Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE bertegas pembulian tidak boleh diterima sama sekali di sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
MOE bertegas pembulian tidak boleh diterima sama sekali di sekolah

Petikan video yang tersebar di media sosial, menunjukkan seorang remaja perempuan diserang tiga remaja lain di tempat letak kenderaan bertingkat di Blok 269 Compassvale Link.

SINGAPURA: Perbuatan membuli tidak boleh diterima dan tiada tempat sama sekali di sekolah-sekolah, tegas Kementerian Pendidikan (MOE) pada Sabtu (20 Ogos).

Kementerian itu menambah ia memandang serius sebarang bentuk pembulian termasuk pembulian siber.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, MOE menyatakan bahawa sejak 2012, jumlah insiden pembulian yang dilaporkan setiap tahun di sekolah-sekolah kekal rendah.

Sekitar dua kes bagi setiap 1,000 murid sekolah rendah dan lima insiden bagi setiap 1,000 pelajar sekolah menengah dilaporkan.

Pada Khamis (18 Ogos), polis menyatakan tiga remaja diberkas selepas seorang remaja perempuan diserang di sebuah tempat letak kenderaan bertingkat di Buangkok.
Tiga remaja berkenaan, semuanya berusia 15 tahun, ditangkap kerana melakukan pengurungan yang salah. Mereka juga sedang disiasat kerana menyebabkan kecederaan secara sengaja.

Pada Januari, MOE menyatakan ia mengambil tindakan disiplin terhadap tiga pelajar yang dilihat bergaduh dalam sebuah video yang tersebar online.

Rakaman video selama 30 saat itu menunjukkan seorang pelajar perempuan dalam seragam sekolah ditendang dan ditumbuk beberapa kali oleh dua lagi pelajar perempuan lain.

Tahun lalu, satu lagi insiden menjadi tular di media sosial, menunjukkan beberapa pelajar Politeknik Ngee Ann mengencingkan dua pelajar lelaki lain.

Pada Sabtu, MOE menyatakan bahawa apabila terdapat aduan tentang kes dipercayai pembulian, kakitangan sekolah akan cuba memahami punca di sebalik tingkah laku tersebut.

MOE menambah bahawa kes seumpama itu "rumit" kerana ia boleh berlaku di ruang online dan lazimnya melibatkan masalah hubungan yang tidak dapat dihuraikan.

"Sokongan kaunseling disediakan kepada para pelajar terlibat dan tindakan disiplin yang sewajarnya dikenakan jika perlu untuk membantu para pelajar memahami bahawa terdapat akibat yang perlu ditanggung bagi kelakuan antisosial dan tingkah laku yang mengguriskan," tambahnya.

"Sekolah-sekolah juga mendampingi para ibu bapa dan berganding bahu dengan mereka untuk menghulurkan sokongan sewajarnya kepada pelajar baik di sekolah mahupun di luar sekolah."

Semua pelajar juga diberitahu tentang saluran selamat untuk melaporkan insiden serius, amalan tidak wajar atau tingkah laku yang mengguriskan.

Ketua sokonga rakan sebaya juga membantu untuk memastikan ruang online dan persekitaran di sekolah kekal selamat serta positif, dengan memaklumkan kepada guru-guru sekiranya perlu, menurut MOE.

Sebagai sebahagian daripada usahan untuk mewujudkan sebuah persekitaran penyayang dan yang mendorong pembelajaran, sekolah-sekolah melantik kakitangan utama untuk menyelia serta melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan intervensi bagi memupuk budaya menyokong rakan sebaya dalam ruang-ruang pembelajaran, sosial serta siber, tambah MOE.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan