSEIS
MOE juga akan menaikkan kuantum dermasiswa bagi kedua-dua pelajar sepenuh masa dan sambilan di PSEI yang dibiayai pemerintah.
Pelajar NITEC dan Higher NITEC sepenuh masa di ITE daripada keluarga berpendapatan rendah yang layak bagi peringkat dermasiswa yang tertinggi akan terus menerima subsidi 100 peratus bagi yuran tuisyen dan dermasiswa tunai bagi menampung perbelanjaan lain berkaitan pendidikan.
MOE juga akan menambah hadiah wang tunai bagi Biasiswa Masyarakat ITE yang berdasarkan merit daripada S$1,800 kepada S$2,050 setiap tahun.
Selain itu, pelajar diploma sepenuh masa rakyat Singapura daripada keluarga berpendapatan rendah yang layak bagi peringkat dermasiswa tertinggi tetap akan menerima dermasiswa bernilai kira-kira 95 peratus daripada yuran pengajian bersubsidi mereka.
Kuantum dermasiswa tahunan bagi mahasiswa sepenuh masa rakyat Singapura, tidak termasuk kursus perubatan dan pergigian, kekal tidak berubah.
Mereka daripada keluarga berpendapatan rendah yang mengikuti kursus sarjana muda am yang layak untuk peringkat dermasiswa tertinggi akan terus meraih manfaat daripada dermasiswa bernilai kira-kira 75 peratus daripada yuran pengajian bersubsidi mereka.
Sementara itu, dermasiswa pemerintah bagi mahasiswa dalam kursus perubatan dan pergigian akan disemak supaya mereka yang layak bagi peringkat dermasiswa tertinggi tidak perlu membayar yuran pengajian lebih daripada S$5,000 setahun bagi tahun akademik 2026.
Jumlah itu mengambil kira bantuan kewangan yang diberikan oleh pihak universiti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.