Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE bekerjasama dengan industri pengiklanan lakar kod tatalaku kawal sektor tuisyen

Kementerian Pendidikan (MOE) sedang bekerjasama dengan industri pengiklanan untuk mewujudkan kod tatalaku bagi mengekang pemasaran yang cuba memancing ibu bapa supaya melanggani khidmat tuisyen mereka, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Anggaran Waktu Membaca:
MOE bekerjasama dengan industri pengiklanan lakar kod tatalaku kawal sektor tuisyen

Sesi kelas tuisyen pada 13 Ogos 2021. (Gambar fail: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 13 Feb 2025 07:20AM Dikemas Kini : 13 Feb 2025 07:23AM
SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) sedang bekerjasama dengan industri pengiklanan untuk mewujudkan kod tatalaku bagi mengekang pemasaran yang cuba memancing ibu bapa supaya melanggani khidmat tuisyen mereka, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Dalam temu bual dengan Mediacorp mengenai dasar-dasar pendidikan sedia ada Pemerintah, Encik Chan merujuk kepada beberapa pusat tuisyen - yang beliau sifatkan sebagai "kambing hitam" industri - kerana menggunakan taktik pengiklanan yang sengaja menakut-nakutkan golongan ibu bapa.

“Pusat-pusat tuisyen ini yang cuba menawarkan khidmat mereka, mereka cuba membuatkan ibu bapa berfikir: ‘Ramai orang yang melanggani khidmat mereka, mengapa kami tidak berbuat demikian?’” katanya sambil menyamakan keadaan itu dengan amalan pemasaran pengeluar susu formula pada tahun-tahun sebelumnya.

Pada 2023, Pemerintah membentuk pasukan petugas untuk menangani kenaikan harga susu formula selepas badan pemerhati pengguna mendapati pengeluar berbelanja besar untuk penyelidikan dan pemasaran untuk meletakkan produk mereka sebagai produk premium dan cuba membina kesetiaan terhadap jenama mereka.

Encik Chan menekankan bahawa ibu bapa harus berasa yakin dengan keputusan mereka sendiri tentang anak-anak mereka dan tidak tertakluk kepada tekanan ini. Beliau memetik insiden baru-baru ini di mana kakitangan dari sebuah pusat tuisyen mengedarkan risalah di luar sekolah rendah pada hari pertama persekolahan.

“Pengetua sekolah tersebut terpaksa menangani mereka. Ia sama sekali tidak perlu,” kata Encik Chan sambil menegaskan bahawa para murid Darjah 1 tidak mempunyai peperiksaan.

"Daripada memupuk sikap ghairah untuk belajar, mereka mengedarkan risalah kepada ibu bapa untuk mewujudkan ketakutan ini."

Pengerusi Penguasa Piawaian Pengiklanan Singapura (ASAS) Bryan Tan mengesahkan bahawa pihaknya telah bertemu dengan MOE untuk membincangkan peraturan pengiklanan dan pertimbangan di sebalik garis panduan yang khusus bagi sektor tuisyen.

Di sebalik pemasaran yang agresif, Encik Chan juga mengkritik sesetengah pusat tuisyen yang hanya menerima pelajar tertentu untuk meningkatkan kadar kejayaan mereka dan mendakwa seolah-olah pencapaian akademik pelajar itu adalah atas usaha pusat tuisyen tersebut.

"Ia sungguh tidak beretika dan ia menjejaskan imej keseluruhan seorang guru."

Sesetengah pusat tuisyen menawarkan diskaun kepada pelajar atau ibu bapa yang mengiklankan perkhidmatan mereka. Yang lain meminta pelajar terbaik Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) untuk menyokong jenama mereka.

“(Mereka) berkata: ‘Jika anda menggunakan produk ini, anda akan mendapat markah PSLE ​​yang tinggi.’ Mereka kemudian akan meminta anda (ibu bapa) untuk menyokong produk mereka.”

Kod tatalaku, yang sedang dibincangkan oleh MOE dengan industri pengiklanan, akan menyediakan garis panduan untuk pemasaran pusat tuisyen, kata Encik Chan.

Ketika bercakap dengan para pelajar mengenai tuisyen, Encik Chan berkata beliau biasanya bertanya sama ada mereka menghadiri kelas tuisyen secara sukarela atau di bawah tekanan ibu bapa, yang merupakan "perbezaan yang sangat asas".

Encik Chan tidak ada isu dengan pelajar yang ingin pergi ke kelas tambahan dan belajar lebih lanjut, katanya lagi.

"Tetapi saya sentiasa bimbang untuk pelajar yang kelihatan sangat marah dan sedih apabila mereka mengikuti kelas seperti itu, kerana mereka nampaknya cuba memenuhi jangkaan orang lain dan bukan aspirasi mereka sendiri."
 
Sumber : CNA/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan