Skip to main content

Singapura

MOE bakal umum sama ada HBL dilanjutkan bagi murid sekolah rendah

Kementerian Pendidikan (MOE) akan membuat pengumuman pada lewat minggu ini sama ada tempoh pembelajaran di rumah (HBL) bagi semua sekolah rendah akan dilanjutkan, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
MOE bakal umum sama ada HBL dilanjutkan bagi murid sekolah rendah

Gambar hiasan: Unsplash

Diterbitkan : 04 Oct 2021 06:51PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 06:52PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) akan membuat pengumuman pada lewat minggu ini sama ada tempoh pembelajaran di rumah (HBL) bagi semua sekolah rendah akan dilanjutkan, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

"Sebab saya tidak membuat pengumuman hari ini adalah seperti berikut - pertama, kerana kita sedang mengadakan PSLE (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah). Saya mahu semua ketua sekolah dan guru untuk beri tumpuan terhadap PSLE yang sedang berlangsung," katanya menjawab soalan AP Darryl David (PAP-Ang Mo Kio).

Peperiksaan PSLE bermula pada 30 September dan tamat pada 6 Oktober.

"Kedua, kami akan meneruskan persiapan dalaman dan komunikasi bersama dengan para pendidik. Saya juga ingin mereka tahu keputusan bersama terlebih dahulu sebelum kami membuat pengumuman itu pada minggu ini selari dengan pendapat nasional," tambahnya.

Pemerintah sebelum ini menetapkan semua murid sekolah rendah dan pendidikan khas SPED menjalani HBL dari 27 September hingga 6 Oktober di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19. Langkah itu adalah untuk melindungi kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang belum lagi layak dari segi perubatan untuk menerima suntikan vaksin.

Tempoh HBL kemudiannya dilanjutkan ke 7 Oktober sebagai "langkah waspada tambahan". Memandangkan Jumaat, 8 Okt adalah cuti Hari Kanak-kanak, semua murid akan pulang ke sekolah pada Isnin (11 Okt).

Encik Chan berkata Kementerian Pendidikan memahami bahawa HBL "tidak dapat menggantikan sepenuhnya pengalaman pembelajaran di sekolah."

"Secara berpanjangan, ia mengorbankan, bukan sahaja pembelajaran pelajar, tetapi juga pengembangan sosio-emosi dan kesejahteraan mental mereka," tambahnya.

"Ia juga merupakan suatu beban bagi keluarga dan masyarakat. Tambahan pula, tidak semua pelajar mempunyai persekitaran rumah yang kondusif untuk HBL."

Encik Chan berkata pihak berkuasa mempunyai keyakinan lebih tinggi dalam kebolehan mencapai keseimbangan dengan "mengambil pendekatan yang lebih tepat untuk membendung kes dan juga kontak rapat."

Sebagai contoh, daripada melaksanakan HBL sepenuhnya bagi semua sekolah atau peringkat, hanya kelas yang terjejas akan menjalani HBL jika kes positif disahkan dan ada kemungkinan jangkitan di dalam sekolah.

Sekolah juga mengurangkan kesan HBL dengan menggunakan teknologi bagi mengurangkan gangguan terhadap kurikulum dan mengekalkan hubungan sosial, kata Encik Chan.

Ini termasuk menggunakan wadah dan sumber-sumber online dari guru untuk memastikan pelajar yang tidak datang sekolah boleh menyambung pelajaran dan juga memantau secara berkala kesejahteraan pelajar.

Terdapat cukup komputer dan peranti yang membolehkan sambungan internet untuk dipinjamkan kepada pelajar yang memerlukan, tambahnya.

Sekolah juga akan tetap dibuka bagi pelajar yang memerlukan bantuan dan mereka yang tidak mempunyai aturan penjagaan alternatif semasa HBL.

Encik David juga bertanya jika HBL bagi pelajar menengah dan selanjutnya boleh dilaksanakan.

Menjawab, Encik Chan berkata langkah-langkah pencegahan tanbahan perlu bagi murid sekolah rendah kerana kebanyakan mereka belum divaksinasi.

Namun, kebanyakan pelajar sekolah menengah dan peringkat lebih tinggi sudah divaksinasi.

"Kami akan melakukan semua yang perlu untuk memastikan pepriksaan peringkat N,O dan A terus dijalankan dengan selamat," kata Encik Chan.

PENYAMBUNGAN CCA DAN AKTIVITI LAIN

MOE juga mengambil pendekatan lebih teratur apabila dalam menyambung semula kegiatan Kokurikulum (CCA) dan aktiviti luar darjah yang lain.

Pendekatan yang lebih berhati-hati telah diambil bagi murid sekolah rendah, dengan CCA secara bersemuka terus digantung.

"Kami sedang memantau keadaan dengan dengan teliti dan akan membuat keputusan pada masa yang sesuai bila untuk menyambung semula CCA dan kegiatan dengan cara yang selamat, dilengkapi denganlangkah-langkah pengurusan selamat dan pengawasan yang ketat," katanya.

CCA secara langsung dan aktiviti pengayaan bagi pelajar di sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Milenia juga digantung sejak 27 September, sejajar dengan langkah-langkah dalam masyarakat lebih ketat.

"Kami berharap untuk menyambung semula aktiviti-aktiviti ini apabila selamat bagi pelajar kita untuk melakukan sedemikian," katanya.

SOKONGAN UNTUK PENGENDALI KANTIN SEKOLAH

Dalam pada itu, Menteri Negara bagi Pendidikan Sun Xueling berkata MOE sudahpun memberi pengecualian sewa untuk para pengendali di kantin sekolah, sesuai dengan pelepasan sewa yang disediakan bagi penyewa di harta tanah komersil milk agensi pemerintah.

Sekarang ini, terdapat sekitar 2,380 pemilik gerai di kantin sekolah di semua sekolah Pemerintah dan sekolah bantuan pemerintah, kurang sedikit daripada 2,410 pada 2020.

Tahun lalu, MOE memberikan pengecualian sewa selama empat bulan kepada pengendali yang terjejas dari April hingga Ogos, kecuali bulan May yang merupakan tempoh cuti sekolah yang ditetapkan pada 2020, katanya menjawab soalan parlimen dari AP Saktiandi Supaat (PAP-Bishan-Toa Payoh).

Tahun ini, pengendali diberikan pengeculian sewa selama dua bulan bagi bulan Mei dan Julai semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Mereka juga akan menerima pengecualian sewa selama setengah bulan pada Oktober sebagai sebahagian sokongan Pemerintah bagi sektor yang terjejas dengan langkah diperketat baru-baru ini, kata Cik Sun. 

Sumber : CNA/RB/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita